LSH Capital kekal berdaya saing untuk raih projek berprofil tinggi | DagangNews.com Skip to main content

LSH Capital kekal berdaya saing untuk raih projek berprofil tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jan - Kejayaan Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH Capital) mendapatkan projek berprofil tinggi adalah bukti kemampuan kumpulan untuk kekal berdaya tahan selain menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran semasa yang semakin mencabar.

 

Pengerusi LSH Capital, Tan Sri Lim Keng Cheng berkata, kumpulan itu juga mempunyai kemampuan untuk memenuhi permintaan projek pembangunan merantasi semua subsektor sekaligus memberikan peluang yang lebih besar dalam sektor itu.

 

"Kami optimis dengan prospek produk jangka masa panjang berkaitan pembinaan dan industri perkhidmatan di Malaysia yang dijangka terus mencatatkanpemulihan pada tahun 2021 dan seterusnya.

 

"Pakej rangsangan ekonomi dan bantuan pemulihan yang disediakan kerajaan juga dilihat akan membantu sektor pembinaan pada masa akan datang" katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berjaya mencatatkan pendapatan RM67.42 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 30 September 2021 (FPE 30 September 2021) yang mencatatkan peningkatan RM19.29 juta atau 40.09% berbanding RM48.12 juta pada FPE 30 September 2020.

 

Pertambahan pendapatan syarikat itu adalah hasil daripada peningkatan pendapatan dari penyewaan mesin dan pengedaran bahan pembinaan berjumlah RM10.02 juta.

 

lsh
Tan Sri Lim Keng Cheng

 

Keuntungan syarikat selepas cukai meningkat sebanyak 91.79% atau bersamaan RM3.0 juta kepada RM7.93 juta bagi FPE 30 September 2021 berbanding RM4.13 pada FPE 30 Semptember 2020 dan mereka turut mengagihkan dividen sebanyak 66 sen sesaham bagi saham biasa.

 

Sementara itu, Keng Cheng berkata, pengambil alihan LSH BEST Builders Sdn. Bhd. (LSHBB) membolehkan kumpulan itu mengembangkan kemahiran teknikal mereka dan kemampuan dalam industri pembinaan selain menyepadukan segmen pembinaan ke dalam peniagaan yang membolehkan mereka mengawal rantaian nilai dalam projek di bawah kendalian LSHBB.

 

"Pengambil alihan itu juga akan membentuk sinergi dan kelebihan kompetitif kepada kumpulan dan membolehkan kami menambah nilai kepada perkhidmatan di bawah Kerangka Kerja BEST dalam industri itu.

 

"Mengambil kira faktor yang tidak diduga selain kadar vaksinasi tinggi di Malaysia, kami yakin bahawa prospek kumpulan dari segi prestasi kewangan bagi FPE 2022 akan menjadi lebih baik," katanya. - DagangNews.com