Lotte Chemical Titan perkenal skim pelaburan semula dividen | DagangNews Skip to main content

Lotte Chemical Titan perkenal skim pelaburan semula dividen

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Syarikat bahan kimia, Lotte Chemical Titan Holdings Berhad memperkenalkan Skim Pelaburan Semula Dividen atau Dividend Reinvestment Scheme (DRS).

Skim itu memudahkan pemegang saham untuk memilih pelaburan semula dividen yang diisytiharkan syarikat daripada menerima pembayaran tunai.

Lotte Chemical Titan Holdings menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia berkata, DRS bertujuan meningkatkan pemegangan dan kecairan (liquidity) perdagangan saham awam menerusi saham biasa baharu yang diterbitkan di bawah skim itu. 

“Cadangan DRS telah berjaya dinilai dan dibahas dengan teliti oleh pasukan pengurusan serta Lembaga Pengarah syarikat. 

“Ini adalah langkah yang sesuai ketika ini untuk memenuhi syarat penyebaran minimum saham awam sebanyak 25%, seperti yang diperuntukkan oleh Senarai Keperluan Bursa Malaysia Securities Berhad,” kata syarikat itu.

Pengisytiharan dividen bagi tahun kewangan masing-masing dan sekiranya DRS terguna pakai bagi dividen itu tertakluk kepada perbincangan dan kelulusan akhir oleh Lembaga Pengarah syarikat berkenaan. 

Bagaimanapun, DRS bergantung kepada kemampuan Lotte Chemical Titan untuk mengisytiharkan dividen bagi setiap tahun kewangan pada masa akan datang.

Bagi memenuhi objektif meningkatkan pemegangan saham awam ke tahap yang ditetapkan, syarikat induk dan pemegang saham terbesar, Lotte Chemical Corporation tidak akan terlibat dalam DRS sehingga objektif tercapai. 

Lotte Chemical Corporation memiliki kira-kira 76% saham syarikat itu dan dianggap sebagai pihak bukan awam. - DagangNews.com