Lepas abang mati, sayang jangan kahwin lagi sampai bila-bila | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 14 February 2022

LEPAS ABANG MATI, SAYANG JANGAN KAHWIN LAGI SAMPAI BILA-BILA

 

 

 

SOALAN ini ditanya oleh seorang hamba Allah kepada saya baru-baru ini. Dia sayang isterinya dan mahu menghibahkan rumahnya kepada isterinya tapi dia mahu letakkan syarat kepada hibah itu iaitu dia tidak mengizinkan isterinya untuk berkahwin semula dengan mana-mana lelaki selepas kematiannya.

 

Jika isteri itu melanggar arahannya, maka hibah itu hendaklah terbatal dan hak ke atas rumah itu dipulangkan kepada semua warisnya mengikut hukum faraid.

 

Saya tahu apa sebabnya dia mahu membuat hibah dengan syarat sebegitu namun saja bertanya lagi untuk kepastian kenapa dia nak buat begitu.

 

Katanya dia telah berusaha keras untuk membeli rumah banglonya yang bernilai jutaan RM itu.

 

Oleh kerana pasangan ini tidak dikurniakan zuriat, dia mahu hibahkan rumah itu kepada isterinya tetapi tidak mahu hak ke atas rumah itu jatuh kepada lelaki lain pula jika isterinya berkahwin semula selepas kematiannya.

 

Di dalam penulisan kali ini saya tidak berhasrat untuk mengulasnya dalam konteks akademik sepenuhnya kerana saya bukan orang akademik.

 

Apa yang saya tahu pun ialah sekadar apa yang saya belajar dari Panel Syariah Wasiyyah Shoppe Berhad yang merupakan pakar di dalam bidang fiqh mawarith.

 

Saya akan menulis dalam perspektif seorang pengamal menggunakan bahasa biasa yang tidak bombastik dan mudah difahami pembaca.

 

Jawapan saya kepada soalan di atas ialah hibah bersyarat atau hibah yang disertakan dengan syarat ialah khilaf dalam kalangan ulama.

 

 

Wasiyyah

 

 

Wasiyyah Shoppe Berhad bersama Fakulti Pengajian Islam UKM telah membuat penyelidikan ilmiah pada 2017 tentang hibah bersyarat.

 

Dapatan penyelidikan kami menunjukkan bahawa ada pandangan dalam kalangan ulama  yang mengatakan hibah bersyarat atau hibah dengan syarat itu mengikat dan ada pula yang berpandangan hibah itu sah tetapi syarat itu batal.

 

Perbincangan kita kali ini bukanlah untuk menghuraikan tentang sama ada hibah itu sah ataupun tidak. Asalkan sahaja rukun dan syarat telah disempurnakan hibah itu tetap sah. Kedudukan ini disepakati oleh ulama.

 

Yang menjadi perbincangan ialah kedudukan syarat yang diletakkan di dalam atau bersama hibah itu sama ada ia mengikat ataupun tidak.

 

Pandangan pertama mengatakan bahawa syarat boleh diletakkan di dalam hibah atau bersama hibah dan syarat itu mengikat asalkan syarat itu tidak fasad atau tidak bercanggah dengan  agama.

 

Merujuk kepada pertanyaan yang diajukan kepada saya di atas iaitu suami menghibahkan hartanya kepada isteri tetapi meletakkan syarat bahawa isteri jangan berkahwin semula selepas kematiannya.

 

Syarat ‘jangan berkahwin’ itu adalah bercanggah dengan agama kerana suami sudah pun mati. Tiada sesiapa boleh menyekat hak isteri untuk berkahwin semula dengan suami yang baru selepas tamat idah kerana ia dibenarkan oleh agama.

 

Jadi dalam keadaan ini hibah suami kepada isteri itu sah tetapi isteri sebenarnya tidak terikat untuk patuh kepada syarat yang sedemikian.

 

 

Wasiyyah

 

 

Namun syarat-syarat yang tidak bercanggah dengan agama contohnya ayah hibahkan rumah kepada anaknya dan meletakkan syarat bahawa selagi dia masih hidup, dia ingin menikmati hasil pendapatan sewa dari rumah tersebut, syarat itu adalah sah dan mengikat.

 

Begitu juga dengan syarat ayah menghibahkan rumahnya kepada anak tetapi mensyaratkan si anak itu membenarkan ibunya menetap di rumah itu selagi ada hayatnya. Syarat ini juga mengikat. 

 

Di dalam satu kes hibah, seorang ayah menghibahkan saham koperasi miliknya kepada anak-anak dan meletakkan syarat bahawa selagi dia masih hidup, dia ingin menikmati dividen dari saham tersebut.

 

Mahkamah Syariah Negeri Sembilan di dalam alasan penghakimannya mengesahkan bahawa syarat tersebut adalah sah dan mengikat.

 

Namun demikian, diulas juga oleh ulama bahawa walaupun pemberi hibah boleh meletakkan apa-apa syarat yang tidak bercanggah dengan agama dengan tujuan untuk melindungi kepentingannya (masalahat), namun kedua-dua pihak hendaklah bersetuju dengan redha terhadap syarat tersebut.

 

Ini satu elemen yang sangat penting di dalam pelaksanaan syarat di dalam hibah atau bersama-sama hibah. Kedua-dua pihak hendaklah tahu dan bersetuju dengan syarat itu.

 

Pandangan ini selaras dengan prinsip fiqh iaitu “Prinsip umum yang mengesahkan kontrak ialah persetujuan bersama kedua-dua pihak terhadap terma dan syarat.”

 

Al-Sanhuri dan Nadir Abd Aziz Al Shaqi (2002) juga berpandangan bahawa apa sahaja syarat di dalam atau di luar akad hibah yang telah dipersetujui bersama adalah dibenarkan asalkan ia tidak bercanggah dengan objektif hibah itu dibuat.

 

Ia juga selari dengan prinsip fiqh iaitu al-muslimuna ala shurutihim (manusia itu diikat pada janjinya).

 

 

Wasiyyah

 

 

Jadi bolehkah sesuatu hibah itu diletakkan syarat dan adakah syarat itu mengikat?

 

Jawapannya ialah ‘BOLEH’ namun kedua-dua syarat yang saya ulaskan di atas mestilah dipenuhi iaitu syarat itu mestilah bukan syarat yang fasad dan tidak bercanggah dengan agama serta syarat itu  mestilah dipersetujui oleh kedua-dua pihak pemberi dan penerima ketika akad atau selepas akad.

 

Kenapa pula meletakkan syarat di dalam hibah atau bersama hibah itu penting?

Kerana kita mahu menikmati manfaat dari harta itu selagi kita masih hidup. Jika syarat ini tidak diletakkan, maka kita dianggap telah menyerahkan ain dan manfaat harta itu sepenuhnya kepada penerima hibah.

 

Ia juga bermakna kita sudah memutuskan diri kita dari apa-apa hak untuk menikmati harta itu.

 

Dalam pengalaman saya, ada juga orang Islam yang membuat hibah dengan Wasiyyah Shoppe Berhad tidak mahu memasukkan syarat di dalam hibah mereka.

 

Mereka memang sudah nekad mereka mahu menghibahkan keseluruhan ain dan manfaat harta kepada penerima hibah. Ini adalah sebahagian dari hibah mutlak.  Mereka tidak mahu lagi dikaitkan dengan harta itu.

 

Hibah mutlak ini juga boleh dilaksanakan dan ia adalah pilihan kepada masyarakat di Malaysia. Wasiyyah Shoppe Berhad boleh membantu di dalam pelaksanaan kedua-dua hibah bersyarat dan hibah mutlak.   

 

  

Wasiyyah
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Wasiyyah

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags