Lebih 40 syarikat hantar tender projek MRT3 | DagangNews Skip to main content

Lebih 40 syarikat hantar tender projek MRT3

Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Lebih 40 syarikat pembinaan telah menghantar tender masing-masing bagi projek Laluan Lingkaran Aliran Transit Massa 3 (MRT3).

 

Penyertaan itu dihantar menerusi proses Permintaan Maklumat (RFI) bagi membolehkan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengukur minat, kapasiti dan kemampuan pembida bagi projek berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, proses RFI yang berakhir 25 Mei lalu bakal membantu syarikat mewujudkan struktur terbaik bagi projek berkenaan.

 

Mohd Zarif Hashim
Mohd Zarif Hashim

 

"Kami telah berhubung dengan peserta yang terbabit dalam proses RFI dan memberi maklum balas mengenai maklumat yang diberikan," katanya dalam satu kenyataan, seperti dilaporkan Berita Harian. 

 

MRT Corp dalam pada itu masih membuat penilaian kebaikan skim Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) bagi projek pembinaan pengangkutan berkenaan.

 

Oleh itu, MRT Corp perlu meminda garis masa untuk proses tender pakej pertama projek serta bakal mengumumkan tarikh baharu untuk tender berkenaan pada masa akan datang.

 

Sekitar April tahun ini, MRT Corp berhasrat untuk mengumpul dana swasta sebagai langkah untuk menjana 10% hingga 30% daripada jumlah projek pembangunan MRT3.

 

Baca : MRT rancang kumpul dana jana 10-30% projek MRT3

 

Syarikat juga mengesahkan tender tersebut dibuka untuk bidaan pada bulan hadapan. - DagangNews.com