Lancar kempen e-Bayaran Balik, Fave peruntuk RM10,000 kepada setiap peniaga | DagangNews Skip to main content

Lancar kempen e-Bayaran Balik, Fave peruntuk RM10,000 kepada setiap peniaga

KUALA LUMPUR 7 Julai - Syarikat platform peniaga digital, Fave melancarkan sistem e-Bayaran Balik kepada peniaga tempatan sekali gus memperuntukkan RM10,000 kepada setiap pelanggan mereka.

Pelancaran itu dibuat selepas syarikat tersebut dilantik sebagai rakan e-dagang rasmi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dilancarkan kerajaan menerusi kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Pengurus Besar Pertumbuhan dan Operasi Fave Malaysia, Jason Wong berkata, Fave akan turut bersama menaja Kempen E-dagang Perusahaan Mikro serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), (Kempen E-dagang MPKS), yang bertujuan untuk menggalakkan PKS meningkatkan capaian pelanggan menerusi platform e-dagang.

"Fave turut menyokong peruntukan RM70 juta daripada kerajaan dan sebagai jenama tanah air Fave dengan ini memberi sumbangan pembiayaan pemasaran tambahan sebanyak RM10,000 bagi setiap peniaga menerusi kod promosi dan insentif e-Bayaran Balik kepada pelanggan.

"Apabila e-Bayaran Balik ini digunakan oleh pelanggan untuk membeli baucer dalam talian dan kad hadiah menerusi platform Fave, ia akan dapat meningkatkan aliran tunai peniaga sekali gus meningkatkan jualan e-dagang mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

FAVE

Kerajaan telah memperuntukkan RM70 juta untuk perniagaan tempatan yang beroperasi menerusi rakan e-dagang di bawah PENJANA untuk memacu pemulihan perniagaan tempatan.

Bermula 1 Julai 2020 pula, pelanggan yang telah menyimpan kod promo peniaga pilihan mereka sepanjang kempen ini akan dapat menerima tajaan e-Bayaran Balik tambahan sehingga 20% dan boleh menggunakannya untuk mana-mana kad hadiah baucar digital (FaveDeals) serta kad hadiah (e-Kad) pada platform Fave daripada lebih 15,000 peniaga di seluruh Malaysia.

Jelas Wong lagi, peningkatan jualan peniaga Fave dijangka akan meningkat 10 kali ganda dengan anggaran pertumbuhan ekonomi berjumlah RM200 juta nilai jualan dalam tiga bulan yang seterusnya selain membuka peluang kepada lima juta pelanggan.

"Kempen ini akan berlangsung hingga 30 September 2020. Semua peniaga digalakkan untuk mendaftar di platform Fave pada bulan Julai bagi menikmati manfaat pembiayaan pemasaran yang ditaja bersama selain akses percuma ke platform peniaga digital FaveBiz bagi peniaga baru," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, MPKS akan berada di kedudukan lebih kukuh untuk meningkatkan ketangkasan perniagaan menerusi pasaran dalam talian.

fave

"Kempen ini pada umumnya bertujuan untuk memberi manfaat kepada peniaga tempatan, tetapi turut memanfaatkan penggiat e-dagang tempatan lain dalam ekosistem perniagaan seperti pemasaran digital, penghantaran dan perkhidmatan e-pembayaran.

"Menerusi kempen di bawah PENJANA ini, peralihan MPKS kepada konsep e-dagang juga akan menyokong pertumbuhan perniagaan selari dengan agenda transformasi digital nasional kita," ujarnya. - DagangNews.com