Kulim jalin kerjasama dengan Greenheart Produce teroka projek pertanian pintar | DagangNews Skip to main content

Kulim jalin kerjasama dengan Greenheart Produce teroka projek pertanian pintar

Pengarah Urusan Kulim, Mohd. Faris Adli Shukery (dua dari kiri) memetrai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Greenheart Produce Pte. Ltd. yang diwakili oleh Pengerusinya, Richard Price (dua dari kanan) bagi penerokaan projek pertanian pintar di Johor.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mei - Kulim (Malaysia) Berhad sedang meneroka usaha sama pembangunan projek pertanian pintar yang akan dilaksanakan di Sedenak, Johor.


Ia susulan daripada pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama Greenheart Produce Pte. Ltd. (Greenheart) ke arah melaksanakan projek tersebut. 

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, projek tersebut akan memanfaatkan Sistem Pertanian Pintar GreenHouse milik Greenheart merangkumi pengurusan iklim, kawalan perosak biologi dan amalan saliran pintar yang dijadualkan bermula awal tahun hadapan. 

 

Syarikat itu menyasarkan untuk menghasilkan tanaman segar seperti lada benggala, tomato ceri, cili dan sayur-sayuran lain selaras komitmen membangunkan ekosistem pertanian mampan. 

 

Pengarah Urusan Kulim, Mohd. Faris Adli Shukery berkata, kerjasama tersebut merupakan salah satu usaha Kulim membangunkan pertanian mampan dan meningkatkan kelebihan daya saing dalam industri pertanian. 

 

Katanya, projek itu berupaya menyumbang lebih banyak kepada pertumbuhan ekonomi Johor. 

 

"Pemeteraian MoU ini sejajar dengan teras strategik syarikat untuk meletakkan diri sebagai syarikat peneraju keselamatan makanan negara," katanya.

 

Projek itu akan memberi keutamaan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan meminimumkan penggunaan racun perosak dan bahan kimia berbahaya selain memberi fokus kepada penggunaan sumber semula jadi serta kecekapan teknologi.

 

Sementara itu, Pengerusi Greenheart, Richard Price berkata, kerjasama itu adalah langkah positif ke arah mempunyai jejak ketara dalam bekalan pertanian untuk pasaran domestik dan antarabangsa. 

 

"Ia juga menangani keperluan keselamatan makanan bukan sahaja untuk Johor tetapi seluruh negara," katanya. - DagangNews.com