Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Apa Kata Media Cina - 5 February 2022

KUATKAH HARIMAU AIR?

Sin Chew Jit Poh, 3 Feb 2022

 

 

 

PRESTASI ekonomi Malaysia kelihatan stabil pada awal tahun 2021, dengan kelonggaran sekatan dan eksport serta permintaan domestik yang kukuh.

 

Penguncupan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku pertama mengecil kepada 0.5% dan berterusan sehingga suku kedua. Kemudian keadaan bertambah baik dengan perkembangan sebanyak 16.1%.

 

Malangnya wabak kembali mengganas dan memaksa kerajaan melaksanakan semula langkah-langkah sekatan. Perintah sekatan ketat yang berlangsung selama hampir 3 bulan telah menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga 2021.

 

Apabila wabak mula berjaya dikawal dengan peningkatan kadar vaksinasi, kemudian langkah-langkah sekatan dilonggarkan semula dan prestasi eksport yang kukuh berterusan, pasaran menjangkakan ekonomi pulih sebanyak 4 hingga 4.5% pada suku keempat.

 

Bagaimanapun pertumbuhan tersebut mungkin akan berdepan dengan tekanan.

 

Data menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan “on-off”, pasaran pekerjaan masih belum pulih dengan ketara.

 

Walaupun kadar pengangguran jatuh pada 4.3% pada Oktober terendah sejak April 2020, ia masih sama seperti 3% sebelum penularan wabak.

 

Apabila pasaran pekerjaan masih tidak berubah maka secara semulajadi keupayaan rakyat berbelanja akan terjejas.

 

Lebih memburukkan keadaan, gangguan rantaian bekalan makanan global dan kenaikan harga minyak antarabangsa terus memberi tekanan kepada inflasi domestik.

 

 

apa

 

 

Purata kadar inflasi dalam tempoh 9 bulan pertama 2021 mencapai 2.3%, walaupun ia konsisten dengan sasaran inflasi tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak 2 hingga 3%, jika gangguan rantaian bekalan dan harga barang mentah yang melambung tinggi masih tidak selesai, risiko inflasi semakin meningkat dan memberi tekanan kepada keupayaan berbelanja.

 

Di samping itu, hutang isi rumah berada pada 89.6% daripada KDNK sehingga akhir September 2021 jelas menghalang keupayaan pengguna untuk meminjam lagi.

 

Walaupun ekonomi Malaysia bergerak menurun pada tahun lembu emas 2021, namun dengan peningkatan kadar vaksinasi dan penggalak, diramalkan tahun harimau air 2022 akan membuka langkah yang lebih cekap dan pantas.

 

Menurut kajian Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), varian Omicron hanya akan memperlahankan pemulihan tetapi tidak akan menjejaskan ekonomi untuk kembali semula ke landasan. BIMB optimis langkah kelonggaran sekatan akan memacu pemulihan perbelanjaan domestik apabila lebih banyak aktiviti dibenarkan.

 

Tahun harimau air juga bakal menyaksikan momentum perbelanjaan pengguna semakin utuh kerana mereka optimis mengenai prospek ekonomi dan pasaran pekerjaan dijangka akan bertambah baik.

 

Sementara itu, bagi sektor pelaburan pula dijangka berkembang dengan adanya usaha kerajaan mempromosikan pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor teknologi tinggi, nilai tambah tinggi, berinsentif dan inovatif yang dijangka dapat meningkatkan sentimen pelaburan secara keseluruhan.

 

Pemulihan dalam aktiviti pelaburan akan memberi sokongan kukuh untuk permintaan domestik. Ditambah lagi dengan perbelanjaan modal untuk projek infrastruktur besar dalam sektor awam, dijangkakan pertumbuhan pelaburan kepada KDNK lebih kukuh pada tahun 2022.

 

 

apa

 

 

Prestasi pelaburan swasta pada tahun harimau mungkin akan dirangsang oleh peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dalam peralatan elektronik dan elektrik serta logistik apabila syarikat memperuntukkan semula perbelanjaan modal.

 

Bagaimanapun sementara permintaan dalam negeri berkembang pesat, persekitaran luaran telah menambah pembolehubah kepada ekonomi Malaysia.

 

Antaranya kelembapan momentum pertumbuhan ekonomi utama dunia iaitu Naga Timur China, akan memberi cabaran kepada prestasi eksport Malaysia.

 

Walaupun harimau air nampak bertuah, namun masih perlu berhati-hati apabila ditimpa musibah. Antara bencana yang mungkin akan dihadapi sang harimau air adalah:

 

1. Wabak – Penularan varian Omicron di banyak negara mendorong pelabur menilai potensi kesan virus baru terhadap ekonomi. Pakar kesihatan menegaskan petunjuk awal varian ini lebih mudah berjangkit berbanding Delta dan vaksin semasa mungkin sukar untuk menghentikannya. Pakar telah memberi amaran bahawa jika wabak ini berlarutan, varian baru virus dengan potensi anti-vaksin akan muncul pada masa depan.

 

2. Harga – Kajian BIMB menunjukkan harga bahan mentah tinggi yang dihadapi oleh rantaian bekalan global dan industri logistik, menyebabkan kos pengeluaran meningkat banyak dan tekanan inflasi akan dirasai oleh pengguna akhir. Jika situasi ini berterusan, tekanan harga mungkin kekal sepanjang tahun.

 

3. Kelembapan ekonomi China – Walaupun ekonomi China melantun semula pada tahun 2021, tetapi momentum pemulihan bermula dengan perlahan kerana wabak kembali berulang. Trend ini mungkin akan berlanjutan di tahun harimau. Pematuhan China kepada dasar pencegahan wabak ‘sifar’ masih menjadi kunci penentu kadar pertumbuhan ekonomi.

 

4. Ketidakstabilan politik negara – keadaan politik yang bergolak akan menjadi risiko kepada ekonomi tahun ini. Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) tahun anjing 2018, tidak membawa kestabilan kepada politik Malaysia malah lebih kucar-kacir dengan penukaran kerajaan 3 kali dalam masa 3 tahun.

 

Walaupun Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan menandatangani memorandum persefahaman mengenai transformasi dan kestabilan politik (MOU), sedikit sebanyak menstabilkan situasi politik, namun sebaik sahaja syarat untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai tamat, nescaya keadaan politik mungkin berubah lagi.

 

Pakar ekonomi percaya bahawa walaupun kerajaan perlu mengadakan PRU selewat-lewatnya pada tahun arnab 2023, rata-rata meramalkan ia akan berlangsung pada separuh kedua tahun harimau yang mungkin membawa ketidakpastian hala tuju dasar masa hadapan.

 

 

PM

 

 

Kesimpulannya, tahun harimau air dijangka akan membawa lebih banyak sinar baru kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.

 

Genggamlah peluang ini, tetapi jangan lupa wabak masih mengelilingi kita. Selamat Tahun Baharu!  - DagangNews.com

 

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 3 Februari 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags