KTMB capai kadar 96% vaksinasi untuk warga kerja | DagangNews Skip to main content

KTMB capai kadar 96% vaksinasi untuk warga kerja


KUALA LUMPUR 3 Sept – Sasaran 96% kadar vaksinasi kakitangan Keretapi Tanah Melayu (KTMB) berjaya dicapai melalui dua program vaksinasi industri iaitu 769 kakitangan di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis yang telah dibawa dengan tren khas ke Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Akademi KTM (MyRA), Batu Gajah, Perak untuk mendapatkan dos pertama dan kedua.

 

Inisiatif ini bagi membantu kerajaan yang mencapai sasaran 50% imuniti ke atas enam buah negeri iaitu Terengganu, Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah selewat-
lewatnya akhir September ini. Program vaksinasi KTMB ini melibatkan semua kakitangan dari pelbagai bidang kerja dan tidak terhad kepada barisan hadapan
(frontliners) sahaja.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Rani Hisham Samsudin, sebagai syarikat pengangkutan awam negara, KTMB komited untuk memastikan kakitangan mendapatkan vaksin lengkap bagi mengurangkan jangkitan COVID-19 ini memandangkan syarikat berurusan dengan pengguna.

 

Pada hari ini dan semalam telah berlangsung pemberian vaksin yang menjadikan capaian 96% dari 5,787 kakitangan KTMB di seluruh negara. KTMB sebelum ini telah memulakan program vaksinasi pada Julai dan Ogos di PPVIN KL Sentral dan Akademi KTM (MyRA), Batu Gajah.

 

Mohd Rani berkata, usaha ini adalah usaha bersama sebagai persediaan pembukaan sektor ekonomi dan mengembalikan semula momentum penggunaan pengangkutan
awam.

 

''Kami ingin meyakinkan pengguna akan komitmen kami menjadikan perkhidmatan tren sebagai perkhidmatan yang selamat bagi semua aktiviti sosial terutamanya sektor pelancongan.

 

''Keselamatan pengguna juga diambil kira dengan memastikan pihak kami membuat pemantauan terhadap orang awam yang hanya lengkap dengan 2 dos untuk membuat perjalanan rentas negeri juga menjaga kebersihan koc dengan melakukan disinfeksi secara kerap,” katanya.

 

KTMB merupakan operator rel negara yang turut terkesan dengan penularan pandemik COVID-19. Melalui inisiatif ini diharap dapat meyakinkan kerajaan untuk
membenarkan aktiviti rentas negeri bagi merancakkan semula ekonomi negara. - DagangNews.com