KSM jumpa Malindo Air hari ini | DagangNews Skip to main content

KSM jumpa Malindo Air hari ini

 

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, Jabatan Tenaga Kerja mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan Malindo Air berhubung pemberhentian pekerja di syarikat itu. 

Pertemuan itu turut melibatkan Jabatan Perhubungan Perusahaan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang bertujuan membincangkan isu berkaitan pematuhan perundangan perburuhan serta langkah-langkah menjaga pekerja yang terlibat.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, bekas pekerja yang diberhentikan boleh mendapatkan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) selama enam bulan. 

Selain itu, mereka juga boleh mendaftar dengan Portal MYFutureJobs untuk mencari pekerjaan selain mengikuti program Gerak Insan Gemilang (GIG) bagi mendapatkan latihan kemahiran sebagai langkah menjana pendapatan sementara. 

Bayaran EMP akan dibuat antara 80% hingga 30% daripada gaji akhir, di bawah had gaji RM4,000.

“Di bawah inisiatif “Place and Train”, pekerja Malindo Air boleh dilatih semula dan ditempatkan bagi mengisi kekosongan kerja yang ditawarkan dalam ‘industry hospitality’ yang berkaitan,” katanya kepada Dewan Rakyat. 

Beliau menjawab soalan P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) mengenai insiatif atau bantuan yang ditawarkan kepada pekerja Malindo Air yang diberhentikan.

Setakat 2 November 2020, Saravanan berkata, Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) telah menerima 31 kes representasi pemulihan kerja di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) yang melibatkan bekas pekerja-pekerja Malindo Air.

Sebanyak 24 kes daripada jumlah berkenaan telah berjaya diselesaikan menerusi rundingan damai, dengan tujuh lagi baki kes masih dalam tindakan JPP untuk proses rundingan damai.

“JPP menjangkakan dalam masa terdekat, lebih banyak kes akan diterima daripada bekas pekerja-pekerja Malindo Air memandangkan had tempoh masa 60 hari yang ditetapkan di bawah Akta 177 belum tamat dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di beberapa negeri masih lagi berkuat kuasa,” tambah Saravanan. - DagangNews.com