Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Apa Kata Media Cina - 28 May 2022

KRISIS MAKANAN: APA TINDAKAN NEGARA?

Sin Chew Jit Poh, 26 Mei 2022

 

 

 

KEBELAKANGAN ini, perubahan iklim yang tidak menentu benar-benar membimbangkan kita. Perubahan cuaca negara kita tidak ekstrem berbanding negara-negara lain.

 

Sebagai contoh di Utara India, walaupun negara itu akan dilanda gelombang haba pada bulan Mei dan Jun setiap tahun, namun purata suhu tinggi gelombang haba tahun ini telah melebihi rekod selama 22 tahun.

 

Menurut laporan, gelombang haba ini akan menjadi lebih kuat dan berterusan untuk jangka masa lama.

 

Setakat 20 Mei, kira-kira 20 negara telah menyekat eksport bijirin dan tanaman utama.

 

Jika sebelum ini antara produk makanan yang disekat adalah seperti jagung; barli; kacang soya; minyak masak; garam dan gula.

 

Kini sayur-sayuran seperti kentang; tomato; terung; bawang dan lain-lain turut disekat. Langkah yang diambil oleh negara India menghentikan eksport gandum berkuatkuasa 13 Mei telah mendapat perhatian.

 

Ini kerana India adalah pengeluar gandum kedua terbesar di dunia, sekatan eksport atas alasan demi menjamin keselamatan makanan negara sendiri, memberi amaran bahawa krisis makanan bukan perkara remeh. 

 

Selain itu, terdapat beberapa buah negara juga telah mengehadkan eksport produk daging termasuk ayam, lembu dan kambing.

 

 

india
India belum bersedia menarik balik larangan eksport gandumnya walaupun sudah dirayu IMF.

 

 

Krisis makanan dan inflasi, apakah langkah yang dilakukan oleh negara? Kita tidak perlu buang masa untuk membincangkan isu ‘tanam daun ketum’.

 

Sektor pertanian harus mengambil inisiatif untuk berjalan dan melihat bagaimana orang lain meningkatkan hasil dan kualiti tanaman.

 

Baru-baru ini, apabila negara kecoh dengan isu kekurangan bekalan ayam. Mesyuarat kabinet yang kebiasaannya diadakan pada hari Rabu telah ditukarkan kepada Isnin bagi membincangkan dan mencari penyelesaian kepada isu krisis makanan dan inflasi negara.

 

Kedengaran seperti PM begitu tangkas untuk menyelesaikan masalah, tetapi adakah ia benar-benar berlaku?

 

Hakikatnya kerajaan bertindak terlalu perlahan, bukankah sepatutnya kita sudah ada jalan penyelesaian? Peningkatan kos sara hidup bukan perkara baru dan begitu juga dengan isu kekurangan bekalan.

 

Tidakkah kabinet nampak peningkatan harga berkali ganda? Krisis makanan dan inflasi kali ini adalah yang paling terkesan kepada rakyat sejak merdeka.

 

Hanya dengan adanya kawalan kerajaan terhadap beberapa produk termasuk harga minyak, barulah rakyat dapat tarik nafas lega.

 

Kita ambil contoh kawalan harga daging ayam, kenaikan harga dedak menyebabkan penternak mengurangkan ternakan. Jika harga ayam tidak diselaraskan, ‘kekurangan bekalan’ adalah tidak dapat dielakkan.

 

Tahun lepas, sebanyak 53 buah negara dengan jumlah seramai 193 juta orang menghadapi kekurangan bekalan makanan yang teruk.

 

 

gandum

 

 

Tahun ini, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah mengganggu rantaian bekalan makanan seperti barli; jagung; gandum dan biji bunga matahari. Akibat peperangan kedua-dua negara itu telah mengakibatkan kekurangan makanan, telah jelas mendedahkan kerapuhan struktur bekalan makanan global.

 

Selain bekalan makanan ruji, bekalan baja nitrogen, kalium dan fosforus Rusia juga turut terjejas. Ditambah pula dengan kesan perubahan iklim, krisis makanan tahun ini mungkin akan berlarutan untuk jangka masa yang lama.

 

Ketua Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), David Beasley juga telah memberi amaran berhubung kebuluran yang teruk dan berpuluh-puluh negara dengan ratusan juta orang telah berada di ambang kebuluran.

 

Dana adalah sangat-sangat diperlukan untuk segera menyelamatkan kekurangan bekalan makanan global, sebelum semuanya terlambat.

 

Malaysia mungkin bukan antara negara sedang mengalami kekurangan makanan yang teruk, tetapi kita tidak dapat lari daripada keadaan inflasi, kenaikan harga dan kekurangan bekalan.

 

Ringgit telah lama berada di paras rendah berbanding dolar AS dan rakyat terpaksa berdepan dengan realiti harga tinggi barangan import.

 

Apabila dunia aman, tiada peperangan dan bekalan global mencukupi, kita tidak akan merasa terjejas dengan kenaikan harga barangan import.

 

Tetapi sekiranya berlaku perang, terdapat kekurangan bekalan makanan, kekurangan baja untuk tanaman menyebabkan penurunan pengeluaran secara mendadak.

 

 

yas

 

 

Begitu juga kekurangan bekalan petrol dan bahan api, kenaikan harga juga meningkatkan kos pembuatan dan logistik. Kesan rantaian ini akan mencetuskan inflasi global.

 

Tidak banyak langkah yang boleh kerajaan ambil untuk menangani krisis makanan dan inflasi. Antaranya:-

1.        Nilai tukaran ringgit berbanding dolar AS mesti distabilkan (contohnya AS$1: RM4.0), bagi mengekang harga barangan import.

2.        Mencari makanan alternatif sebagai pengganti atau menerusi subsidi yang munasabah untuk mengawal harga barangan keperluan seharian. Dasar subsidi harus dirasionalkan agar kerajaan dapat memberikannya untuk keperluan hidup golongan pertengahan dan bawahan.

3.        Menjimatkan perbelanjaan dan mengurangkan pembaziran. Menurut laporan Indeks Sisa Makanan Program Alam Sekitar PBB, 1 bilion tan makanan telah dibazirkan di seluruh dunia pada tahun 2019 dan hampir 17 peratus daripada makanan akhirnya dibuang ke dalam tong sampah. Ini adalah perkara yang harus dielakkan oleh semua rakyat.

 

Bagi jangka masa panjang pula, Malaysia perlu berusaha untuk menghasilkan kepelbagaian tanaman.

 

Pada masa ini, kita mempunyai 4.85 juta hektar tanah pertanian dengan 41% - kelapa sawit; 33% - getah; koko – 7% dan kelapa sebanyak 6%.

 

Sebaliknya beras yang menjadi makanan ruji setiap hari hanya menyumbang 12% daripada tanah pertanian.

 

 

ayam

 

 

Kekurangan makanan global mungkin akan berlarutan selama 1 atau 2 tahun.

 

Adakah Malaysia yang bergantung kepada 35% makanan import, sudah bersiap sedia?

 

Kita difahamkan negara mempunyai sejumlah simpanan makanan untuk tujuan kecemasan, tetapi krisis kekurangan makanan kali ini tidak boleh dipandang ringan.

 

Jadi sebelum lonjakan harga makanan global, rizab makanan negara perlu ditingkatkan sebanyak 50% atau lebih. - DagangNews.com

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 26 Mei 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags