KPPK harap lebih ramai usahawan Bumiputera terlibat dengan industri perkayuan | DagangNews Skip to main content

KPPK harap lebih ramai usahawan Bumiputera terlibat dengan industri perkayuan

Datuk Willie Mongin ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC) di Banting, hari ini.

 


NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Nov - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berharap lebih ramai usahawan Bumiputera terlibat dengan industri perkayuan negara kerana jumlah keterlibatan mereka masih rendah sehingga kini.

 

Timbalan Menteri, Datuk Willie Mongin berkata, Malaysia mempunyai seramai 1,900 pengusaha industri perkayuan namu daripada jumlah keseluruhan, hanya 400 daripadanya terdiri daripada golongan Bumiputera yang beroperasi pada skala kecil.

 

“Kita menyeru lebih ramai belia dan usahawan bumiputera untuk terlibat dengan sektor perkayuan antaranya pembuatan perabot, tanggam dan kabinet dapur kerana peluang dalam sektor ini banyak.

 

“Kita lihat dalam industri pembuatan perabot (perkayuan) sebagai contoh penglibatan Bumiputera itu tidak sampai lima peratus,” katanya selepas lawatan kerja ke Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC) di Banting, hari ini, lapor Bernama.

 

Mengulas lawatan kerja di WISDEC, beliau menyifatkan, pusat kemahiran itu perlu membuat penambahan silibus merangkumi latihan kewangan dan pemasaran untuk peserta yang menjalani kursus di kemudahan seliaan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) itu dalam masa terdekat.

 

Willie berkata, peserta di pusat yang bertaraf pusat kecemerlangan itu perlu diterapkan dengan pendedahan menguruskan kewangan memandangkan mereka sudah mempunyai idea yang bernas dan kreativiti yang diterjemahkan dalam penghasilan produk.

 

“Apabila mereka menjadi usahawan, mereka tidak ada pendedahan menguruskan kewangan, dan itu merupakan antara faktor mereka tidak berjaya ke peringkat akhir,” katanya.-Dagangnews.com