KPLB segerakan kerja baik pulih kediaman mangsa banjir di Baling | DagangNews Skip to main content

KPLB segerakan kerja baik pulih kediaman mangsa banjir di Baling

Datuk Seri Mahdzir Khalid melakukan tinjauan banjir di Kampung Sungai Iboi, Baling, Kedah.

BALING 6 Julai - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membuat penilaian segera bagi menyalurkan bantuan pembaikan rumah mangsa banjir di daerah Baling, Kedah.

 

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, KPLB mempunyai peruntukan khas bagi bantuan berkaitan malapetaka dan bencana.

 

"Kita ada peruntukan segera, di bawah kementerian pun ada peruntukan segera yang boleh digunakan, jadi saya dah bercakap dengan KSU (ketua setiausaha) saya tadi bahawa kita akan gunakan peruntukan sebab ini dia termasuk dalam kategori malapetaka dan bencana.

 

"Kalau baiki rumah, kita nak tengok segera, GiatMara akan turun esok, kita tengok tiap-tiap rumah, pengarah KPLB pun ada di sini dan kita tengok satu rumah itu berapa yang patut kita baiki dan kalau yang boleh baiki itu kita baiki teruslah sebab ini bencana," katanya selepas melakukan tinjauan banjir di Kampung Sungai Iboi, di sini semalam.

 

Turut hadir, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Datuk Ruji Ubi.

 

Jelas Mahdzir, pihaknya akan melaksanakan proses kelulusan khas bagi menyediakan peruntukan bantuan pembaikan rumah, bina baharu dan juga pembinaan semula infrastruktur yang rosak seperti jambatan kecil.

 

Semua bentuk bantuan dan pengendalian mangsa bencana katanya, akan diselaraskan ICU JPM.

 

 

mahdzir

 

 

mahdzir

 

 

Antara keutamaan yang perlu disegerakan adalah berkaitan infrastruktur awam seperti jambatan.

 

"Antara benda yang perlu disegerakan adalah untuk membuat sambungan jambatan di Sungai Iboi ini untuk membolehkan orang seberang sana seberang sini, sekolah ada seberang sini, masjid di seberang sana, jadi nak disegerakan.

 

"Jambatan sementara, sebab jambatan yang 'solid' itu ia memakan masa tapi kalau yang itu lambat lah sebab dia nak kira sebut harga, nak kira konsultan lagi kan, jadi kita buat yang segera dahulu," katanya.

 

 

mahdzir

 

 

Tambah beliau, KPLB juga akan menggerakkan pasukan sukarelawan bencana daripada GiatMara untuk membantu daripada segi pendawaian elektrik rumah mangsa bencana.

 

"Jadi ada kaedah-kaedah yang InsyaAllah esok akan diputuskan ICU dan lain-lain, ada rumah hilang yang setakat ini telah dimaklumkan ada 7 buah dan ada rumah yang patut dibaiki, yang itu kami dah ada, dia orang dah buat senarai," kata Mahdzir.

 

 

mahdzir

 

 

Beliau turut memaklumkan, tiga buah rumah mangsa banjir yang terlibat adalah milik kakitangan agensi di bawah KPLB iaitu Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas). 

 

Manakala tiada premis tabika atau tadika Kemas terlibat dalam bencana itu. - DagangNews.com