KPLB saran pelajar keciciran, tidak minat akademik sertai TVET | DagangNews Skip to main content

KPLB saran pelajar keciciran, tidak minat akademik sertai TVET

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Julai - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyarankan pelajar keciciran sekolah dan tidak lagi berminat dalam bidang akademik mengambil peluang mengikuti laluan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

 

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bidang TVET juga memberi jaminan masa depan dengan tawaran kerja yang memenuhi kehendak industri.

 

"Kita mempunyai 280 institusi TVET di bawah KPLB, sehingga Mac 2022 dan sehingga kini jumlah pelajar TVET KPLB sudah mencecah 48,785.

 

"Jadi tadi saya mengesyorkan agar pelajar-pelajar yang keciciran sekolah ini jika dia tidak minat akademik lagi dia boleh pergi kepada kemahiran (TVET), kita ada GiatMARA,  Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan lain -lain yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kolokium Kaunseling Murid Berisiko Cicir Peringkat Negeri Kedah, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, hari ini.

 

Kolokium itu katanya, adalah untuk melihat cara pelajar tercicir berhadapan dengan keluarga selain modul untuk menarik minat pelajar terbabit kembali ke sekolah.

 

kplb

 

Beliau berkata, kes keciciran pelajar di kawasan luar bandar adalah kecil dan antara punca yang dikenal pasti adalah berkaitan masalah keluarga dan faktor kemiskinan.

 

kplb

 

"Jumlah pelajar yang tercicir tidak ramai berbanding jumlah 5 juta pelajar sekolah di seluruh negara, jadi guru kaunseling ini perlu ada modul untuk menarik mereka kembali ke sekolah dan sekiranya mereka tidak berminat kita cadang mereka ke laluan TVET.

 

kplb

 

"Kolokium Kaunseling Murid Berisiko Cicir Negeri Kedah yang diadakan ini adalah juga untuk melihat bagaimana pelajar tercicir berhadapan dengan keluarga selain modul untuk menarik minat pelajar terbabit kembali ke sekolah," katanya. - DagangNews.com