KPJ Healthcare catat perolehan lebih tinggi sebanyak RM698.96 juta | DagangNews Skip to main content

KPJ Healthcare catat perolehan lebih tinggi sebanyak RM698.96 juta


KUALA LUMPUR 27 Nov - KPJ Healthcare Bhd mencatatkan perolehan yang lebih tinggi sebanyak RM698.96 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept  2021, meningkat 10% berbanding RM633.44 juta pada suku yang sama tahun lepas. 

 

Perolehan yang lebih baik ini adalah disebabkan oleh peningkatan kemasukan pesakit selepas kelonggaran sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelaksanaan Pelan Pemulihan Nasional (NRP), kata KPJ Healthcare dalam satu kenyataan. 

 

Kunjungan pesakit bertambah kepada 782,732 orang pada suku yang ditinjau daripada 736,255 yang direkodkan dalam suku yang sama 2020.

 

Kumpulan penjagaan kesihatan itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM12.64 juta berbanding RM33.97 juta setahun sebelumnya. 

 

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada suku yang ditinjau berjumlah RM147.9 juta, menokok 27% daripada RM116.9 juta pada suku kedua tahun ini. 

 

Keuntungan sebelum cukai melonjak kepada RM43.4 juta daripada RM14.2 juta.

 

“Prestasi  EBITDA dan keuntungan pra-paksi yang lebih mantap didorong oleh prestasi hasil yang lebih tinggi dan rebat sewa yang dinikmati di bawah insentif daripada Al-'Aqar Healthcare Real Estate Investment Trust,” kata kumpulan itu, lapor Bernama. 

 

Untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2021, KPJ Healthcare mencatatkan hasil sebanyak RM1.94 bilion, meningkat sembilan peratus dari tahun ke tahun susulan kerjasama aktif dengan sektor penjagaan kesihatan awam dalam merawat pesakit COVID-19, saringan COVID-19 yang lebih tinggi, ujian makmal dan perkhidmatan vaksinasi.

 

"Perolehan juga disokong oleh peningkatan aktiviti hospital daripada kelonggaran PKP dan pelaksanaan NRP," tambahnya. 


 

kpj

 


Kumpulan itu ketika bercakap mengenai masa hadapan memberitahu  ia akan kekal berhati-hati terhadap prospeknya untuk jangka pendek berdasarkan keadaan makroekonomi yang agak lemah, diburukkan lagi oleh pemulihan pandemik global yang perlahan.

 

"KPJ Healthcare terus meneroka jalan ke arah pertumbuhan berterusan kumpulan dengan menfokus kepada pelancaran program penambahbaikan berterusannya, yang dijangka akan membawa kepada peningkatan dalam kecekapan operasi, daripada inisiatif perolehan pusat untuk perkhidmatan dan peralatan, serta memperkenalkan teknologi inovatif, yang semuanya akan menambah strategi penjimatan kos kami. 

 

“Ini akan mengukuhkan lagi perniagaan kami terhadap sebarang kemelesetan operasi yang dihadapi oleh persekitaran pasaran yang mencabar sepanjang tahun kewangan ini," tambahnya. - DagangNews.com