Komuniti perniagaan mahu kerajaan lakukan perubahan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 14 May 2022

KOMUNITI PERNIAGAAN MAHU KERAJAAN LAKUKAN PERUBAHAN

Nanyang Siang Pao, 10 Mei 2022

 

 

 

PELABURAN swasta yang lemah merupakan cabaran utama bagi Malaysia kerana ia akan memperlahankan pengumpulan modal, pertumbuhan produktiviti dan perkembangan eksport.

 

Sekali gus menghalang prospek pertumbuhan ekonomi masa depan.

 

Pertumbuhan pelaburan swasta di Malaysia merosot dengan ketara kepada purata tahunan sebanyak 1.5% dari tahun 2016 hingga 2021, daripada purata kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 12.1% pada 2011-2015.

 

Beberapa tahun kebelakangan ini, bahagian pelaburan swasta dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga telah menurun, daripada 17% pada 2018 kepada 15% pada 2021.

 

Impak pandemik Covid-19 menyebabkan pelaburan swasta menjunam sebanyak 11.9% pada 2020, sebelum melantun semula pada 2021 dengan peningkatan 2.6%.

 

Terdapat beberapa halangan yang memperlahankan pertumbuhan pelaburan swasta, ini termasuklah prospek ekonomi global dan domestik yang lemah, kos operasi, kos pematuhan kawal selia yang tinggi, insentif dan dasar yang diputarbelitkan, kekurangan tenaga kerja, pembiayaan yang tidak mencukupi untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), keuntungan dan pulangan pelaburan (ROI) yang rendah, dan kelembapan aliran masuk pelaburan asing.

 

Selain itu, risiko politik dan ketidaktentuan dasar juga menjejaskan sentimen pelabur.

 


 

apa

 


 

Ekonomi Malaysia berdepan cabaran yang serius apabila pesaing serantau seperti Singapura, Indonesia, Vietnam dan Filipina sedang memperbaiki iklim pelaburan mereka untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).

 

Dari tahun 2015 hingga 2020, purata aliran masuk bersih FDI negara adalah AS$8.3 bilion, jauh lebih rendah daripada Singapura AS$82.5 bilion, Indonesia – AS$17.4 bilion, Vietnam – AS$14.3 bilion.

 

Oleh itu dalam era pasca wabak, Malaysia harus mencapai kadar pelaburan swasta yang lebih tinggi dengan menambah baik iklim pelaburan domestik, termasuk mengukuhkan ekosistem yang menguntungkan, memastikan kestabilan makroekonomi, mengekalkan kepastian polisi, meningkatkan cukai dan daya saing kos, dan mengurangkan kos pematuhan kawal selia.

 

Selain keperluan memastikan aliran masuk FDI berterusan, pelaburan langsung domestik (DDI) juga sama penting  untuk membina asas yang kukuh bagi industri tempatan, bukan sahaja untuk terus kekal bertahan di negara tetapi juga mampu bersaing di pasaran antarabangsa.

 

Kami amat mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan (NCI) untuk menyemak, menyusun semula dan merangka dasar berkaitan pelaburan serta menangani isu utama dalam pelaksanaan.

 

Kerajaan juga boleh membentuk Pasukan Petugas Khas bagi mengukuhkan keazaman kerajaan untuk menggalakkan DDI yang inklusif, teguh dan mampan.

 

 

apa

 

 

Berikut adalah bidang khusus yang memerlukan pembaharuan segera dan drastik:

 

1.         Karenah birokrasi

Perkara yang menyakitkan dalam berurusan dengan agensi , jabatan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan berhubung dengan prosedur berkaitan perniagaan.

Ini termasuklah kelewatan dan proses kelulusan yang panjang, kekeliruan dan kerumitan untuk berkomunikasi dengan pelbagai agensi.

Selain terpaksa menyediakan maklumat yang sama berulang kali, mengisi kertas kerja dan memohon lesen yang tiada keperluan dan terlalu ramai pembuat keputusan telah menyukarkan peniaga dan pelabur untuk melaksanakan perkara berkaitan pematuhan kawal selia. Sangat sukar dan memakan masa!

 

2.        Kos pematuhan kawal selia

Jelas sekali terdapat keperluan untuk memudahkan dan memperkemaskan sistem kawal selia bagi mengurangkan beban peniaga.

Kerajaan boleh menggunakan model sistem kawal selia yang lebih cekap.

Contohnya sistem ‘kos keluar masuk’ memaksa agensi untuk mengehadkan kos tambahan peraturan baharu, memansuhkan atau melonggarkan peraturan yang menelan kos berlebihan.

Peraturan yang lebih mudah dan telus juga boleh mengurangkan rasuah.\

 

3.        Mengkaji dan memperbaharui insentif pelaburan dan sistem percukaian

Membuat penilaian semula insentif dan penggunaannya. Tujuannya adalah untuk memantau prestasi dengan mengambil kira keperluan perniagaan kemudian membangunkan pelan keluar untuk menghapuskan insentif secara berperingkat.

Pemberian insentif secara automatik akan memberi isyarat kepada pelabur bahawa kerajaan sedang berusaha untuk menjadikan proses pelaburan yang lebih mesra.

Tetapi dengan menetapkan had masa untuk insentif, memberi mesej kepada bakal pelabur bahawa mereka mempunyai masa terhad untuk mendapatkan manfaat daripada insentif tersebut.

 

4.        Pusat sehenti (OSC)

Semua perkhidmatan yang disediakan oleh OSC seperti permohonan pendaftaran perniagaan, penyerahan dokumen dan pembayaran yuran  sebagainya perlu lebih efektif.

Sistem OSC secara dalam talian juga perlu dipautkan dengan semua struktur kerajaan yang berkaitan, agar perkhidmatan yang diberikan kepada pelabur lebih cekap, telus dan pantas.

 

 

apa

 

 

Kesimpulannya, sistem kawal selia yang renyah akan menjadikan sesuatu perniagaan lebih mahal dan halangan utama kepada pertumbuhan pelaburan dan produktiviti.

 

Pembuat dasar perlu membuat tindakan yang boleh diramalkan, menyediakan panduan yang berpandangan ke hadapan dan mengurangkan kekaburan dalam polisi, prosedur dan peraturan perniagaan. - DagangNews.com

 

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao 10 Mei 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags