KLCI teruskan aliran meningkat, saham Emico, Vortex, Avillion antara paling rancak  | DagangNews Skip to main content

KLCI teruskan aliran meningkat, saham Emico, Vortex, Avillion antara paling rancak 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Bursa tempatan meneruskan aliran meningkat sejak Jumaat dalam dagangan pagi ini didorong sentimen positif terhadap pemulihan ekonomi meskipun kes jangkitan COVID-19 kekal tinggi.

 

Pada 9.06 pagi, indeks utama FBM KLCI diniagakan 2.23 mata atau lebih tinggi kepada 1,591.42 mata.

 

Malacca Securities Research berkata, setelah pasaran pada Jumaat berakhir dengan prestasi bercampur-campur, pelabur kini menantikan data ekonomi seperti kadar pengangguran di Malaysia dan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap kadar dasar semalaman (OPR) yang akan diumumkan Khamis ini. 

 

Katanya, pada masa sama, harga minyak sawit mentah juga terus meningkat dan berlegar melebihi RM4,300 satu tan metrik manakala harga emas terus melonjak. Tetapi, sebaliknya, harga minyak mentah pula melemah. 

 

"Bagaimanapun, kami masih menjangkakan terdapat pemulihan terhadap aktiviti ekonomi apabila kadar vaksinasi semakin meningkat. 

 

"Dari segi sektor pula, dengan harga minyak sawit mentah kekal melebihi RM4,300 satu metrik, pelabur mungkin akan beralih kepada saham-saham berkaitan perladangan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Selain itu, tambahnya, kecenderungan dalam sektor bertemakan pemulihan seperti perbankan, pembinaan, bahan binaan, dan pengguna serta pengangkutan dan logistik akan terus menjadi tumpuan seiring dengan kemajuan vaksinasi.

 

Setakat pagi ini, kaunter untung mengatasi rugi dengan 281 berbanding 196 manakala 348 tidak berubah dan 1,413 tidak diniagakan. 

 

Dagangan aktif menyaksikan saham Emico Holdings Bhd. mendahului kaunter aktif dengan menokok 11 sen kepadan 48 sen pagi ini. 

 

Turut rancak diniagakan termasuklah saham Vortex Consolidated Bhd., Avillion Bhd., KNM Group Bhd., NWP Holdings Bhd. dan Saudee Group Bhd. 

 

Kaunter untung didahului dengan dagangan saham Dutch Lady Milk Industries Bhd. menokok 52 sen lebih tinggi kepada RM35 diikuti Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI) naik 50 sen kepada RM45.40. 

 

Saham Genetec Technology Bhd. turut menyertai kaunter untung menokok 46 sen kepada RM30.68. 

 

Sebaliknya, saham Widetech (Malaysia) Bhd. mendahului kaunter rugi dengan susut 30 sen kepada RM4 diikuti Kumpulan H&L High-Tech Bhd. susut 15 sen kepada RM1.95. - DagangNews.com