KLCI, ringgit kembali melantun | DagangNews Skip to main content

KLCI, ringgit kembali melantun

 

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Pasaran tempatan petang ini ditutup lebih tinggi sejajar dengan pasaran serantau yang lain. 

 

Indeks utama FBM KLCI menokok 23.99 mata kepada 1,581.54 mata dengan 10.44 bilion saham diniagakan bernilai RM6.58 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 857 berbanding 402 manakala 411 kaunter tidak berubah. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit mengukuh kepada RM4.0370/0400 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), daripada penutupan semalam, pada RM4.0400/0450.

 

Hong Leong IB Research berkata, KLCI masih lagi berisiko terhadap kekuatan seterusnya ekoran beberapa perkembangan dari segi pendapatan korporat. 

 

Namun begitu, katanya, risiko penurunan masih kelihatan menghampiri paras 1,550 hingga 1,530 (dengan rintangan 1,582-1,600-1,618 mata). 

 

"Keadaan ini disokong beberapa faktor, antaranya, prospek Rizab Persekutuan AS yang teguh, pakej rangsangan AS lebih besar, pengurangan jangkitan COVID-19 di peringkat global dan program vaksinasi di Malaysia," katanya dalam nota kajian. 

 

Menurut Reuters, pasaran saham Asia meningkat pada Khamis selepas pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell mempertahankan kadar faedah rendah dalam tempoh jangka masa panjang. 

 

Ini secara tidak langsung meredakan kebimbangan pasaran terhadap kadar inflasi yang tinggi mungkin mendorong bank pusat mengetatkan dasar monetari. - DagangNews.com