KLCI kembali ditutup tinggi dipacu saham pemulihan COVID-19, saham KNM, BORNOIL pula kekal paling aktif | DagangNews Skip to main content

KLCI kembali ditutup tinggi dipacu saham pemulihan COVID-19, saham KNM, BORNOIL pula kekal paling aktif

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Pasaran saham tempatan berjaya ditutup lebih tinggi untuk mengakhiri dagangan pada minggu ini, selepas selama dua hari berturut-turut mencatatkan penutupan dagangan lemah. 

 

Indeks utama, FBM KLCI berjaya ditutup 7 mata lebih tinggi kepada 1,589.19 daripada penutupan petang semalam, 1,582.19. 

 

Nampaknya para pelabur terus memberi tumpuan kepada saham-saham pemulihan pasca COVID-19 ekoran data jangkitan dan vaksinasi yang kian bertambah baik, apabila pengangkutan, tenaga dan pembinaan antara sektor yang menyuntik lonjakan petang ini. 

 

“Berdasarkan purata kadar jangkitan (R-naught) yang menyusut di bawah 1.0 (berdasarkan data 1 September), sementara Melaka dan Negeri Sembilan beralih kepada Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 4 September 2021, kami percaya keyakinan terhadap saham pemulihan di bursa tempatan akan kekal,” jelas firma penyelidikan, Malacca Securities dalam nota kajiannya, hari ini.

 

Secara keseluruhannya, dagangan petang ini juga berakhir positif apabila jumlah kaunter untung iaitu 631 mengatasi jumlah kaunter rugi sebanyak 399, dengan 448 kaunter tidak berubah dan 750 lagi tidak didagangkan. 

 

Beralih kepada prestasi saham, KNM Group Berhad yang berakhir 1 sen lebih tinggi dan Borneo Oil Berhad pula ditutup tidak berubah, masih mengekalkan kedudukan mereka dalam kaunter paling rancak diniagakan. 

 

KNM dan Borneo Oil, masing-masing menyaksikan 1.56 juta dan 1.53 juta jumlah saham yang bertukar tangan. 

 

Turut berada dalam radar pelabur adalah Serba Dinamik Holdings Berhad, tetapi saham itu ditutup 0.5 sen lebih rendah kepada 40.5 sen dengan 1.02 juta jumlah saham yang bertukar tangan. 

 

Dalam kalangan kaunter untung pula, saham Malaysian Pacific Industries Berhad mencatatkan lonjakan terbesar pada penutupan petang ini, menokok 82 sen kepada RM44.90. 

 

Ini diikuti oleh saham Widetech (Malaysia) Berhad dan Genetec Technology Berhad, di mana masing-masing berakhir 76 sen dan 74 sen lebih tinggi. 

 

Saham Batu Kawan Berhad sebaliknya tersungkur di kaunter paling rugi, merosot 22 sen kepada RM20.66 dengan RM161,538 nilai saham yang bertukar tangan. - DagangNews.com