Skip to main content
DagangNews.com
Kolum MULANYA DI SINI - 6 June 2022

Kisah Benar Suparman dan Tyrex Cookies

Oleh Hasnida Abdullah

 

 

 

DARI mata turun ke hati, dari rasa terus menjadi cinta! Itulah yang dikatakan cinta pada rasa pertama. 

 

Pastinya menjadi tanda tanya apakah yang dimaksudkan dengan susunan kata-kata itu.  Mari kita sama-sama melayari apakah kisah disebaliknya! 

 

Apa yang pasti, ini bukan cerita tentang cinta, hati, perasaan kasih sayang mahupun yang seangkatan dengannya. 

 

Apa yang ingin dicoretkan adalah lebih menjurus kepada perkongsian pengalaman hidup yang dialami oleh seorang pemuda terhadap minat, kesukaan dan kenikmatan yang dirasakan dalam dirinya terhadap makanan dan tambah menarik, apabila ia sudi untuk dikongsikan kepada yang lain. 

 

Setiap insan itu mempunyai minat yang berbeza antara satu sama lain. Tidak kira apa juga yang diistilahkan sebagai minat, sekiranya sudah terpatri dalam lubuk hati, minat itu mampu mengubah nasib hidup seseorang. 

 

Minat pemuda yang bergelar mahasiswa UiTM ini, Firdaus Suparman terhadap cookies atau nama klasiknya biskut, memang tidak dapat disangkal.

 

 

firdaus suparman
                                       FIRDAUS SUPARMAN

 

 

Cuba lihat sekeliling kita, tidak kira bangsa, jantina mahupun usia, semunya boleh menjadi penggemar biskut atau cookies.

 

Perniagaan biskut atau nama popularnya “cookies” bukanlah sesuatu perkara yang baru.  Malah ia telah lama bertapak dalam industri pemakanan. 

 

Jika sebelum ini, perniagaan ini lebih tertumpu tatkala musim perayaan sahaja, tapi kini ia menjadi sumber pendapatan tetap pada sesetengah usahawan.  Kena caranya, maka lumayanlah hasilnya!

 

Pengasas Tyrex Cookies iaitu Firdaus Suparman, baharu sahaja menamatkan pengajian diplomanya dari Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi (JBAT) UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar dan kini melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di utara Malaysia, telah bergiat aktif dalam perniagaan cookies sejak di bangku sekolah lagi. 

 

Maka ia bukanlah benda baru kepadanya.  Penglibatan beliau ketika itu hanyalah sekadar suka-suka atau hobi untuk mengisi masa lapang. 

 

Namun begitu, kini, beliau boleh tersenyum lebar dan berbangga dengan hobi masa lapang beliau, sehingga tertubuhnya FRD Ventures, iaitu sebuah syarikat yang menghasilkan cookies dengan nama komersialnya iaitu Tyrex Cookies.

 

Tyrex Cookies merupakan cookies buatan tangan dengan resipi ciptaan sendiri yang dihasilkan dengan bahan-bahan halal yang berkualiti tinggi. 

 

 

TyRex

 

 

Perniagaan Tyrex Cookies adalah produk yang menggunakan sistem jualan melalui ejen.

 

 Sehingga ke hari ini, Tyrex Cookies mempunyai lebih dari 40 ejen berdaftar di seluruh Malaysia, yang mana kebanyakan ejen terdiri dari golongan pelajar universiti. 

 

Penglibatan ejen-ejen dalam kalangan pelajar ini sekurang-kurangnya dapat mencetus minat pelajar-pelajar ke arah keusahawanan di samping mampu mendapatkan pendapatan sampingan.

 

Dibantu dengan kaedah pemasaran yang menggunakan teknologi yang serba canggih, ia telah membuka mata ramai orang bagi mencuba nasib dalam perniagaan cookies.

 

Dek minat yang mendalam, maka terhasilnya beberapa jenis produk cookies yang mendapat sambutan ramai seperti Salted Caramel Chocolate Cookies, Nutella Filled Matcha Cookies dan Nutella Filled Peanut Butter Cookies.

 

Sekali rasa pasti nak lagi! Kini syarikat milik anak jati Sungai Siput, Perak ini melebarkan sayap syarikatnya dengan menghasilkan produk minuman pula seperti Dinohaus, berperisa coklat dan teh hijau.  Produk ini mudah didapati di pasaran dengan harga yang berpatutan. 

 

           

TyRex

 

 

Sebagai seorang mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi Awam yang belajar di peringkat ijazah sarjana muda, saudara Firdaus tidak lari dari jadual kuliah yang padat dan aktiviti kolej yang sentiasa berkesinambungan. 

 

Tambahan pula, diselangi dengan aktiviti perniagaan beliau.  Namun, ini tidak pernah dijadikan halangan kepada beliau untuk cemerlang di dalam pelajaran.

 

Di samping kesibukan beliau dalam kuliah dan perniagaan, beliau pernah dilantik sebagai Presiden, Jawatankuasa Perwakilan Kolej bagi Kolej Indera Mulia serta mendapat Anugerah Dekan untuk empat semester berturut-turut.

 

Namun begitu, ini semua tidak menjarakkan beliau dengan aktiviti keusahawanan.

 

Pendedahan awal secara terperinci dalam bidang keusahawanan melalui subjek ENT300 (Asas-asas Keusahawanan) serta keaktifan beliau menyertai beberapa program anjuran Unit Keusahawanan (MASMED) UiTM Cawangan Perak seperti Program Dapur Anak Teruna telah membuka peluang dan ruang kepada beliau dalam menimba ilmu keusahawanan dengan lebih mendalam.

 

 

TyRex

 

 

Kejayaan tidak datang bergolek; setiap kepayahan itu berbayar dengan kejayaan yang dikecapi dengan usaha, niat ikhlas dan tawakal.  Semoga kecemerlangan sentiasa berpihak kepada Firdaus dan ianya menjadi contoh kepada para mahasiswa yang sentiasa mendahagakan kejayaan dalam hidup.

 

Selamat Maju Jaya, Firdaus Suparman!    - DagangNews.com

 

 

Hasnida Abdullah adalah Koordinator Keusahawanan Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM Tapah, Perak

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL MULANYA DI SINI

Portfolio Tags