Ketahui kelebihan dan cabaran melabur dalam ekuiti persendirian, modal teroka | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 30 August 2022

KETAHUI KELEBIHAN DAN CABARAN MELABUR DALAM EKUITI PERSENDIRIAN, MODAL TEROKA

 

 

TERDAPAT dua lagi kategori pelaburan patuh syariah yang menjadi pilihan pelabur iaitu ekuiti persendirian (PE) dan modal teroka (VC), namun, disebabkan sifatnya yang kompleks, ia sukar difahami sesetengah pelabur. 

 

Jadi, sebagai pelabur, apa yang kita tahu mengenai bentuk pelaburan ini. Secara ringkasnya, PE dan VC adalah berkaitan dengan pengambilan kepentingan ekuiti dalam usaha niaga syarikat dan kemudiannya meningkatkan prestasi syarikat yang diambil alih tersebut sebelum ia dijual untuk mendapatkan keuntungan. 

 

Tujuan utama PE dan VC adalah untuk melabur dalam syarikat yang berpotensi secara komersial dan kemudian keluar daripada pemilikan tersebut selepas beberapa tahun dan memperoleh pulangan daripada pelaburan yang dibuat.

 

Ciri-ciri PE dan VC

 

PE ialah pelaburan jangka sederhana atau panjang yang disediakan sebagai balasan untuk kepentingan ekuiti dalam syarikat berpotensi tinggi yang biasanya tidak disenaraikan di bursa saham. VC pula ialah sub-set ekuiti persendirian. 

 

Tiga struktur PE dan VC ialah pelaburan langsung, dana ekuiti persendirian dan struktur khusus dana-dana (di mana pelabur mempunyai akses kepada beberapa dana melalui satu struktur khusus).

 

Walaupun struktur PE dan VC secara amnya berstatus neutral syariah, namun, ia masih mempunyai beberapa aspek yang perlu diperhalusi terutama perincian mekanisme pemilikan saham dilaksanakan. 

 

Kajian masih dijalankan untuk mencari struktur yang paling mesra syariah dan mampu dipadankan dengan tadbir urus sedia ada serta undang-undang semasa.

 

Kebanyakan bidang kuasa tidak mempunyai tadbir urus khusus untuk menubuhkan dan mengurus PE dan VC patuh syariah ini. 

 

Setahu penulis, Suruhanjaya Sekuriti ada mengeluarkan garis panduan bertajuk 'Garis Panduan dan Amalan Terbaik Modal Teroka Islam' pada 2008. 

 

Oleh demikian, para pelabur yang ingin menubuhkan dana PE dan VC Islam atau melabur terus ke dalam syarikat yang hendak diambil milik, perlu mematuhi undang-undang dan peraturan semasa lain yang berkaitan dengan pelaburan termasuk undang-undang tempatan dalam bidang kuasa di mana urus niaga akan dijalankan. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Prinsip dan amalan syariah

 

Dalam transaksi PE dan VC Islam merentasi sempadan pula, pihak-pihak berkaitan mesti mematuhi prinsip dan amalan syariah seperti yang diterima pakai oleh para ulama yang menasihati pihak-pihak berkaitan dalam bidang kuasa tersebut.

 

Malah, ia perlu menghormati undang-undang domestik yang mengawal penubuhan dana dan keperluan undang-undang yang berbeza dari satu bidang kuasa ke satu bidang kuasa lain.

 

Pada penulis, pelaburan ekuiti persendirian perlu digalakkan, walaupun cabarannya agak besar. Kita ambil maklum yang pelaburan dalam bursa saham yang dipanggil jual beli ekuiti (awam) adalah asas yang baik untuk kepelbagaian portfolio pelaburan. 

 

Namun, aktiviti sebegini hanya akan memberi manfaat kepada syarikat ternama dan besar sahaja manakala dana hasil pembelian dan penjualan ekuiti (saham) akan berlegar daripada satu pelabur kepada pelabur  lain. 

 

Berdasarkan pandangan penulis, aktiviti tersebut tidak dilihat melabur secara langsung untuk pertumbuhan ekonomi.

 

Jadi, kita mahukan pelaburan ekuiti persendirian yang mengesahkan komitmen sosial terhadap ekonomi sebenar, dengan dana yang dilaburkan dapat membantu para usahawan membangunkan perniagaan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi. 

 

Mengalakkan pertumbuhan ekonomi

 

Oleh itu, secara dasarnya, pelaburan ekuiti persendirian adalah transaksi asas yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi dengan kontrak perkongsian secara Islam.

 

Usaha sebegini dapat menyelesaikan beberapa komentar yang berterusan diutarakan mengenai kekurangan pembiayaan perkongsian di bank-bank Islam. 

 

Dengan adanya pelaburan ekuiti persendirian ini, aduan tentang perbankan Islam hanya fokus kepada pembiayaan hutang dan bukan pembiayaan perkongsian dapat diimbangkan. 

 

Dana ekuiti persendirian Islam adalah satu usaha perniagaan pelaburan yang sempurna untuk tujuan pembiayaan secara perkongsian. 

 

Malah, individu juga boleh menggunakan perkongsian tradisional Mudarabah atau Musharakah dalam menjalankan projek usaha sama. 

 

Bagaimanapun, meneroka dan melabur di luar dunia Islam sering mengundang 1,001 cabaran untuk memastikan kepatuhan syariah terpelihara setiap masa. 

 

Ini mungkin juga akan membawa kepada kerjasama yang dibenarkan dengan pembiaya konvensional. Hampir tidak ada cara yang lebih baik untuk menyedarkan dunia perniagaan konvensional tentang piawaian etika Islam dan belajar untuk menghormatinya dengan cara yang positif dan menarik. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm
 

Portfolio Tags