Kerajaan zalim tidak benarkan kita beraya semasa COVID-19? | DagangNews Skip to main content

Kerajaan zalim tidak benarkan kita beraya semasa COVID-19?

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

PADA 15 Mei 2021, Malaysia mencatat kes kematian tertinggi di dalam sehari iaitu sebanyak 44 kes. Jika bilangan kes positif harian melebihi 4,000 kes sehari tidak dihiraukan, tolonglah hirau bilangan kes kematian yang tinggi ini.

 

Catatan kes ini berlaku selang tiga hari selepas kita menyambut Aidilfitri, juga wajar direnungkan. Lebih-lebih lagi ramai daripada kita diamuk emosi kerana dilarang pulang ke kampung di dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan pada hari terakhir Ramadan.

 

Bila emosi membuak-buak, segala rasional dan bukti statistik diletakkan kepentingannya ke tangga paling bawah. Yang jadi keutamaan ialah mahu raya, mahu berseronok sedangkan risiko terjangkit COVID-19 tidak menurun sama sekali.

 

Emosi meruap-ruap mempersoalkan kenapa sudah ada vaksin pun angka kes positif COVID-19 terus meningkat? Mahu tahu sesuatu? Individu yang sudah disuntik vaksin pun terdedah kepada COVID-19. Tidak bermakna mereka sudah kebal atau lali terhadap virus.

 

Secara saintifiknya, individu yang sudah divaksin masih boleh terjangkit. Bezanya ialah vaksin tersebut mampu melawan virus itu dengan lebih baik, berbanding kita yang belum disuntik. Tambah-tambah lagi bilangan yang disuntik dan belum disuntik setakat ini, masih jauh bilangannya.

 

Lagi membimbangkan, virus ini seperti ada opsyen. Jika dia tidak dapat menawan badan orang tersebut, dia jadi penumpang untuk melompat ke badan orang lain.

 

Inilah antara rumusan yang saban hari disampaikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Inilah juga yang dibentangkan di dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bermesyuarat setiap hari yang setiap sesinya mengambil masa 3 jam. Ini kerana yang dibentangkan itu bukan rumusan atau ringkasan tetapi butiran terperinci kes yang berlaku di seluruh negara.

 

Agenda penting yang dibentangkan ialah kemungkinan-kemungkinan sinario kes, berdasarkan bilangan semasa kes yang didaftarkan. Misalnya, bila terdapat 1,500 kes positif dicatat di Selangor, siasatan akan menyeluruh terhadap 1,500 orang tersebut dengan mengambil kira berapa ramai pula orang sekeliling mereka yang telah berhubung rapat. Jika individu itu berada di majlis keramaian, bayangkan bilangannya berganda-ganda sekelip mata.

 

merrepak

 

Berdasarkan pembentangan inilah, MKN yang dianggotai Jemaah Menteri beserta agensi berkaitan dan dipengerusi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin disaran supaya membuat keputusan sukar dan berat, yang tidak akan popular sama sekali kepada rakyat. Bayangkan betapa kemarahan meletus bila kita ditegah pulang beraya bersama ibu bapa, adik abang dan sanak saudara di kampung halaman.

 

Tetapi bayangkan apa emosi anda bila terkena jangkitan COVID-19?

 

Merrepak ada dua sahabat yang dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu COVID-19 di MAEPS, Serdang sehari sebelum Aidilfitri. Sedih memang sedih tetapi sudah positif, maka harus dituruti jua.

 

Seandainya anda masih beranggapan itu berlaku kepada orang lain, jauh dari anda dan tidak akan berlaku kepada anda, maka diharap anda berhenti sebentar dan tarik nafas. Buangkan emosi di dalam diri.

 

Perlahan-lahan ingatkan diri bahawa COVID-19 ini boleh berlaku kepada sesiapa jua, termasuk diri anda sendiri. Tiada siapa kebal. Yang rasa kebal itu kluster bebal.

 

Dan anda janganlah menunggu diri sendiri kena, atau ahli keluarga terkena jangkitan, baharu hendak muhasabah. Cara terbaik ialah mencegah. Bagaimana mencegah? Patuhi SOP. Duduk rumah. Ada beberapa malam ini, ternampak gambar orang berbaju raya di taman-taman. Tidakkah itu melanggar peraturan? Kalau selfie tidak juga mengapa, ini jelas 5-6 orang.

 

merrepak
Sahabat daripada UtusanTV.com, Ainol Amriz Ismail merakamkan laporan hariannya semasa menjalani rawatan di Pusat Kuarantin MAEPS, Serdang sekarang. Kita sama-sama doakan Ainol dan semua yang berada di MAEPS segera sembuh. 

 

Sebelum anda jadi emosi lagi, tolong baca fakta ringkas berikut:

  1. Gelombang ketiga COVID-19 yang sedang melanda negara kita dan negara lain di seluruh dunia adalah lebih mencabar. Sejak beberapa hari yang lalu, kes-kes positif COVID-19 di negara kita mencecah lebih 4,000 kes sehari . Negara kita mencatatkan trend peningkatan kes yang mendadak sejak beberapa minggu yang lalu.


     
  2. Lebih membimbangkan, terdapat varian-varian baharu COVID-19 yang lebih ganas seperti yang dialami di India, United Kingdom, Brazil, Afrika Selatan dan beberapa buah negara lain.
     

     
  3. Dijangkakan jumlah kes harian COVID-19 akan mencecah 5 angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.


     
  4. Pada masa itu , seluruh sistem kesihatan negara kita yang sedang berada dalam keadaan yang kritikal pada masa ini akan lumpuh . Sepertimana yang berlaku di negara lain , pesakit mati bergelimpangan di jalan raya kerana hospital – hospital tidak lagi mempunyai kemampuan untuk menerima pesakit.


     
  5. Pada masa ini, hospital-hospital di negara kita telah hampir mencapai kapasiti maksimum. Katil-katil wad ICU semakin penuh. Kita boleh menambah jumlah katil, bekalan oksigen dan ventilator. Tetapi jika kes-kes positif naik dengan mendadak, sebanyak mana katil dan lain-lain kelengkapan perubatan yang disediakan pun tidak akan mampu menampung jumlah pesakit yang kian bertambah setiap hari.


     
  6. Dalam tempoh beberapa minggu sahaja hampir semua kawasan di negara kita telah bertukar menjadi merah dengan hampir kira-kira 70% kes jangkitan berlaku secara sporadik, iaitu penularan di dalam komuniti, dan hampir 80% kes positif yang dikesan tidak mempunyai sebarang gejala.
     
    merrepak
    PERHATIKAN carta berwarna merah yang menunjukkan unjuran paras hampir 9,000 kes positif COVID-19 pada Jun 2021 jika tindakan tegas PKP tidak dilaksanakan sekarang. - Carta Majlis Keselamatan Negara

     
  7. Dengan perkembangan terbaharu ini, negara kita sedang berada pada satu titik genting yang memerlukan respon segera kerajaan. Jika tiada tindakan tegas dan drastik diambil, negara kita boleh terjerumus ke dalam suatu malapetaka kesihatan dan krisis nasional yang parah. Jadi, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara.


     
  8. PKP atau lockdown tidak istimewa di Malaysia sahaja. Negara jiran, Singapura turut melaksanakan perintah serupa berkuatkuasa hari ini 16 Mei 2021 selama empat minggu. Sebabnya, kes positif COVID-19 kembali meningkat. Masih lagi kita pertikaikan keputusan kerajaan Malaysia?

     merrepak

     
  9. Kita takut COVID-19 lebih lagi atau pemeriksaan polis? Kenapa polis dikecam bila bertindak mengikut undang-undang. Hendak menunjukkan Malaysia ini negara polis, negara zalim? Yang tidak patuh SOP, cuba juga hendak merentas daerah atau negeri walaupun sudah dinyatakan tidak boleh, hendak tularkan apa pula selepas ini?


     
  10. Golongan orang ternama sewajarnya pada hari ini, sudah insaf dan tidak menyiarkan gambar mereka ke sana ke sini, berkumpul melebihi 15 orang dan apa sahaja tertera di dalam perintah PKP. Merekalah yang membakar emosi rakyat marhain yang merasa tertekan kena patuh peraturan tetapi golongan ternama atau kayangan ini selamba berbuat sesuka hati mereka. Jadi bila sudah kantoi, pihak berkuasa wajar denda mereka On The Spot. Dendalah RM50,000 terus. Tidak perlu buang masa, buang duit buka kertas siasatan sampai kena dapat kebenaran Jabatan Peguam Negara. Denda On The Spot sama seperti dihadapi kami – rakyat marhain yang mewakili 99% jumlah penduduk Malaysia.        - DagangNews.com

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Poison oleh Alice Cooper berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.