Skip to main content

Kerajaan PH sepatutnya teruskan projek kapal tempur LCS sambil siasat kes

Kerajaan Pakatan Harapan mengambil jalan yang mudah - berhentikan projek RM9 billion ini yang sudah siap lebih 50 peratus ketika itu.
Oleh Ir. Hamdan Zakaria

BARU-baru ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akhirnya mengumumkan keputusan kabinet bahawa projek kapal tempur pesisir, Littoral Combat Ship (LCS) yang sudah lebih 43 bulan diberhentikan, akan diteruskan.

 

Keputusan ini sememangnya satu keputusan yang tepat memandangkan projek ini merupakan satu projek strategik yang amat penting kepada sistem pertahanan negara.

 

Datuk Seri Hishammuddin yang sebelum ini pernah menjadi Menteri Pertahanan ketika pembinaan kapal ini baru bermula, sudah tentu mengerti betapa pentingnya kapal LCS kepada Malaysia.

 

 Apa yang anehnya, Kerajaan Pakatan Harapan juga di dalam Kertas Putih Pertahanan mengakui kepentingan strategik LCS, namun Menteri Pertahanan kerajaan ketika itu, YB Mohamad Sabu bertindak untuk memberhentikan projek ini kerana terdapat tuduhan kepincangan dan ketirisan dalam sistem perolehan.

 

Tindakan yang amat tidak bijaksana ini telah mendatangkan lebih banyak masalah kepada projek yang sudah cukup dengan masalah tersendiri.

 

Seharusnya, ketika itu, Kerajaan Pakatan Harapan menjalankan siasatan tentang ketirisan tetapi pada masa yang sama mencari penyelesaian untuk memastikan kapal dibina mengikut garis masa yang dipersetujui.

 

Sebaliknya, Kerajaan Pakatan Harapan mengambil jalan yang mudah - memberhentikan projek RM9 billion ini yang sudah siap lebih 50 peratus ketika itu.

 

Bayangkan, jika kita sedang membina sebuah bangunan, tapak sudah diperkukuh, tiang seri sudah dibina, tiba-tiba projek diberhentikan serta merta. Tiada sebarang hala tuju bagaimana untuk bergerak ke hadapan. 

 

Bagaimana dengan nasib sub-sub kontraktor yang terlibat dalam projek tersebut- adakah mereka mendapat bayaran untuk khidmat mereka? Bagaimana pula dengan sistem kewangan yang terdedah dengan projek tersebut, mereka juga menanggung rugi? Apa jadi pada ceracak di tapak pembinaan dibiar berkarat menjadi besi buruk?

 

Apabila Kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek LCS, mereka yang bertindak memberhentikan projek ini bersetuju dengan Menteri Kanan Pertahanan dan cuba pula untuk memutar belit kenyataan dan menyalahkan Kerajaan hari ini yang menyebabkan keterlewatan menyiapkan kapal LCS.

 

Sememangnya, keputusan untuk memberhentikan sesuatu projek penting yang besar dan strategik, tanpa mempunyai halatuju bagaimana untuk menyelesaikan masalah untuk terus bergerak ke hadapan merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
 

 

parafrasa

 

Atau adakah Kerajaan Pakatan Harapan sebenarnya tidak peduli tentang aset strategik negara dan sistem pertahanan dan keselamatan tanah air?

 

Berhentikan projek ini hanya kerana terdapat kepincangan dan tidak berusaha untuk mencari jalan keluar daripada kepincangan tersebut?  

 

Saya percaya keputusan meneruskan projek LCS ini bukan satu perkara yang mudah. Oleh itu, proses menghidupkan kembali projek ini memakan masa.

 

Namun demikian, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kepimpinan kerajaan hari ini yang berani membuat satu keputusan yang sukar dengan begitu teliti dan berhemah.

 

Kita dapat melihat banyak sesi perbincangan dan libat urus dijalankan oleh Kementerian Pertahanan, Kementerian Kewangan, Unit Perancangan Ekonomi, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk mencari jalan keluar daripada kemelut ini.

 

Kesungguhan pihak-pihak ini harus dipuji. Mereka tidak berpeluk tubuh menyalahkan pihak-pihak lain, malah, terus bekerja mencari ikhtiar untuk menyelesaikan masalah demi negara. Ini adalah manifestasi kepimpinan yang bertanggungjawab.

 

Dengan wujudnya Pelan Pemulihan Projek LCS dan Jawantankuasa Khas yang memantau projek ini, saya amat berharap agar segala permasalahan sebelum ini dapat diatasi dengan teratur dan telus.

 

Mereka yang bersalah perlu ditangkap dan dihukum. Hutang yang tertunggak kepada vendor perlu dibayar sesuai perjanjian asal. 

 

 

parafrasa

 

 

Kos projek perlu dikawal dengan baik dan garis masa harus dipatuhi. Sistem tadbir urus harus dirombak dan elemen governans yang baik harus diperkasa.  Wang rakyat jangan dibazir dan dipersia.

 

Apa yang paling penting, kerja 6 buah kapal ini harus kembali diteruskan supaya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dapat memanfaatkan aset ini untuk kepentingan negara.

 

Bayangkan, kita kerugian masa hampir 4 tahun untuk memiliki aset yang amat penting untuk sistem pertahanan negara. Ini semua berpunca daripada kegopohan dan kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan yang mengambil jalan mudah memberhentikan projek ini ketika mereka mentadbir negara.

 

Kita jangan membazir dan melengahkan masa. Semua pihak yang terlibat harus fokus untuk menerus dan menyiapkan projek ini secepat mungkin- tanpa sebarang alasan. Jangan diperjudi nasib bangsa dan keselamatan tanah air kita.  - DagangNews.com