Kerajaan peruntuk bantuan awal RM500,000 ringankan beban mangsa banjir di Baling | DagangNews Skip to main content

Kerajaan peruntuk bantuan awal RM500,000 ringankan beban mangsa banjir di Baling

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Julai – Sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di Baling, Kedah yang telah meragut 3 nyawa dan menjejaskan 1,490 orang.

 

Dalam kenyataan hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan-bantuan awal kepada 112 ketua isi rumah itu membabitkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000, Bantuan Barang Keperluan Asas (RM2,500), Bantuan Barangan Elektrik (RM500) dan pembaikan rumah.

 

"Saya telah mengarahkan Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara untuk menyelaraskan bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat. 

 

"Setiausaha Politik saya, Datuk Mohammad Anuar bersama pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga telah menyampaikan BWI kepada semua KIR pada hari ini termasuk tiga waris mangsa yang telah meninggal dunia sebanyak RM10,000 seorang," katanya. 

 

 

banjir

 

 

Susulan banjir petang semalam di Lembangan Sungai Kupang dan Sungai Tiak, sebanyak tiga Pusat 
Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka iaitu PPS SMK Jerai, PPS Surau An Nur dan PPS SMK Agama Al Khiriah.

 

Malah, kejadian itu turut kebanyakan rumah yang terkesan dengan musibah ini mengalami kerosakan dan sebanyak 25 buah rumah telah musnah sama sekali.

 

 

banjir

 

 

Sehubungan itu, Perdana Menteri turut mengarahkan semua agensi kerajaan yang terlibat untuk mengenal 
pasti kerosakan dan pembaikan yang perlu dilakukan bagi memastikan mangsa-mangsa tragedi ini ada tempat berteduh yang selesa selepas ini. 

 

Menurut beliau, bantuan-bantuan lain akan disusuli dengan segera termasuklah kerja-kerja pembersihan kawasan dan projek-projek tebatan banjir yang kritikal. 

 

"Kerajaan Persekutuan terus komited untuk menyediakan peruntukan yang sewajarnya bagi perkara ini.
 

"Saya akan memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa-mangsa ini akan diberi perhatian yang sepenuhnya dengan kerjasama erat daripada semua pihak baik dari Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri," katanya yang kini berada dalam lawatan rasmi ke Turki atas jemputan Recep Tayyip Erdoğan, Presiden Tukiye - DagangNews.com