Kerajaan lulus peruntukan RM132.4 juta untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat | DagangNews Skip to main content

Kerajaan lulus peruntukan RM132.4 juta untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KEPALA BATAS 22 Mei - Kerajaan telah meluluskan peruntukan pembangunan (DE) Rolling Plan Kedua (RP2) 2022 sebanyak RM132.4 juta kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menambah baik kesiapsiagaan dan kebajikan anggota. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia meliputi perolehan jentera bomba, kenderaan utiliti, kenderaan forensik kebakaran, peralatan perlindungan diri (PPE) serta sistem perisian pemantauan kebombaan yang bertujuan mempertingkatkan keberkesanan jabatan dalam menangani kes kecemasan.

 

Beliau berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap perkembangan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan negara, pelbagai usaha telah diambil bagi memenuhi komitmen perkhidmatan terhadap Keluarga Malaysia terutamanya daripada aspek pembangunan infrastruktur kebombaan dan modal insan. 

 

Katanya, beliau difahamkan terdapat 18 buah projek pembinaan balai bomba dan apabila siap nanti ia akan memberi impak besar kepada pengurangan tempoh masa bertindak sekali gus dapat meningkatkan keyakinan Keluarga Malaysia terhadap kesiapsiagaan jabatan bomba.

 

"Kerajaan juga telah meluluskan projek fizikal fasiliti kebombaan yang kini dalam proses pelaksanaan iaitu Ibu Pejabat JBPM Kuala Lumpur, Pangkalan Operasi Utama (MOB) Subang, Selangor serta Kuarters dan Balai Bomba Goh Tong Jaya, Genting, Pahang. 

 

"Saya yakin, ketiga-tiga projek ini mampu merencana impak yang optimum dalam aspek pentadbiran, pengoperasian dan kebajikan anggota. Kerajaan juga akan memastikan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan terus relevan dengan keperluan rakyat sejajar dengan peningkatan risiko semasa. 

 

"Justeru, mengambil kira faktor pemerkasaan dan pemodenan aset kebombaan, kerajaan dalam proses pertimbangan bagi kelulusan permohonan Rolling Plan Ketiga (RP3) 2023," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Bomba Sedunia 2022 di pekarangan Dewan Millenium di sini, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, dalam mendepani cabaran masa kini, JBPM perlu berusaha meningkatkan kecekapan dan profesionalisme menerusi program-program strategik disusuli pelan tindakan yang melibatkan seluruh lapisan Keluarga Malaysia.

 

Beliau berkata, menyedari cabaran yang dihadapi itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JBPM telah bergerak secara proaktif dengan menggubal Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2021-2030. 

 

"Dasar ini diyakini dapat melahirkan Keluarga Malaysia yang berdaya tahan serta mampu mengadaptasi konsep penyelamat nyawa rakyat dalam kehidupan seharian terutama ketika berdepan sebarang situasi kecemasan atau bencana. Dasar ini melibatkan komitmen pelbagai pihak dalam menjalin hubungan kerjasama strategik dengan industri keselamatan, kebakaran dan kebombaan. 

 

"Ini amat penting kerana ia mampu membuka dimensi baharu kepada pertumbuhan dan daya saing ekonomi negara. Pemantapan terhadap aspek perlindungan kebakaran melalui penggunaan teknologi terkini seperti automasi dan robotik pula mampu meningkatkan keyakinan bukan sahaja dalam kalangan Keluarga Malaysia, malah pemain industri dan juga pelabur. 

 

"Saya yakin melalui DKPN 2021-2030, warga KPKT khususnya JBPM akan menzahirkan komitmen padu untuk merealisasikan hasrat dan aspirasi penyampaian perkhidmatan kebombaan yang dinamik dan progresif," katanya. - DagangNews.com