Kerajaan Johor dan ECERDC bekerjasama bangunkan Lembah Tenusu Jemaluang | DagangNews Skip to main content

Kerajaan Johor dan ECERDC bekerjasama bangunkan Lembah Tenusu Jemaluang

Datuk Hasni Mohammad (berdiri) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Kerajaan Johor dan ECERDC (dari kiri) Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim; Dato' Azmi Rohani dan Baidzawi Che Mat di Mersing, Johor pada Sabtu.

 


MERSING 18 Sept - Kerajaan Negeri Johor dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) hari ini telah menandatangani Perjanjian Kerjasama untuk membangunkan projek Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menjadikan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menjadi lembah tenusu di Malaysia.

 

Projek JDV ini bakal dibangunkan di atas tanah seluas 275 hektar yang terletak di Mersing, Johor. Apabila mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2023, ia dijangka akan mengeluarkan 5.1 juta liter susu segar setiap tahun, sekaligus meningkatkan pengeluaran susu negara sebanyak 11%.

 

Peningkatan penghasilan susu segar ini akan dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk susu yang diimport, yang dianggarkan bernilai RM3.9 bilion pada tahun 2019.

 

Selain itu, projek JDV ini juga dijangka akan mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan baharu dan 30 agropreneur dalam kalangan masyarakat tempatan di Mersing JDV adalah sebuah projek perniagaan tani utama di bawah agrofood@ECER, iaitu inisiatif bersepadu untuk produk pertanian dan makanan, yang merangkumi projek pembangunan Lembah Tenusu ECER.

 

JDV mengambil pendekatan bersepadu yang merangkumi aktivitiaktiviti huluan, pertengahan dan hiliran. Ia meliputi semua aspek pengeluaran lembu tenusu, termasuk pembiakan haiwan, pengurusan ternakan, pemprosesan susu dan industri berkaitan seperti makanan dan nutrisi haiwan.

 

Projek JDV ini akan mereplikasi Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) di Pahang, sebuah projek ECERDC yang telah terbukti kejayaannya.

 

MSCRIC adalah projek kerjasama awam-swasta yang telah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri lembu tenusu di ECER. Dengan pelantikan Farm Fresh Sdn. Bhd. sebagai Syarikat Induk kepada MSCRIC, pengeluaran susu menerusi projek ini telah melepasi sasaran awal dengan penghasilan sebanyak 6 juta liter susu segar pada tahun 2020.

 

Ia juga telah memberi manfaat secara langsung kepada penduduk tempatan, termasuk masyarakat Orang Asli, dengan mewujudkan 275 peluang pekerjaan baharu dan 2,206 peluang keusahawanan, seperti “home dealer” dan petani satelit.

 

Menteri Besar Johor, Dato’ Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri merancang untuk mengembangkan sektor pertanian dan berhasrat menjadi pengeksport makanan utama serta “food bank” untuk negara pengeksport lain.

 

''Projek JDV yang dilaksanakan oleh ECERDC akan menyokong hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadi hab makanan serantau, sejajar dengan Agenda Jaminan Makanan Johor, serta inisiatif Bank Makanan Johor, salah satu daripada tujuh usaha di bawah “7 Ikhtiar Makmur Johor” untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri,” kata beliau pada majlis menandatangani perjanjian di sini hari ini.

 

Perjanjian Kerjasama ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat, sementara Kerajaan Negeri Johor diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani, manakala Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor (SSI) diwakili oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Dato’ Dr. Badrul Hisham Kassim.

 

Baidzawi berkata, JDV adalah salah satu komponen Lembah Tenusu ECER yang dirancang oleh ECERDC bagi mewujudkan industri tenusu yang cekap dan mampan merentasi ECER, di Jemaluang, Mersing, Setiu, Terengganu, Pahang Barat dan Lojing, Kelantan.

 

''Apabila digabungkan, Lembah Tenusu ECER dijangka akan menghasilkan 40% daripada pengeluaran susu segar tempatan. Ini akan dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap susu yang diimport disamping menyediakan peluang pekerjaan dan keusahawanan, seperti petani satelit dan usahawan industri tenusu kepada masyarakat setempat,” kata beliau.

 

Melalui inisiatif agrofood@ECER, visi ECERDC adalah untuk menjadikan ECER menjadi hab pengeluaran makanan utama negara, yang akan membantu mengukuhkan jaminan bekalan makanan negara, mengurangkan kebergantungan kepada makanan yang diimport terutamanya produk tenusu, serta mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada masyarakat setempat. - DagangNews.com