Kepentingan pematuhan syariah dalam operasi sesebuah koperasi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 12 July 2022

KEPENTINGAN PEMATUHAN SYARIAH DALAM OPERASI SESEBUAH KOPERASI

 

 

PRINSIP syariah adalah nyawa kepada operasi perniagaan yang patuh syariah termasuk juga aplikasi kewangan secara Islam. 

 

Ini akan memperkukuh dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti sistem muamalat Islam termasuklah sektor koperasi, yang merupakan antara cabang ekonomi penting kepada negara.

 

Oleh itu, Garis Panduan 28 (GP 28) yang diwarta di bawah seksyen 86B Akta Koperasi 1993 adalah antara tadbir urus penting dalam operasi sesebuah koperasi demi mencapai kepatuhan syariah.

 

Garis panduan ini bertujuan mengawal selia koperasi yang menjalankan perniagaan atau aktiviti berlandaskan syariah yang memberi fokus kepada pembentukan jawatankuasa dan tadbir urus syariah dalam koperasi.

 

GP 28 perlu dipatuhi oleh semua koperasi yang menjalankan aktiviti mirip kepada institusi kewangan yang berfungsi sebagai pengantaraan kewangan tetapi melibatkan aktiviti patuh syariah. 

 

Antara kategori aktiviti seperti fungsi perbankan, fungsi kredit, pembiayaan dan pajak gadai emas (Ar-Rahnu).

 

 

Keperluan jawatankuasa syariah

 

Setiap koperasi dalam kategori di atas dikehendaki mewujudkan jawatankuasa syariah untuk memantau dan mengesahkan segala produk dan perkhidmatan patuh syariah mereka dilaksana dengan baik dan berkesan.

 

Jawatankuasa syariah boleh ditubuhkan dengan melantik pakar-pakar syariah dalaman atau menubuhkan jawatankuasa untuk satu kumpulan koperasi seperti persekutuan koperasi.  

 

Tambahan pula, koperasi juga dibenarkan melantik jawatankuasa syariah luaran yang diiktiraf atau berdaftar dengan pihak-pihak autoriti seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia. 

 

Pelantikan jawatankuasa ini adalah sah bagi tempoh tiga tahun dan koperasi boleh melantik semua jawatankuasa ini dengan memperbaharui tempoh pelantikan mereka.

 

 

syariah

 

 

Siapa layak anggotai jawatankuasa ini?

 

Sekiranya koperasi mahu melantik ahli jawatankuasa syariah, mereka mestilah berkelayakan dan sesuai untuk memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa. 

 

Kebiasaanya, mereka yang menganggotai jawatankuasa ini perlu memiliki keunggulan peribadi seperti kejujuran, integriti, tekun dan mampu membuat keputusan dengan wajar.

 

Individu tersebut mesti juga berkeupayaan dan cekap serta mempunyai kemahiran, pengalaman, kebolehan dan komitmen untuk melaksanakan tanggungjawab. 

 

Satu lagi ciri ialah memiliki integriti kewangan. Individu ini hendaklah mampu mengurus tanggungan atau kedudukan kewangan mereka dengan berhemat, tidak muflis dan tidak boros.

 

 

Memastikan tadbir urus yang efektif

 

Untuk memastikan tadbir urus syariah koperasi lebih tersusun, lancar dan efektif, koperasi perlu menetapkan akauntabiliti dan tanggungjawab kepada empat fungsi utama dalam koperasi.

 

Ini termasuklah lembaga koperasi, jawatankuasa syariah, pihak pengurusan dan akhir sekali Jawatankuasa Audit Dalaman koperasi.

 

Lembaga koperasi diberikan kuasa dan tanggungjawab muktamad ke atas keseluruhan tadbir urus dan pematuhan syariah yang dinasihati oleh ahli jawatankuasa syariah.

 

Mereka bersama jawatankuasa syariah akan meluluskan semua polisi berkaitan syariah dan memastikan bahawa polisi berkenaan dilaksanakan dengan berkesan.

 

Lembaga koperasi bergantung sepenuhnya kepada jawatankuasa syariah terhadap semua keputusan, pandangan dan pendapat syariah berkaitan operasi. 

 

 

gambar hiasan

 

 


Menerapkan budaya patuh syariah 

 

Memandangkan keputusan, pandangan dan pendapat syariah mengikat operasi koperasi, jawatankuasa syariah selalunya akan membincangkan segala isu yang timbul dengan terperinci sebelum membuat sebarang keputusan.

 

Status jawatankuasa ini adalah sebagai badan bebas di koperasi yang mana mereka akan melapor terus kepada lembaga koperasi dan memaklumkan mengenai perkara berkaitan syariah yang berlaku dalam koperasi. 

 

Malah, jawatankuasa ini juga akan mengawasi hal ehwal syariah berkaitan operasi perniagaan dan aktiviti koperasi dan akan cuba untuk mengenal pasti isu atau perkara yang memerlukan perhatian khusus dan seterusnya mencadangkan langkah pencegahan dan pembetulan, jika perlu.

 

Pihak pengurusan koperasi pula adalah bertanggungjawab untuk mematuhi dan melaksanakan kehendak dan keputusan syariah yang dibuat oleh jawatankuasa. 

 

Pada masa sama, pihak pengurusan juga digalakkan dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan merujuk apa-apa isu syariah sama ada operasi atau maklumat berkaitan syariah kepada jawatankuasa ini bagi mendapatkan keputusan, pandangan dan pendapat.

 

Selain itu, pihak pengurusan adalah bertanggungjawab untuk menerapkan budaya pematuhan syariah dalam koperasi termasuk kaedah bagaimana koperasi boleh mematuhi prinsip syariah dengan berkesan dalam keseluruhan operasi perniagaan atau aktiviti.

 

Akhir sekali, Jawatankuasa Audit Dalaman yang berfungsi untuk memastikan sistem kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang kukuh dan berkesan, juga mampu menyediakan penilaian yang bebas dan boleh dijadikan penanda terhadap pematuhan syariah dalam sesebuah koperasi. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

UTM
 

Portfolio Tags