Skip to main content
DagangNews.com
Kolum MULANYA DI SINI - 13 June 2022

Kepenggunaan di Era Pendigitalan

Oleh Dr. Marziah Mokhtar & Sabariah Yusoff

 

 

 

URUS NIAGA digital dalam era Revolusi Industri 4.0 tumbuh pesat sebagai kaedah transaksi yang terkini.  

 

Krisis pandemik COVID-19 telah mempercepat gelombang perubahan yang mendorong masyarakat anjak kepada norma baru iaitu mengadaptasikan pendigitalan dalam urusan membeli barangan dan perkhidmatan.

 

Di Malaysia, situasi sebelum pandemik menunjukkan trend pembelian dalam talian kurang popular sungguhpun ramai sedar akan kewujudan platform ini.

 

Hal ini lebih ketara bagi kategori pengguna dalam lingkungan empat puluhan ke atas yang merupakan pemegang kuasa beli yang tinggi.

 

Mereka rata-rata masih selesa dengan urus niaga cara tradisional iaitu interaksi secara fizikal yang membenarkan mereka membuat pemilihan sekaligus penilaian ke atas barangan sebelum melakukan pembelian.

 

Justeru, pembelian secara dalam talian kurang menarik minat para pengguna dalam lingkungan umur ini khususnya. 

 

Namun susulan dari pandemik, di mana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan, menyaksikan peningkatan secara mendadak jumlah pembelian atas talian.

 

Sekatan yang dikuatkuasakan itu telah menjadi faktor mendesak yang menyegerakan aplikasi pembelian dalam talian oleh pengguna dari pelbagai peringkat umur.

 

Penularan wabak COVID-19 yang terkait dengan faktor sentuhan, telah mewujudkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat awam untuk menjalankan urusan pembelian secara bersemuka.

 

Maka, pembelian tanpa sentuhan ini merupakan salah satu inisiatif yang selamat ketika itu bagi mendapatkan barangan serta perkhidmatan.

 

mulanya di sini

 

Tidak dapat dinafikan, pada peringkat awal, wujud rasa kurang selesa atas pelbagai unsur seperti isu kepercayaan kepada mutu perkhidmatan dan kualiti barang yang dipesan serta tidak arif dengan sistem pesanan digital yang diguna pakai.  

 

Setelah pandemik diumumkan berakhir, dalam penelitian rambang yang dibuat, didapati rakyat Malaysia kini telah melazimkan kehidupan norma baharu di mana transaksi pembelian dalam talian ini sudah dianggap sebagai platform urus niaga biasa.

 

Pengguna sudah bertambah selesa dan yakin kepada mutu perkhidmatan serta kualiti barangan yang dibeli terutamanya apabila pengalaman selama tempoh PKP adalah positif.

 

Ini dapat dilihat dari rajah di bawah yang menunjukkan pertumbuhan jumlah jualan runcit dalam talian pada tahun 2020:

 

mulanya di sini

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan membuat pesanan barangan atau perkhidmatan dalam talian seperti melalui telefon, WhatsApp dan Facebook juga meningkat kepada 54.4 peratus pada 2020 daripada 22.5 peratus pada 2019.

 

Maklumat juga menunjukkan pembelian barangan atau perkhidmatan melalui e-dagang seperti Shopee, Lazada dan Grab meningkat kepada 45% pada 2020 daripada 35.2% pada 2019.

 

Antara platform e-dagang yang lain yang mendapat perhatian yang tinggi dari pengguna ialah Mudah.my, Taobao, Carousell, eBay and Amazon.

 

Gaya pembelian ini ternyata membuka ruang kepada pengguna untuk akses pelbagai pilihan produk pada harga yang kompetitif dengan mudah serta cepat tanpa mengira masa dan tempat.

 

Pengguna bebas dari sebarang tekanan mental dan fizikal sewaktu pembelian dibuat.

 

Hanya berbekalkan usaha yang minimum, pengguna dapat menjimatkan masa untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan tanpa perlu mengunjungi premis berkenaan.

 

mulanya di sini

 

Menurut maklumat dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), secara purata sekitar 35-40% aduan yang diterima melibatkan transaksi atas talian.  

 

Sekaligus, fakta ini memberi petunjuk bahawa terdapat perubahan gaya pembelian pengguna iaitu berlakunya peningkatan pembelian secara dalam talian.

 

Dalam masa yang sama, peratus aduan yang tinggi ini menunjukkan pihak pengguna tidak boleh terlebih selesa dan mesti sentiasa berwaspada dan ambil cakna akan hak mereka dalam urus niaga ini.

 

Aduan yang dibuat tersebut berkisar tentang salah laku peniaga di dalam talian.

 

Lanjutan dari itu KPDNHEP membangunkan satu aplikasi telefon pintar yang dinamakan ezAdu.

 

Ini adalah sebagai langkah memperkasakan pendigitalan pengguna di mana aduan boleh disalurkan serta merta melalui telefon pintar masing-masing.

 

Usaha ini sekaligus memantapkan lagi inisiatif kerajaan dalam memberi perlindungan kepada pengguna.
 

 

mulanya di sini

 

Bagi mengelak menjadi mangsa penipuan, beberapa perkara penting yang perlu pengguna lakukan untuk memudahkan siasatan serta tindakan selanjutnya. Antaranya adalah:

  • Pengguna harus menyemak semua maklumat sebelum menjalankan sebarang transaksi pembelian dalam talian.
  • Pembeli perlu membuat semakan akaun sebelum membuat pembelian.
  • Pembeli tidak membenarkan individu lain mengakses maklumat perbankan diri.
  • Pengguna harus mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat sekiranya rasa curiga atau tidak pasti.
  • Pengguna harus memastikan adanya bukti atau dokumen bertulis seperti resit, invois dan surat perjanjian.
  • Pengguna digalakkan mendapatkan maklumat melalui laman web rasmi sebagai panduan umum.

 

Tidak dapat dinafikan yang transaksi pembelian dalam talian adalah sangat memudahkan iaitu hanya dengan menekan butang sahaja bagi mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang dihajati.

 

Kini, pembelian dalam talian telah mendapat tempat di hati pengguna kerana semuanya di hujung jari dan transaksi pembelian tidak lagi terikat kepada masa dan tempat.

 

Justeru tidak mustahil untuk pengguna berbelanja melebihi kadar dan kemampuan kewangan peribadi.

 

mulanya di sini

 

Oleh yang demikian, para pengguna perlu untuk lebih berhemah dalam berbelanja. Jangan mudah tertarik dengan pelbagai strategi pemasaran.

 

Jati diri pengguna mesti kuat dan pengguna mesti bijak dalam mengatur perbelanjaan di alaf baru ini.

 

Berbelanjalah mengikut keutamaan keperluan dan keupayaan kewangan peribadi. – DagangNews.com

 

  • Dr. Marziah Mokhtar adalah Koordinator Keusahawanan Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Dengkil
  • Sabariah Yosoff adalah Pensyarah Kanan (Jabatan Ekonomi & Kewangan),  Fakulti Pengurusan & Perniagaan Universiti Teknologi MARA
Portfolio Tags