Kenapa prinsip nilai masa wang hanya untuk kontrak pertukaran? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 15 March 2022

Kenapa prinsip nilai masa wang hanya untuk kontrak pertukaran?

 

 

MAJLIS Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia, dalam mesyuarat ke-71 bertarikh 26 hingga 27 Oktober 2007 memutuskan bahawa penggunaan prinsip nilai masa wang dalam pelaporan kewangan Islam hanya dibenarkan untuk kontrak pertukaran yang melibatkan pembayaran harga tangguh. 

 

 

Bagaimanapun, ia dilarang sama sekali dalam transaksi berasaskan hutang (qard). Dalam erti kata lain, MPS membenarkan harga jualan tertunda yang lebih tinggi berbanding harga jualan tunai.

 

Kebenaran ini menunjukkan bahawa faktor masa boleh diambil kira dalam menentukan harga jualan. 

 

Harga barangan pada masa ini sebenarnya lebih tinggi nilainya berbanding dengan nilai pada masa hadapan. 

 

Contohnya, harga rumah pada tahun 2000 bernilai RM200,000 tetapi selepas 22 tahun, ia mencecah lebih RM800,000.

 

Oleh itu, dalam muamalat, penetapan harga dalam jualan tertangguh perlu ditambah (marked up) harganya untuk memastikan keadilan kepada pihak yang berkontrak terutama penjual yang terpaksa mengorbankan penggunaan wang tunai penjual sekarang untuk membiayai pelanggan dalam memiliki rumah.  

 

Namun, penambahan harga perlulah berdasarkan kepada konsep keadilan yang mana harga tambah tersebut mesti mengikuti penanda aras yang diiktiraf oleh badan-badan yang berkuasa dalam negara. 

 

Penjual tidak dibenarkan untuk mengambil peluang untuk menambah harga tangguh mereka sesuka hati sahaja. 

 

Malah, pelanggan juga mempunyai kuasa membeli untuk memilih mana-mana penjual yang mereka berpuas hati dalam industri. 

 

Penggunaan prinsip nilai masa wang ini hanya terhad kepada urus niaga jual beli sahaja. 

 

MPS memutuskan bahawa dalam urus niaga berasaskan hutang (qard), wang tidak dibenarkan untuk ditambah nilai apabila berlaku penangguhan bayaran. 

 

Wang bukan barang yang boleh dijual beli seperti barangan yang lain. Wang hanyalah alat pertukaran sahaja. 

 

Jika ia ditambah nilai juga, maka riba nasi’ah terbentuk, yang merujuk kepada wang menghasilkan wang.

 

Kesimpulan yang boleh dibuat ialah, kontrak jual beli yang berasaskan prinsip keadilan boleh menerima kenaikan harga akibat penangguhan. 

 

Bagaimanapun, ia tidak bermakna Islam tidak mengiktiraf nilai masa wang dalam kontrak berasaskan hutang. 

 

Ini kerana penangguhan dalam akad hutang ini diberi pertimbangan dari segi ganjaran berlipat kali ganda di akhirat, selaras dengan prinsip ihsan yang mendasarinya.

 

Sekiranya dibandingkan dengan prinsip ihsan dan keadilan, ihsan adalah lebih tinggi tarafnya daripada keadilan kerana ihsan mendapat ganjaran yang lebih besar di akhirat daripada ganjaran wang. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm
 

Portfolio Tags