Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Anekdot Mawarith - 15 November 2021

Wasiyyah

KENAPA MASYARAKAT PERLU GUNAKAN KHIDMAT SYARIKAT AMANAH UNTUK MERANCANG HARTA DAN MENGURUS PUSAKA?

 

 

BEBERAPA minggu lepas saya dikemukakan soalan ini, “ Buat apa nak gunakan perkhidmatan syarikat amanah, mahal dan leceh!''

 

‘’Kalau setakat nak buat dokumen perancangan harta, ada ramai saja individu dan syarikat sendirian berhad di luar yang boleh bantu saya buat dokumen dengan caj yang jauh lebih murah. Kalau setakat nak urus harta pusaka pula, anak-anak saya boleh saja buat. Tak payah pun guna perkhidmatan syarikat amanah. ”

 

Saya faham masyarakat sentiasa tercari-cari siapakah penyedia perkhidmatan yang paling murah. Ini lumrah manusia.

 

Namun dalam urusan perancangan harta dan pengurusan pusaka, masyarakat juga perlu faham pelbagai dimensi perkhidmatan yang wujud seperti dimensi  hukum syarak dan dimensi undang-undang sivil yang berkaitan.

 

Saya secara istiqomah mendidik masyarakat mengenai fungsi syarikat amanah namun saya tahu masih terlalu ramai masyarakat yang tidak faham tentangnya.   

 

Di dalam urusan harta pusaka, syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad mempunyai kuasa undang-undang yang jelas.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad memang diperuntukkan kuasa  secara terperinci dari segi undang-undang untuk bertindak sebagai pemegang amanah harta, wasi atau ejen di bawah Seksyen 8, 9, 10, 11, 12, dan 14  Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100).

 

Apabila kami dilantik, kami diikat oleh undang-undang untuk menjalankan tanggungjawab tersebut. Jika kami gagal, kami akan berdepan implikasi undang-undang.   
  

 

anekdot

 

 

Dari segi pelaksanaan tanggungjawab pula, kami mempunyai tadbir urus korporat dan SOP  yang mengikut amalan terbaik di dalam industri berdasarkan segala peruntukan undang-undang serta Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2021.

 

Tiada mana-mana individu termasuk diri saya sendiri, mempunyai kuasa untuk bertindak atau membuat keputusan sewenang-wenangnya kerana semua keputusan saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif adalah tertakluk kepada had kuasa (limit of authority) yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah.

 

Semua perkhidmatan perancangan harta dan pengurusan pusaka yang diperkenalkan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad kepada masyarakat pula melalui disiplin ilmu yang ketat.

 

Kami membangunkan perkhidmatan bukan berdasarkan pandangan individu atau sekadar ikutan sahaja.

 

Proses pembangunan perkhidmatan di Wasiyyah Shoppe Berhad bermula dari penyelidikan ilmiah yang dibuat bersama universiti, sesi muzakarah dengan pakar-pakar undang-undang syariah dan sivil, tapisan ketat Jawatankuasa Teknikal Syariah sehinggalah pembentangan dan kelulusan dari Panel Syariah kami yang seramai 7 orang.

 

Kami akan memastikan perkhidmatan itu patuh hukum syarak dan boleh dikuatkuasakan mengikut undang-undang di Malaysia.  

 

Amalan tadbir urus korporat terbaik yang diamalkan ini memakan belanja yang bukan sedikit dan juga memakan masa yang panjang namun ia perlu dibuat bagi memastikan semua komitmen kami terhadap pelanggan yang merancang harta di Wasiyyah Shoppe Berhad akan terlaksana secara sempurna.

 

 

Wasiyyah

 

 

Dari segi kewujudan berterusan Wasiyyah Shoppe Berhad pula, di dalam Seksyen 33 akta yang sama memperuntukkan bahawa syarikat amanah tidak boleh menggulung (wind-up) operasinya (bahasa mudah: tutup kedai).

 

Selepas prosedur biasa penggulungan mengikut Akta Syarikat 2016 dilalui, syarikat amanah perlu memohon pula kepada mahkamah untuk mendapatkan kebenaran bagi penggulungan.

 

Di dalam mempertimbangkan permohonan ini, mahkamah akan melihat kepada faktor sama ada syarikat amanah itu telah menyempurnakan semua tanggungjawab seperti yang dilantik oleh pelanggan.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad mempunyai lebih dari 75,000 orang pelanggan seluruh Malaysia. Sebahagian besar darinya masih hidup.

 

Adalah mustahil Wasiyyah Shoppe Berhad boleh menyelesaikan semua tanggungjawab yang diberikan  dalam satu tempoh waktu yang singkat.

 

Sekiranya kami ingin juga menutup operasi, kami juga perlu memastikan bahawa kesemua obligasi tanggungjawab ini telah kami serahkan sepenuhnya kepada syarikat amanah yang lain.

 

Jika tiada syarikat amanah yang bersetuju menerima tanggungjawab ini, maka kami tidak boleh menutup operasi.

 

Dalam erti kata lain, dari segi undang-undang Wasiyyah Shoppe Berhad tidak boleh menutup operasi kecuali selepas memenuhi semua keperluan di atas dan telah mendapat kebenaran mahkamah.

 

Kepada masyarakat ini sepatutnya menjadi berita baik dan sebab utama kenapa mereka perlu merancang harta dan mengurus pusaka melalui syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Wasiyyah

 

Ketatnya undang-undang yang mengikat Wasiyyah Shoppe Berhad akan memberi jaminan bahawa Wasiyyah Shoppe Berhad akan tetap wujud 10, 20 malah 100 tahun sekalipun.

 

Ini bermakna bila pun waktunya pelanggan meninggal dunia, Wasiyyah Shoppe Berhad akan tetap wujud untuk membantu waris-waris mereka melalui proses undang-undang sehinggalah mereka menerima harta yang sepatutnya.

 

Saya juga faham ada individu yang berpengetahuan di dalam ilmu berkaitan pewarisan harta menawarkan perkhidmatan sama kepada masyarakat dengan caj yang lebih murah.

 

Ia tidak salah namun masyarakat perlu faham bahawa individu ini akan mati malah mungkin juga akan mati lebih awal dari pelanggan.

 

Siapakah pihak yang akan membimbing waris-waris pelanggan melalui semua proses perundangan dalam keadaan begini? Adakah waris-waris boleh saja melalui proses perundangan bersendirian tanpa bimbingan mana-mana pihak ?

 

Masalah sama juga akan dihadapi waris jika perkhidmatan  syarikat sendirian berhad digunakan bagi tujuan ini. Ini kerana syarikat sendirian berhad tidak seperti syarikat amanah, boleh pada bila-bila masa berhenti operasi (wind-up) tanpa sebarang sekatan.

 

Dari segi tadbir urus korporat pula, syarikat sendirian berhad tidak secara ketat tertakluk dari segi undang-undang untuk mengikuti apa-apa standard amalan terbaik (best practice).

 

 

Wasiyyah

 

 

Ini bermakna tuan punya syarikat boleh pada bila-bila masa untuk berbuat apa sahaja ke atas syarikat. Keadaan ini pastinya mendatangkan risiko kepada pelanggan dan warisnya tidak menerima perkhidmatan seperti yang dijanjikan.

 

Risiko lebih besar menanti masyarakat jika menggunakan perkhidmatan syarikat sendirian berhad ialah kerana mereka tiada punca kuasa dari mana-mana undang-undang untuk bertindak di dalam kapasiti seperti syarikat amanah. 

 

Walau apa pun masyarakat bebas memilih untuk merancang harta dan mengurus pusaka sama ada melalui syarikat amanah, syarikat sendirian berhad ataupun individu namun masyarakat perlulah mempertimbangkan semua faktor yang saya sebutkan di atas sebelum membuat keputusan.

 

Jika anda benar-benar mahukan hasrat pengagihan harta anda tercapai, pihak yang menguruskan hal ini mempunyai kuasa undang-undang jelas dan anda mahukan jaminan waris-waris anda akan dibantu melalui proses perundangan berkaitan walaupun anda meninggal dunia 100 tahun yang akan datang, maka pilihan anda adalah jelas iaitu menggunakan perkhidmatan syarikat amanah.

 

Tepuk dada tanyalah iman.      

  

  

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad
ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

Portfolio Tags