Kenanga : Pelabur sedang kumpul saham MyNews, ramal kembali pulih pasca COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Kenanga : Pelabur sedang kumpul saham MyNews, ramal kembali pulih pasca COVID-19

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Penganalisis mendapati para pelabur sedang mengumpul ekuiti MyNews Holdings Berhad, mungkin disebabkan oleh jangkaan saham itu akan kembali pulih pasca COVID-19. 

 

Penganalisis di Kenanga Research, Lim Khai Xhiang membuat andaian itu berdasarkan prestasi saham MyNews yang telah membentuk beberapa siri julat harga rendah dan tinggi sejak bulan Mei tahun ini. 

 

“Sejak melepasi purata bergerak sederhana (SMA) selama 150 hari pada Februari tahun ini, saham itu telah didagangkan melebihi garisan sokongan dinamik ekoran kenaikan jangka panjangnya yang kekal utuh. 

 

“Dalam pada itu, indikator stokastik ketika ini menunjukkan bahawa saham itu telah terlebih dijual, menunjukkan bahawa harga sahamnya mungkin melanjutkan aliran menaiknya pada masa akan datang. 

 

“Dalam proses tersebut, saham itu mungkin mampu melepasi paras rintangan kami pada RM1.03 dan RM1.15,” jelas Khai Xhiang dalam satu nota kajiannya hari ini.

 

MyNews menjalankan perniagaan rantaian kedai serbaneka yang menawarkan pelbagai rangkaian produk. 

 

Pada tahun kewangan Oktober 2020 (FY20), kumpulan mencatatkan kerugian bersih RM10 juta berbanding keuntungan bersih RM28 juta pada FY19.

 

Penyusutan itu disebabkan oleh jualan di kedainya yang merosot serta margin lebih rendah memandangkan campuran produknya telah beralih kepada barangan keperluan harian yang bermargin lebih rendah. 

 

“Selepas mengumumkan kerugian bersih utama RM19 juta pada tempoh enam bulan pertama yang berakhir April 2021, penganalisis melontarkan pandangan berbeza-beza mengenai prestasi kewangan MyNews untuk FY21, julat unjuran keuntungan bersih RM12 juta sehingga kerugian bersih RM37 juta dengan min unjuran kerugian bersih pada RM19.5 juta. 

 

“Namun, konsensus menjangkakan MyNews akan kembali untung pada FY22 dengan keuntungan bersihnya diramalkan mencecah RM20.7 juta,” tambah Khai Xhiang.

 

Setakat 3.06 petang, harga saham MyNews menyusut 0.5 sen kepada 91 sen. - DagangNews.com