Kenaikan OPR akan beri kesan mendalam ke atas kumpulan rakyat miskin | DagangNews Skip to main content

Kenaikan OPR akan beri kesan mendalam ke atas kumpulan rakyat miskin

Fakta semasa: berpendapatan rendah berdepan harga makanan yang lebih tinggi.
Oleh ZOUHAIR ROSLI

TINDAKAN Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) hanya kerana bank-bank pusat di seluruh dunia telah meningkatkan kadar faedah rasmi mereka ekoran paras inflasi yang lebih tinggi, akan membawa kesan buruk yang mendalam.

 

Inflasi di Malaysia secara amnya disebabkan oleh tiga faktor: gangguan bekalan, lebih ramai orang mendapat pekerjaan, dan permintaan domestik yang lebih kukuh yang akan memacu pertumbuhan ekonomi.

 

Peningkatan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) adalah disebabkan oleh kenaikan harga dalam komponen tertentu, iaitu minyak, makanan dan utiliti untuk pengguna perniagaan bukan kediaman.

 

Malah, kadar inflasi yang diukur oleh IHP meningkat kepada 4.7% pada April 2021 disebabkan oleh harga minyak yang lebih tinggi dan jatuh kepada 3.2% menjelang Disember 2021, kemudian kepada 2.3% pada Januari dan 2.2% pada Februari dan Mac 2022.

 

Inflasi keseluruhan berada pada tahap 2.0%, jauh di bawah sasaran inflasi purata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, iaitu pada 2.7% dalam tempoh 2021-2025.

 

Walaupun kadar faedah dinaikkan atas alasan untuk memerangi inflasil, ia mesti dilakukan dengan cara yang sesuai.

 

Pertama, gangguan bekalan sahaja, terutamanya disebabkan oleh kekurangan dalam pengeluaran global yang berada di luar kawalan kita, tidak memerlukan kenaikan kadar faedah secara mendadak.

 

Kedua, peningkatan dalam pasaran buruh dan pengukuhan permintaan domestik tidak semestinya bermakna kedudukan pekerja adalah lebih baik melalui gaji yang lebih tinggi.

 

 

ZOUHAIR ROSLI
                                               ZOUHAIR ROSLI

 

 

Lagipun, apa yang paling ditakuti oleh pakar ekonomi arus perdana ialah pekerja yang menerima gaji yang lebih tinggi akan berbelanja lebih dalam ekonomi, dan ini boleh membawa kepada inflasi yang lebih tinggi, bukan?

 

Adakah benar bahawa gaji keseluruhan akan bertambah baik sehingga menyebabkan permintaan domestik yang lebih tinggi dan seterusnya inflasi yang lebih tinggi?

 

Selain pengumuman baru-baru ini mengenai kenaikan gaji minimum, keadaan itu adalah sangat tidak mungkin.

 

Tahun lepas, ekonomi kita meningkat sebanyak 3.1%. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sektor perkhidmatan juga bertambah baik sebanyak 1.9%.

 

Apakah yang berlaku kepada gaji pekerja dalam sektor perkhidmatan yang majoriti (64%) merupakan pekerja kita? Malangnya, gaji purata mereka merosot sebanyak 2.4%.

 

Gaji dikurangkan meskipun pekerjaan telah meningkat, dan permintaan dalam negeri bertambah baik. Peningkatan permintaan dalam negeri tidak bermakna pekerja menerima gaji lebih baik dan berbelanja lebih.

 

Pekerja mungkin berbelanja lebih kerana kelonggaran SOP dan fasa endemik yang kita lalui sekarang, dan bukan disebabkan oleh gaji yang lebih tinggi.

 

Kini, kenaikan kadar faedah boleh memberi kesan negatif kepada pekerja berpendapatan rendah terutamanya dalam kalangan mereka yang sedang membayar pinjaman perumahan mereka.

 

 

parafrasa

 

 

Persekitaran sedia ada iaitu berpendapatan rendah dan harga makanan yang lebih tinggi tidak akan dibantu oleh komitmen bulanan yang lebih tinggi untuk membayar hutang perumahan.

 

Oleh itu, kenaikan faedah akan memburukkan lagi, dan membawa kepada pendapatan boleh guna yang lebih rendah.

 

Campur tangan yang diperlukan agak mudah dan terus langsung: bekukan sebarang kenaikan pembayaran balik pinjaman untuk kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana (terutama kumpulan berpendapatan B80 (80%).

 

Kekalkan kadar sebelum ini.

 

Jika bank besar boleh membuat keuntungan berbilion-bilion semasa wabak dengan beberapa pusingan moratorium, apakah yang akan menyebabkan mereka muflis jika diberikan penangguhan sementara dalam kenaikan kadar bagi peminjam-peminjam berpendapatan rendah dan sederhana? - DagangNews.com

 

 

ZOUHAIR ROSLI adalah Pengarah Unit Sosioekonomi Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM)