Kemerosotan harga minyak sawit mentah disebabkan penyusutan pengeluaran buah tandan segar - Zuraida | DagangNews Skip to main content

Kemerosotan harga minyak sawit mentah disebabkan penyusutan pengeluaran buah tandan segar - Zuraida

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Malaysia merekodkan eksport yang kukuh walaupun berlaku kemerosotan harga minyak sawit mentah (CPO) dan penyusutan pengeluaran CPO sebanyak 1.1%  kepada 8.27 juta tan metrik (MT) sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini, berbanding 8.36 juta MT dalam tempoh separuh pertama 2021.

 

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kemerosotan yang berlaku adalah disebabkan pengeluaran buah tandan segar (FFB) yang menyusut sebanyak 3.6% per hektar sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2022, berbanding 7.16 tan per hektar sepanjang tempoh sama tahun lalu.

 

Beliau berkata, dari segi volum, eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan minyak sawit dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini juga meningkat sebanyak 2.8% kepada 11.47 juta MT berbanding 11.15 juta MT tahun lalu.

 

"Eksport minyak sawit Malaysia dan produk-produk berasaskan minyak sawit menokok sebanyak 55.2% kepada RM67.48 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini daripada RM43.47 bilion sepanjang tempoh sama pada 2021. 

 

"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 66.1% hasil eksport adalah daripada minyak sawit, iaitu RM44.63 bilion berbanding hanya RM28.8 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Zuraida, lonjakan mendadak dalam hasil eksport sebahagiannya adalah disebabkan peningkatan harga CPO, baik di dalam atau luar negara.

 

Beliau berkata, antara Januari hingga Jun 2022, harga CPO melonjak sebanyak 55.9% kepada RM6,330 per MT daripada RM4,061.50 per MT bagi tempoh sama 2021.

 

Katanya, mengikut Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), hasil daripada eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan minyak sawit bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini meningkat kepada RM56.47 bilion atau peningkatan sebanyak 58.8% berbanding lima bulan pertama 2021.

 

"Saya amat gembira dengan hasil menggalakkan yang direkodkan sepanjang enam bulan pertama 2022 yang membolehkan pemain-pemain industri, sama ada pekebun kecil atau syarikat perladangan senaraian awam mendapat manfaat daripada peningkatan harga CPO untuk menjana perolehan yang lebih tinggi. 

 

"Jelas sekali, lonjakan dalam perolehan hasil akan menyaksikan peningkatan dalam pendapatan yang kemudian boleh menyumbang dalam bentuk pelbagai cukai untuk digunakan oleh kerajaan Keluarga Malaysia bagi melaksanakan program-program berkaitan sosio-ekonomi yang penting bagi mempercepatkan usaha pemulihan ekonomi negara daripada kesan pandemik COVID-19," katanya.

 

Tambahnya, kementerian dan beliau secara peribadi amat gembira melihat sawit atau 'tanaman emas' negara sudah dapat diterima dengan meluas di peringkat global seperti ditunjukkan dalam bentuk eksport yang menggalakkan dalam tempoh separuh pertama 2022. 

 

"Dalam hal ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan seluruh agensi berkaitan atas usaha agresif dan tidak pernah jemu dalam mempromosikan minyak sawit Malaysia, khususnya dalam pelbagai misi perdagangan bersama saya di luar negara.

 

"Kementerian yakin potensi dan prospek untuk minyak sawit Malaysia akan kekal cerah untuk tempoh separuh kedua 2022, memandangkan penerimaan global kepada komoditi negara sudah semakin meluas, termasuk oleh pasaran-pasaran yang bukan tradisional. 

 

"Saya melihat perkembangan ini sebagai satu kejayaan daripada kempen KPPK, iaitu 'Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit' yang bertujuan menepis dakyah-dakyah dan maklumat-maklumat salah mengenai komoditi terbesar Malaysia ini," katanya. - DagangNews.com