Kemerdekaan menurut perspektif Islam (SURAT PEMBACA) | DagangNews Skip to main content

Kemerdekaan menurut perspektif Islam (SURAT PEMBACA)

Saudara Pengarang,

 

 

SABAN tahun peristiwa pada tanggal 31 Ogos 1957 disambut dan diingati oleh seluruh rakyat Malaysia. Lazimnya laungan kemerdekaan berkumandang di seluruh negara seiring dengan kibaran bendera Jalur Gemilang dilakukan bagi menzahirkan kegemilangan dan kejayaan Malaysia.

 

Namun pandemik wabak COVID-19 yang masih belum selesai, tidak bermakna semangat dan sambutan kemerdekaan tidak boleh dilakukan dan diteruskan. Sebaliknya falsafah kemerdekaan dapat diterapkan dan menjadi pembakar semangat kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berjuang bersama serta berganding bahu dalam menyelesaikan pelbagai aspek kesan wabak COVID-19.

 

Masyarakat Islam sewajarnya menzahirkan kesyukuran atas nikmat kemerdekaan yang tidak ternilai kerana dapat menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 pada tahun ini.

 

Definisi merdeka secara bahasa bermaksud bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan sebagainya.

 

Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, apabila disebut ‘kebebasan’ dalam tradisi Islam ia merujuk kepada ‘ikhtiyar’ dan bukan ‘hurriyyah’. ‘Ikhtiyar’ adalah memilih sesuatu untuk yang lebih baik. Oleh itu, kebebasan adalah berbuat menurut tuntutan sifat-dasarnya yang benar dan selari dengan fitrah insani dan tuntutan Ilahi.

 

Persoalan yang timbul adakah memadai dan cukup kepada masyarakat Islam dengan hanya sekadar melaungkan slogan ‘merdeka’, mengibarkan ‘Jalur Gemilang’ dan menyambut peristiwa 31 Ogos dalam menghayati erti kemerdekaan.

 

Hakikat kemerdekaan sebenarnya bukan sekadar hanya kebebasan daripada penjajahan musuh seperti yang difahami oleh kebiasaan masyarakat. Namun terdapat erti tersirat kemerdekaan menurut perspektif Islam yang boleh diterapkan dalam kalangan masyarakat.

 

Pertama, kebebasan manusia dalam menikmati kehidupan sesuai fitrah iaitu selaras matlamat sebenar penciptaan manusia hanya untuk beribadah kepada Allah SWT.

 

Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku” (al-Dzariyat: 56).

 

Sebuah kisah yang mashyur, pertemuan bersejarah Rib’ie bin Amir dengan panglima tentera Parsi bernama Rustum telah menzahirkan sebuah slogan kemerdekaan serta kebebasan yang sebenar menurut perspektif Islam.

 

Kata Allah Rib’ie bin Amir: “Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan Allah SWT, daripada kesempitan dunia kepada dunia yang lapang, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam”.

 

 

merdeka

 

 

Kedua, kebebasan daripada belenggu penjajahan pemikiran dan ideologi yang merupakan ancaman yang jauh lebih besar daripada penjajahan secara fizikal. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam…” (Ali ‘Imran: 19).

 

Kedatangan Islam itu sendiri adalah bertujuan untuk membawa mesej dan sifat kemerdekaan. Islam sebenarnya menyeru manusia supaya membebaskan diri dari pemikiran dan ideologi yang salah.

 

Islam bermaksud kesejahteraan, kedamaian dan keamanan, kesemuanya menjurus kepada maksud kemerdekaan. Islam juga adalah suatu sistem dan cara hidup yang benar dan bersifat komprehensif untuk memandu kehidupan manusia di dunia dan mencapai kejayaan di akhirat.

 

Ketika dunia dilanda pelbagai fitnah, ujian dan cabaran akhir zaman, keteguhan iman dan kebijaksanaan akal sangat diperlukan bagi membuat pilihan yang tepat. Kaedah dan cara berfikir masyarakat perlu kepada asas kefahaman Islam yang mantap supaya jelas misi dan matlamat kehidupan di dunia dan akhirat.

 

Sekiranya matlamat kehidupan masyarakat Islam jelas dan mantap, kehadiran ideologi atau isme yang bertentangan tidak akan mempengaruhi dan menggoyahkan pendirian masyarakat Islam.

 

 

merdeka

 

 

Ketiga, kebebasan daripada pengaruh sikap dan akhlak yang buruk serta boleh merosakkan imej masyarakat dan Islam.

 

Islam juga menyifatkan merdeka sebagai bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Justeru itu, Islam talah berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada terhadap sesama manusia ataupun hawa nafsu yang diselubungi oleh kesyirikan, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan.

 

Pada masa kini, masyarakat dilihat pada zahirnya tidak banyak bercakap tetapi berkomunikasi secara maya melalui media sosial dengan laras bahasa dan ekspresi kata-kata yang membimbangkan.

 

Pesan Nabi SAW yang bermaksud: “Kamu hendaklah menjauhi prasangka buruk kerana sesungguhnya prasangka buruk itu percakapan yang paling dusta, janganlah kamu berdiam (kerana ingin mendengar dan mencari keburukan orang), jangan kamu mengintip (kerana mencari kesalahan), jangan kamu saling mendengki, jangan kamu saling membelakangi (kerana bermusuh), dan jangan kamu saling membenci. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara” (Riwayat al-Bukhari).

 

Apalah ertinya kemerdekaan sekiranya akhlak masih terjajah dan terbelenggu dengan gaya hidup negatif masyarakat jahiliah seperti sikap pemarah, berkata lucah, bercakap kotor dan keji, menuduh tanpa bukti, menyebar fitnah, mewujudkan ketegangan kaum dan sebagainya.

 

Sikap negatif tersebut perlu disingkirkan dan digantikan dengan akhlak mahmudah (terpuji) yang telah dianjurkan oleh Nabi SAW. Inilah pengisian kemerdekaan yang perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

 

Kesimpulan, demikianlah panduan dan pedoman kepada masyarakat Islam dalam menyambut dan mengisi erti kemerdekaan saban tahun dari aspek akidah, syariah dan akhlak yang telah dijelaskan di atas.

 

Sempena hari kemerdekaan, marilah bersyukur dan berusaha membentuk perpaduan rakyat serta menyuburkan semangat cintakan negara demi kesejahteraan, kemajuan dan kemakmuran bersama. - DagangNews.com

 

DR. AZRI BIN BHARI
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor.