Kemenangan BN di Melaka isyarat rakyat mahu kestabilan, pulihkan ekonomi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 24 November 2021

Kemenangan BN Melaka Isyarat Rakyat Mahukan Kestabilan Politik, Pulihkan Ekonomi

 

 

KEHANGATAN keputusan “menang besar” parti Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih lagi heboh diperkatakan.

 

Kemenangan besar BN dalam PRN Melaka ini memberi isyarat yang rakyat kini mahukan kestabilan politik dan kemajuan ekonomi demi kesejahteraan.

 

Selain itu, tema kempen yang diketengahkan BN iaitu “Kestabilan Demi Kemakmuran” pula menjadi pelengkap kerana ia menepati kehendak rakyat pada masa kini.

 

“Kemenangan besar” BN ini menunjukkan rakyat telah memilih parti dan bukannya individu dan rakyat tidak melihat kepada soal dakwaan berkaitan integriti calon itu sendiri.

 

Ada yang berpandangan kehendak pengundi terhadap kestabilan itu menyebabkan  rakyat Melaka kurang cakna soal peribadi calon BN walaupun ada yang didakwa terpalit dengan isu integriti. Benarkah?

 

Ahli politik yang kerap “melompat” sudah tidak relevan lagi bagi rakyat. Selain itu, percakaran dalaman sesama ahli politik dalam parti yang sama juga sudah muak dihidangkan kepada rakyat.

 

 

volatiliti

 

 

Soroton PRN Melaka

Kini, rakyat Malaysia mahukan kepimpinan yang lebih memikirkan tanggungjawab kepada rakyat.  BN mendapat mandat membawa harapan rakyat untuk menerajui negeri Melaka. Berikut adalah sorotan keputusan PNN Melaka 2021.

 

Barisan Nasional (BN) – 21 Kerusi (19 UMNO, 2 MCA dan 1 MIC)

Pakatan Harapan (PH)– 5 Kerusi (4 DAP dan 1 AMANAH)

Perikatan Nasional (PN) – 2 Kerusi (2 BERSATU)

 

Aura Ismail Sabri

Adakah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri antara faktor penyebab kemenangan BN dalam PRN Melaka?

 

Ya. Gagasan Keluarga Malaysia yang telah diperkenalkan oleh Naib Presiden UMNO ini menggembirakan rakyat.

 

Rakyat merasakan usaha kerajaan dalam semarakkan semangat perpaduan antara kaum yang dicetuskan ini adalah sesuatu yang baik dan harmoni.


 

volatiliti

 


Kemenangan ini juga boleh dikatakan dipengaruhi oleh dasar dan pendekatan Ismail Sabri yang membawa perubahan kepada kepimpinan kerajaan Pusat yang berjaya meredakan kemelut politik negara dengan menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang.

 

Apa yang rakyat mahukan adalah kestabilan politik sahaja. Tindakan meredakan politik negara sedikit sebanyak membantu keyakinan rakyat yang membawa kemenangan BN di PRN Melaka.

 

Kemenangan disebabkan i-Citra, i-Sinar dan i-Lestari?

Apakah kemenangan BN di PRN Melaka juga “didorong” kebenaran kerajaan bagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-citra RM10,000 secara “one-off”.

 

Dalam rakyat mengalami tekanan kelangsungan hidup, kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP melalui i-Citra, i-Sinar dan i-Lestari sebanyak RM10,000 setiap “i” ini membolehkan rakyat menarik sedikit nafas lega.

 

Ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat.


 

i-sinar

 


Rakyat Bijak Memilih

Tuntasnya, apa pun jua faktor BN menang di Melaka membuktikan rakyat kini bijak untuk memilih.

 

Semenjak tahun 2018, negara sudah bertukar 3 tampuk kepimpinan negara. Apa yang rakyat mahukan ini ialah kestabilan politik.

 

Dengan 3 tampuk kepimpinan negara dalam tempoh 3 tahun ini membuatkan rakyat Malaysia semakin matang. Rakyat kembali memberi peluang kepada BN kerana sejak dulu lagi, rekod pentadbiran BN membuktikan parti itu menjaga kebajikan rakyat.

 

Keyakinan rakyat terus didorong dengan inisiatif Bajet 2022 dan RMke-12 yang kepada fokus dalam usaha menangani krisis kesihatan, memulihkan ekonomi dan melindungi nyawa serta kehidupan rakyat.

 

Sebagai rakyat marhaen, ini sahaja yang rakyat mahukan. Jika kelangsungan hidup mereka dijaga dan dipelihara, ianya sudah memadai dengan “satu X undi” yang mereka berikan.  Mereka bukan minta lebih pun!

 

Keyakinan rakyat terhadap Bajet 2020, RMke-12 dan gagasan Keluarga Malaysia menjadi faktor penyumbang kepimpinan kerajaan kini diterima baik oleh rakyat.

  

Masa Depan dan Perjuangan PN

Dari sisi berbeza, apakah masa depan dan perjuangan PN seterusnya?

 

PN hanya menang dua daripada 28 kerusi yang ditandinginya dalam PRN Melaka. PN perlu menjalankan kajian mendalam berkaitan kekalahan dalam PRN Melaka

 

Namun begitu, kekalahan PN pada PRN Melaka dilihat tidak akan menjejaskan gabungan parti ini.

 

Menurut mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga  merupakan pengerusi PN, menyatakan PN termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus menjadi wadah politik kepada rakyat Malaysia.

 

Untuk PRU akan datang, Bersatu dilihat boleh menjadi pencabar utama kepada BN.

 

 

volatiliti

 

 

PKR dan PAS Prestasi Terburuk

Di PRN Melaka, PKR mencatatkan prestasi terburuk apabila PKR tidak menang satu pun kerusi. Rakyat sudah kurang yakin dengan hala tuju politik Presiden PKR Anwar Ibrahim.

 

Antara faktor prestasi terburuk PKR ini juga kerana Presiden PKR ini menerima “calon lompat parti” dalam Pakatan Harapan (PH). Ini juga yang menyebabkan DAP sedikit marah dengan tindakan Anwar ini.

 

Sementara itu, PAS pula telah membelakangkan kerjasama Muafakat Nasional bersama UMNO dan memilih PN. Ini kerana “konflik” dalam kalangan pemimpin yang pro-UMNO dalam PAS yang telah tewas dalam pemilihan pucuk pimpinan parti PAS baru-baru ini.

 

Akibat “tukar angin” ke PN ini juga menyebabkan PAS juga menerima nasib yang sama seperti PKR.

 

PAS kini dilihat berada dalam kedudukan yang lebih lemah.

 

Adakah PAS mahu berunding semula dengan UMNO. Adakah UMNO boleh menerima PAS kembali selepas PAS memilih PN di PRN Melaka?

 

Kekalahan 2 parti ini juga melihatkan rakyat yang mahukan kestabilan politik di Malaysia. Ini penting bagi memulihkan ekonomi negara demi kelangsungan hidup rakyat.

 

Jangan Menang Sorak, Kampung Tergadai

Selepas melihat kelemahan PN, PKR dan PAS dalam PRN Melaka, BN dilihat seakan-akan mahukan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera.

 

Jangan terlalu gopoh. Kemenangan BN di PRN Melaka sebenarnya bukan satu gambaran yang mewakili majoriti rakyat Malaysia. Janganlah baru menang satu negeri dah bersorak gembira.


 

volatiliti

 


Kemenangan BN pada PRN Melaka tidak banyak melibatkan saluran anak muda dan belia.  Jika PRU, anak muda dan belia yang “berduyun-duyun” pulang ke desa, barulah boleh menentukan kedudukan sebenar. Sejarah PRU 14 telah membuktikan saluran pengundi anak muda dan belialah yang membuat kejutan perubahan besar keputusan PRU yang lepas.

 

Masa Untuk Pulihkan Ekonomi Negara

Jika mana sekalipun PRU diadakan pada tahun 2022 nanti, apa yang rakyat mahukan adalah kerajaan yang boleh memulihkan semula ekonomi negara.

 

Jika negara tidak mencapai politik yang tidak stabil, asyik nak bercakaran sahaja, bagaimana sasaran kerajaan yang ingin memacu KDNK negara sebanyak 4.5% hingga 5.5% setahu,  pertumbuhan purata sektor perkhidmatan sebanyak 5.2% pembuatan 5.7%, pertanian 3.8%, perlombongan dan pengkuarian 2.6% serta pembinaan 4.2% sepanjang RMke-12 hendak dicapai?

 

Dengan peruntukan RMKe-12 sebanyak RM 400 bilion untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi dan memastikan kemakmuran negara untuk tempoh 2021 hingga 2025 memerlukan kepimpinan negara yang stabil tanpa ada kemelut politik yang “gila kuasa”!

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

Portfolio Tags