Kemelut Caely, pengeluar pakaian dalam wanita semakin rumit | DagangNews Skip to main content

Kemelut Caely, pengeluar pakaian dalam wanita semakin rumit

Merrepak oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

SELEPAS kira-kira dua bulan, perintah pembekuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas akaun bank Caely Holdings Bhd masih kekal.

 

"Lembaga pengarah Caely ingin memaklumkan bahawa tiada perubahan kepada status pembekuan pada semua akaun bank operasi Kumpulan Syarikat Caely sejak [pengumuman terakhir] bertarikh 20 April 2022," kata Caely kepada Bursa Malaysia pada 3 Jun lalu.

 

Syarikat pengeluar pakaian dalam wanita itu berkata ia akan mengumumkan perkembangan mengenai perkara itu apabila perlu.

 

Sebelum ini pada 20 April, pembuat pakaian dalam itu berkata semua akaun bank operasinya dibekukan oleh SPRM dan ia sedang berusaha untuk menyelesaikan isu yang timbul daripada pembekuan itu.

 

Ia berkata ia tidak diberikan perintah pembekuan tetapi sebaliknya telah menerima notis daripada CIMB Bank pada 13 April, menyatakan bahawa akaunnya telah dibekukan.

 

Caely pada mulanya telah memaklumkan pemegang sahamnya mengenai pembekuan akaun banknya pada 18 April tetapi pada masa itu, tidak menyatakan pihak berkuasa yang mengeluarkan perintah pembekuan itu dan menambah bahawa ia tidak mengetahui sebarang salah laku yang membawa kepada tindakan pihak berkuasa.

 

Kekecohan dalam Caely nampaknya masih belum berakhir

Selain perintah pembekuan ke atas semua akaun banknya oleh SPRM, Caely telah dikenakan tindakan undang-undang oleh pengasas dan pengarah bukan eksekutifnya, Datin Fong Nyok Yoon.

 

 

Datin Fong Nyok Yoon
  Datin Fong Nyok Yoon

 

 

Fong dalam saman pemulanya bertujuan melarang Syarikat dan pengarahnya daripada menerbitkan saham baharu melalui pelaksanaan penempatan persendirian.

 

Beliau seterusnya menegaskan bahawa peruntukan saham baharu dalam syarikat hanya dibenarkan jika ia diluluskan oleh pemegang saham Caely dalam mesyuarat
agung luar biasa.

 

Saman pemula Fong menamakan pengarah eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Caely, Lim Chee Pang sebagai defendan pertama.

 

Lima lagi defendan yang dinamakan ialah Lim Say Leong, Beh Hong Shien (kedua-duanya pengarah bukan eksekutif), Datuk Wira Ng Chun Hau (pengerusi eksekutif) dan bekas pengarah bukan eksekutif Noor Azri Noor Azerai dan Datuk Seri Mazlan Lazim. Mazlan dan Noor Azri telah pun meletakkan jawatan daripada lembaga pengarah Caely pada 25 April “untuk meneroka peluang lain”.

 

Fong juga berusaha untuk membatalkan penamaan semula dirinya sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas.

 

Pada 28 Mac tahun ini, diumumkan bahawa beliau telah dilantik semula sebagai pengarah bukan eksekutif bukan bebas (nonindependent, non-executive director, NINED) daripada pengarah eksekutif. 

 

Menurut Laporan Tahunan 2021 Caely, Fong memegang 7.4% saham syarikat itu pada akhir Julai 2021 manakala suami beliau, Datuk Chuah Chin Lai (bekas pengarah urusan Caely) memegang 5.49% kepentingan.



 

caely

 


Masalah bersilih ganti

Sebelum ini, Caely sudah pun terpalit dengan beberapa isu. Terdahulu, syarikat telah melantik Virdos Lima Consultancy (M) Sdn Bhd sebagai juruaudit forensik bebas untuk menyiasat dakwaan berlakunya transaksi mencurigakan dan luar biasa dalam salah sebuah anak syarikatnya.

 

Pelantikan itu dibuat selepas salah seorang pengarah bebas bukan eksekutifnya menerima bungkusan tanpa nama yang mengandungi dokumen yang menimbulkan persoalan tentang beberapa transaksi mencurigakan yang melibatkan unit milik penuhnya, Caely (M) Sdn Bhd (CMSB). Siasatan dijangka siap pada 31 Mei.

 

Sebelum ini, juruaudit luarnya PKF Malaysia telah mengeluarkan pendapat bersyarat ke atas penyata kewangan beraudit kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac
2020, berhubung keupayaan CMSB untuk mendapatkan semula penghutang tertentu.

 

Juruaudit mendapati CMSB mempunyai penghutang dagangan berjumlah hampir RM12 juta setakat 31 Mac 2020 yang berkaitan kerja-kerja pembinaan untuk Felcra Bhd
yang telah siap pada 28 Feb 2018.

 

 

caely

 

 

Walau bagaimanapun, syarikat hanya menerima bayaran balik berjumlah RM250,000 sejak menyiapkan kerja-kerja tersebut. Kelewatan ini dikaitkan dengan pertukaran
kerajaan dan pandemik COVID-19.

 

Memandangkan semua pembayaran untuk pembinaan ini telah ditangguhkan, PKF berpandangan bahawa dengan kelewatan yang berpanjangan, amaun dibawa
bagi penghutang dagangan mungkin terjejas disebabkan jumlah yang boleh diperoleh semula tidak dapat dipastikan.

 

Melihat dari sudut prestasi kewangan, Caely mencatatkan kerugian dalam dua tahun kewangan yang lalu. Bagi tahun kewangan 2021, kerugian bersihnya telah meningkat kepada RM14.28 juta berbanding kerugian bersih RM7.45 juta pada tahun kewangan 2020.

 

Pendapatannya juga merosot iaitu RM57.49 juta pada tahun kewangan 2021 berbanding RM69.46 juta pada tahun sebelumnya.

 

Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad (MSWG) menganggap peristiwa yang berlaku dalam Caely sekali lagi membuktikan bahawa isu akan timbul secara tiba-tiba dan ia berlaku bersilih ganti.

 

"Pemegang saham minoriti perlu mengambil tahu perkembangan sedemikian dan memantau dengan teliti setiap pengumuman yang dibuat oleh syarikat awam tersenarai serta perkembangan lain yang berkaitan," kata CEO MSWG, Devanesan Evanson.- DagangNews.com

 

 

Johardy Ibrahim merupakan Editor DagangNews.com dengan pengalaman dalam bidang kewartawanan selama 30 tahun. Merrepak adalah kolum pojok beliau setiap minggu yang pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 dan menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Meniti Titian Usang oleh SEARCH berulang-ulang kali.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL MERREPAK