Kejuruteraan Asastera terima LOI subkontrak bernilai RM16.7 juta  bagi projek kondominium Bon Kiara | DagangNews.com Skip to main content

Kejuruteraan Asastera terima LOI subkontrak bernilai RM16.7 juta  bagi projek kondominium Bon Kiara

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kejuruteraan Asastera Bhd. memperoleh surat hasrat (LOI) bagi subkontrak bernilai RM16.7 juta untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan perkhidmatan elektrik untuk cadangan projek kondominium Bon Kiara 44 tingkat di Mont Kiara.

 

Ia memperoleh LOI berkenaan daripada Land Marker Sdn. Bhd., anak syarikat Bon Estates Sdn. Bhd.

 

Pengarah Urusan Kejuruteraan Asastera, Datuk Lai Keng Onn berkata, subkontrak terbaharu itu adalah projek utama kedua dengan Bon Estates, selepas menyiapkan kerja-kerja yang sama bagi The Estate di Bangsar South pada 2021.

 

Katanya, ia secara tidak langsung menunjukkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan kami untuk menyampaikan kepakaran kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) berkualiti tinggi untuk pembangunan utama.

 

"Dengan itu, nilai kontrak M&E semasa kami akan meningkat kepada RM260.5 juta, untuk diiktiraf dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

"Kami berharap dapat mengembangkan bahagian M&E kami, dengan merangkumi lebih banyak projek dalam sektor pembinaan dan pembangunan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Skop kerja bagi subkontrak itu melibatkan pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan pemasangan perkhidmatan elektrik dan pelindung kilat penutup cerucuk.

 

Ia akan dijalankan dalam pembangunan Bon Kiara yang menampilkan dua menara kondominium dengan jumlah 410 unit kediaman, tempat letak kereta bertingkat dan tingkat bawah tanah, dan pusat rekreasi.

 

Kejuruteraan Asastera merupakan pemain utama dalam sektor perkhidmatan M&E di Malaysia dengan kepakaran yang terbukti dalam pemasangan elektrik voltan tinggi dan rendah, sistem pengudaraan dan penyaman udara serta perkhidmatan penyelenggaraan.

 

Kumpulan telah melengkapkan projek kediaman bertingkat lain seperti KL Metropolis (NAZA TTDI), Agile Bukit Bintang (Agile Tropicana Development), The Conlay (Kerjaya Prospek) dan Core Residence (Core Precious Development). - DagangNews.com