Kejuruteraan Asastera sasar hasil segmen penyelesaian tenaga mampan meningkat 2 kali ganda bagi FY22 | DagangNews Skip to main content

Kejuruteraan Asastera sasar hasil segmen penyelesaian tenaga mampan meningkat 2 kali ganda bagi FY22

Segmen penyelesaian tenaga mampan membentuk RM6.8 juta atau 3.9% daripada jumlah hasil Kejuruteraan Asastera bagi FY21. - Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Julai - Kejuruteraan Asastera Bhd. (KAB) menyasarkan untuk memperoleh sumbangan hasil yang lebih tinggi menerusi segmen penyelesaian tenaga mampan selepas melengkapkan pengambilalihan loji jana kuasa hidro mini yang pertama di Sumatera Utara, Indonesia.

 

Konsesi bagi loji jana kuasa hidro mini Kombih III itu dijangka menjana pendapatan sekurang-kurangnya sebanyak RM270 juta bagi kumpulan dalam tempoh konsesi selama 20 tahun.

 

Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, dengan adanya loji kuasa hidro, hasil KAB daripada segmen penyelesaian tenaga mampan dijangka meningkat dua kali ganda pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berbanding FY21. 

 

Tambahan pula, katanya, segmen itu kini mempunyai nilai kontrak semasa sebanyak RM480.6 juta.

 

"Kami secara beransur-ansur mengukuhkan segmen ini bagi membina aliran pendapatan berulang kepada kumpulan untuk melengkapkan bahagian kejuruteraan berasaskan projek dan menerajui transformasi kami menjadi pemain penyelesaian tenaga dalam jangka panjang.

 

"Ini selari dengan misi kami untuk menyediakan alternatif yang lebih bersih dan hijau untuk menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih cekap di rantau Asia Tenggara," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Lai Keng Onn
Lai Keng Onn

 

 

KAB hari ini mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, KAB Energy Holdings Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jualan saham dengan Sarawak Cable Bhd. untuk memperoleh keseluruhan modal saham terbitan anak syarikatnya, PT Inpola Mitra Elektrindo (PT IME) untuk pertimbangan pembelian berjumlah RM10,000.

 

PT IME akan dilepaskan daripada semua liabiliti dan bebanan selepas penyelesaian penuh pertimbangan pembelian dan hutang tertunggak sehingga RM75 juta.

 

PT IME telah mereka bentuk, membina, membangunkan dan kini memiliki serta mengendalikan loji jana kuasa hidro mini Kombih III di Sumatera Utara, Indonesia, yang memulakan operasi komersial pada Oktober 2021 dengan kapasiti 11 megawatt. 

 

Pada masa sama, PT IME juga mula membekalkan elektrik kepada syarikat utiliti milik Indonesia, PT Perusahaan Listrik Negara untuk tempoh konsesi selama 20 tahun.

 

Sebelum memperoleh loji jana kuasa hidro mini itu, segmen penyelesaian tenaga mampan KAB memperoleh pendapatannya daripada pelbagai projek tenaga boleh diperbaharui (RE) dan bersih di Malaysia dan Thailand, terdiri daripada sistem fotovoltaik solar, kemudahan penjanaan bersama dan sistem pemulihan sisa kepada haba.

 

Segmen penyelesaian tenaga mampan kumpulan membentuk RM6.8 juta atau 3.9% daripada jumlah hasil KAB bagi FY21. 

 

Sumbangan segmen itu meningkat kepada 7.6% atau RM4 juta untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2022 sahaja, dan dijangka terus meningkat. - DagangNews.com