Kejuruteraan Asastera raih 3 projek solar di Thailand berkapasiti 4,537 kilowatt | DagangNews Skip to main content

Kejuruteraan Asastera raih 3 projek solar di Thailand berkapasiti 4,537 kilowatt

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 18 Nov - Kejuruteraan Asastera Bhd. (KAB) menerusi anak syarikat tidak langsungnya, KAB Gree Solar Thai Co Ltd (KABGST) dan Energy Optimisation (Thailand) Co Ltd (EOT) memperoleh 3 projek sistem solar Grid Connected Photovoltaic (GCPV) dengan anggaran kapasiti agregat 4,537 kilowatt di Thailand. 

 

Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, ketiga-tiga projek tersebut akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan.

 

Katanya, KAB setakat ini memiliki kapasiti terpasang sebanyak 11,534 kilowatt bagi projek solar termasuk 3,912 kilowatt di Thailand.

 

"PPA terbaharu ini akan meningkatkan kapasiti kepada 16,071 kilowatt yang mana Thailand merangkumi 53% atau 8,449 kilowatt daripada jumlah kapasiti terpasang bagi projek solar," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tiga projek terbaharu itu termasuklah perjanjian pembelian tenaga (PPA) antara KABGST dan kumpulan syarikat Aapico (Aapico Ayutthaya) yang terdiri daripada 4 anak syarikat iaitu Aapico Hitech Public Co. Ltd., Aapico Hitech Parts Co. Ltd., Aapico Hitech Tooling Co. Ltd. dan  Able Sanoh Industries (1996) Co. Ltd.

 

Ia membabitkan antara lain untuk membiayai, mereka bentuk, membina, memiliki dan mengendalikan sistem suria GCPV dengan jumlah kapasiti terpasang 3,376 kilowatt untuk loji industri yang dimiliki oleh 4 anak syarikat berkenaan.

 

Pemasangan sistem solar ini akan menjana jumlah penjimatan sehingga 109,924,018 kilowatt-jam bagi penggunaan elektrik. Sistem ini akan membantu mengelakkan pelepasan 70,241 tan karbon dioksida.

 

Sementara itu, bagi EOT pula, ia membabitkan PPA 20 tahun dengan Great Glove (Thailand) Co. Ltd. untuk sistem solar GCPV yang akan dipasang diatas bumbung Kilang (F6) di Phuket, Thailand. 

 

Sistem ini dengan pemasangan kapasiti 610 kilowatt dijangka menjana jumlah penjimatan sebanyak 20,087,438 kilowatt-jam penggunaan elektrik. Malah, sistem solar ini akan membantu mengelakkan 12,836 tan pelepasan karbon dioksida.

 

Satu lagi projek diraih KAB ialah PPA 20 tahun antara KABGST dan Volcano Tec Thailand Co. Ltd. membabitkan pemasangan kapasiti 551 kilowatt sistem solar GCPV. 

 

Pembangunan projek sistem solar ini akan menjimatkan penggunaan elektrik sebanyak 17,206,292 kilowatt dan membantu mengelakkan pelepasan 11,941 tan karbon dioksida.

 

Jumlah penjimatan dan pengurangan karbon dioksida untuk ketiga-tiga projek tersebut dikira selama 25 tahun, iaitu purata jangka hayat panel solar.

 

Pembinaan sistem solar untuk Aapico Ayutthaya dan Volcano Tec dijangka bermula dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh permit pembinaan diluluskan. 
 

Projek Great Glove pula dijangka siap dalam tempoh 10 bulan dari tarikh PPA.

 

Keng Onn berkata, kumpulan akan terus meningkatkan kapasiti tender dalam segmen tenaga diperbaharui di rantau Asia Tenggara, memandangkan ruang yang mencukupi dalam pertumbuhan sektor ini. 

 

"Ini terutamanya di Thailand, kerajaan tempatan berikrar untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui kepada 35% menjelang 2037," katanya. - DagangNews.com