Kejuruteraan Asastera cadang ambil alih loji jana kuasa hidro mini di Indonesia | DagangNews Skip to main content

Kejuruteraan Asastera cadang ambil alih loji jana kuasa hidro mini di Indonesia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Jan - Penyedia perkhidmatan kejuruteraan elektrik dan mekanikal, Kejuruteraan Asastera Bhd. (KAB) bersedia untuk mengambil alih loji jana kuasa hidro mini yang terletak di Sumatera Utara, Indonesia.

 

Ini menyaksikan KAB menerusi anak syarikat milik penuhnya, KAB Energy Holdings Sdn. Bhd. (KABEH) memeterai perjanjian lembaran terma dengan Sarawak Cable Bhd. (SCB) untuk memperoleh keseluruhan terbitan saham modal dalam PT Inpola Mitra Elektrindo (PT IME) dengan pertimbangan pembelian sebanyak RM10,000. 

 

"Pengambilalihan KABEH ini hendaklah bebas daripada semua bebanan. Malah, PT IME juga akan dilepaskan daripada semua liabiliti dan bebanan selepas penyelesaian penuh pertimbangan pembelian dan hutang tertunggak sehingga RM61.5 juta," jelasnya dalam kenyataan hari ini.

 

Sebagai sebahagian daripada perjanjian, KABEH perlu melaksanakan proses usaha wajar yang dijangka selesai dalam tempoh 3 bulan daripada tarikh pelaksanaan perjanjian lembaran terma.

 

Secara dasarnya, PT IME yang juga anak syarikat SCB, mereka bentuk, membina, membangunkan dan mengendalikan operasi loji jana kuasa mini hidro dikenali Kombih III, yang terletak di Sungai Kombih, Sumatera Utara.

 

PT IME mempunyai perjanjian pembelian kuasa sedia ada untuk membekalkan elektrik kepada PT Perusahaan Listrik Negara, syarikat utiliti milik kerajaan di Indonesia, untuk tempoh konsesi selama 20 tahun. 

 

Kombih III mempunyai kapasiti terpasang sebanyak 11 megawatt dan mencapai operasi komersial pada 12 Oktober 2021.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, pengambilalihan itu merupakan penyertaan pertama kumpulan dalam pasaran di Indonesia dan juga sektor tenaga hidro. 

 

Katanya, cadangan pengambilalihan PT IME dilihat sejajar dengan hala tuju kumpulan untuk mengembangkan aliran pendapatan dan meletakkan kedudukan yang kukuh dalam perniagaan penyelesaian tenaga hijau terutamanya sektor tenaga boleh diperbaharui (RE). 

 

"Memandangkan aset kuasa hidro diketahui memperoleh margin yang lebih tinggi, kami yakin langkah ini akan menghasilkan pulangan yang sangat menguntungkan, seterusnya memberikan pendapatan berulang yang stabil dan mampan dalam jangka panjang kepada KAB untuk tempoh 20 tahun akan datang.

 

"Apabila pengambilalihan ini selesai, aset ini dijangka menyumbang sekurang-kurangnya sebanyak RM270 juta kepada hasil kumpulan sepanjang tempoh konsesi," jelasnya.

 

Menurut beliau, kumpulan akan terus mengembangkan kedudukan di rantau ASEAN termasuk Malaysia dengan meneroka peluang dalam projek RE. - DagangNews.com