Kasihannya golongan M40 | DagangNews Skip to main content

Kasihannya golongan M40

SEORANG bapa yang bekerja di sektor swasta melahirkan rasa kecewa bila mendapat berita anaknya telah didenda RM50 oleh pengawal keselamatan UiTM. Kesalahan: Memakai selipar! Di mana kesalahan dilakukan? Ketika anaknya di dalam kereta!

Sampai begitu sekali ketatnya pengawal keselamatan UiTM hendak menjaga disiplin? Dahsyat. Dalam kereta yang bergerak di dalam kampus. Macam CIA! Aspek disiplin si bapa ini tidak pertikai. Itu hak polis kampus untuk laksanakan. Cuma, diharap jangan lebih kuah daripada sudu, kerana ia akan menganiaya pelajar.

Sebaliknya, isu besar di sini ialah denda RM50. Bagi sesetengah orang, ia mungkin nilai kecil. Tetapi ramai tahu, bagi seorang pelajar RM50 itu bersamaan dengan sekurang-kurangnya dua hari duit makan. Denda tidak letak kupon letak kereta pun hanya RM10 oleh majlis kerajaan tempatan. Denda RM50 UiTM ini adalah memeritkan. Mengapa polis kampus boleh mendenda semahal RM50, hanya Rektor UiTM boleh perjelaskan.

Dalam suasana ekonomi negara yang tidak menentu dan harga barangan semakin meningkat, pihak UiTM sewajarnya lebih berjiwa rakyat ketika menguatkuasakan disiplin dalam kalangan pelajar. Tengok apa kesalahan. Boleh denda, tetapi RM50 adalah melampau dan hanya mencetuskan perasaan dizalimi. Pak Guard sekalian yang dihormati, laksanakan tugas anda tetapi bertimbang rasalah dari segi jumlah denda. Tidak semua ibu bapa kaya-raya.

Perkara di atas adalah kejadian benar dan merupakan satu daripada isu yang membelenggu rakyat sekarang ini. Selalunya orang politik mengalunkan tema rintihan rakyat marhaen sebagai intipati ucapan tetapi tindakan mengatasinya, tidak seberapa.

Apa yang dirasai sekarang segala-galanya makin meningkat kos kehidupan. Apakah kerana mereka terlalu asyik berpolitik berbanding bekerja betul-betul demi rakyat? Anda ada jawapannya.

Merrepak hari ini juga membentangkan fakta kesan daripada ekonomi negara terhadap golongan pertengahan terutama di bandar:

1. Tiada dalam Bajet negara

Dari kerajaan BN hingga PH sekarang, perhatian diberikan kepada golongan miskin B40 berpendapatan bawah RM3,000. Tidak mengapa. Tetapi golongan pertengahan M40 sudah terbiasa diabaikan daripada menerima apa-apa laba dalam Belanjawan negara. Tiada insentif istimewa, apa lagi pemotongan cukai diumumkan.

2. Pertama terkena impak

Secara umumnya, golongan pertengahan diklasifikasikan sebagai berpendapatan antara RM6,000 ke atas sebulan yang mewakili 40 peratus penduduk negara ini (sama dengan komposisi B40). Bila sesuatu dasar kewangan diumumkan, kumpulan M40 yang terkena impak, lebih-lebih lagi yang tinggal di bandar besar yang kosnya sangat tinggi.

3. Buat dua kerja

Tanyalah sahabat sekeliling anda. Kemungkinan ada yang akan mengaku selain bekerja pejabat, turut melakukan perniagaan untuk menampung kos kehidupan sekeluarga. Ada yang membawa teksi, menjadi tukang hantar makanan atau apa sahaja yang boleh membawa duit tambahan.

4. Pertama beratur di stesen minyak

Sejak seminggu ini, kerajaan sudah kembali kepada kaedah penetapan harga mingguan, yang dulunya jadi bahan kritikan mereka terhadap kerajaan terdahulu. Kelakar juga waktu dulu bila dapat tahu sahaja harga hendak naik, kereta berbaris panjang untuk mengisi minyak. Sekarang ramai naik motosikal ke tempat kerja. Kurang sikit stres.

5. Pesta jualan

Di kala kos hidup mahal, anda kena jadi pembeli bijak sebab nilai duit semakin mengecil. Jadi kena rajin membelek iklan jika ada jualan. Uniknya di Malaysia, hampir setiap bulan ada raya. Orang berniaga pun guna tema raya untuk adakan ‘jualan murah’. Ini pun kena bijak. Beli mana yang perlu sahaja.

6. Lantang bersuara

Benarkah M40 paling lantang? Mungkin. Sebab mereka paling aktif di dalam media sosial. Maka itu, suara mereka boleh didengar sejauh Pulau Sipadan. Soalnya, lantang bagaimana sekali pun, apakah suara mereka ini diambil tindakan atau dibiarkan berlalu saja?

7. Tol tidak naik

Gembira tidak terkata bila kerajaan umumkan kadar tol tidak berubah tahun ini. Orang Pulau Pinang lagi gembira sebab tol ditiadakan, waima hanya untuk motosikal. Di Kuala Lumpur, motosikal sudah lama percuma di lebuh raya. Tiada yang hendak girang sangat.

8. Bernyawa Internet

Orang bandar M40 rasa setengah mati balik kampung yang tiada jalur lebar. Kerana jalur lebar sudah meluas di bandar-bandar dan sewajarnya harga caj bulanan diturunkan, bukan harga rendah sekadar untuk langganan baharu.

9. Motosikal utama

Kumpulan M40 ini ada kereta, ada motosikal. Kereta untuk angkut anak, bini dan mentua. Motosikal, kenderaan rasmi ke pejabat. Bila hujan, duduk bawah jejambat. Tidak apa. Asalkan tidak perlu bayar tol, minyak bulanan bawah RM150, apalah setakat basah dek hujan.

10. Gemar komedi slapstik

Di Jepun dan Korea banyak program televisyen lawak slapstik. Mulanya hendak pandang sinis sebab lawak slapstik ini sepatutnya old school. Tetapi dengan kos hidup tinggi dan tekanan, lawak sebegini semakin mendapat perhatian di negara ini. Sebabnya, lawak jenis ini mudah mencetuskan ketawa, mudah untuk kita release tension.