Kaji pindaan hukuman cubaan bunuh diri | DagangNews Skip to main content

Kaji pindaan hukuman cubaan bunuh diri

Oleh MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
 

 



Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober 2021, ABIM memandang berat terhadap kedudukan kesihatan mental masyarakat Malaysia terutama Ketika keadaan kita dalam fasa yang sedang mengalami kesan langsung dari penularan wabak COVID-19.

 

Ini termasuk rujukan terhadap situasi kes bunuh diri, di mana berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertarikh 1 Julai 2021, secara keseluruhan statistik bunuh diri di Malaysia telah menjangkau angka 1,000 dari tahun 2019 hingga Mei 2021 serta menyaksikan purata kes bunuh diri 2 kali sehari.


 

 

ABIM menilai statistik ini adalah antara gambaran utama keparahan penyakit mental dalam masyarakat yang perlu untuk diselesaikan secara tuntas dan bersama atas tanggungjawab kita sebagai sebuah masyarakat.




 

Ini termasuklah, usaha untuk membimbing mereka yang didapati terlibat dalam kes cubaan bunuh diri menerusi pentas nasihat dan kaunseling berasaskan kaedah- kaedah rawatan kesihatan mental, dan bukan menjatuhkan hukuman ke atas mereka seperti yang termaktub dalam Seksyen 309 Kanun Keseksaan [Akta574].




 

ABIM menegaskan kes cubaan membunuh diri ini pada kebiasaannya didorong oleh tekanan sehingga menyebabkan seseorang itu menghadapi kemurungan melampau. Justeru, meletakkan hukuman semata-mata tanpa menyelami permasalahan sebenar yang dihadapi dikhuatiri memburukkan lagi tekanan kepada individu sebegini.




 

Dalam masa sama, peningkatan kes bunuh diri yang berterusan meningkat menjelaskan peruntukan undang-undang ini gagal menyelesaikan masalah, maka ia menuntut satu perubahan mekanisme tangani permasalahan ini dengan pemindahan tanggungjawab untuk pengawalan kes ini dari neraca pengadilan jenayah kepada bidang kuasa perubatan bagi mewujudkan jalan penyelesaian kawalan yang lebih berkesan.




 

ABIM juga merujuk negara-negara yang menjadi sumber Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu United Kingdom telah melakukan perubahan kepada peruntukan undang-undang ini menerusi Suicide Act 1961.


 

 

Selain itu, India sendiri telah melakukan perubahan ke atas peruntukan undang- undang ini dengan memperkenalkan Mental Healthcare Act 2017 yang di mana Seksyen 115 Akta berkenaan menyatakan —(1) Notwithstanding anything contained in section 309 of the Indian Penal Code (45 of 1860) any person who attempts to commit suicide shall be presumed, unless proved otherwise, to have severe stress and shall not be tried and punished under the said Code. - DagangNews.com

 



Muhammad Faisal Abdul Aziz adalah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)