Kabinet Sarawak: Wakil Cina kembali! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 8 January 2022

KABINET SARAWAK: WAKIL CINA KEMBALI!

Sin Chew Jit Poh/ Nanyang Siang Pao 3-7 Jan 2022

 

 

 

PILIHAN RAYA Negeri Sarawak ke-12 (PRN12), menyaksikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencapai kemenangan besar dengan memenangi 76 kerusi.

 

Keputusan kali ini sedikit mengejutkan kerana Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang diramalkan berdepan dengan kesukaran meraih undi Cina, kini kembali menduduki “tempat kedua” dalam GPS.

 

Seperti dijangkakan, prestasi baik SUPP telah membuka ruang kepada presidennya, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri (TKM) selain beliau turut memegang portfolio Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

 

Kali terakhir wakil kaum Cina dilantik sebagai TKM ialah Tan Sr Dr George Chan Hong Nam iaitu dari tahun 1992 hingga 2011.

 

Sebelum pilihan raya negeri 2006, SUPP merupakan parti kedua terbesar dan terkuat di Sarawak selepas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

 

Bagaimanapun, tsunami politik Cina membuatkan SUPP hampir terkubur terus dan kerusi majoriti Cina di bandar yang menjadi kubu kuatnya jatuh ke tangan DAP.

 


 

Dr Sim Kui Hian
Dr Sim Kui Hian, presiden SUPP yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak menerima hadiah jersi kelab ternama Liverpool FC.

 


Bukan itu sahaja, presiden parti pada masa itu Tan Sri Dr George Chan Hong Nam tewas di kerusi DUN Piasau dalam pilihan raya negeri 2011. Kekalahan teruk SUPP telah menyebabkan parti itu kehilangan jawatan Timbalan Ketua Menteri.

 

Selepas 10 tahun Sarawak dibelenggu tsunami politik Cina, kekuatan parti pemerintah kembali ke titik asal. Jelas sekali, mereka tidak sia-siakan perjalanan politik selama 10 tahun ini.

 

SUPP khususnya bangkit dari kekalahan dan belajar dari keperitan, terus berjuang dan mencari jalan untuk meraih semula sokongan kaum Cina.

 

Usaha gigih SUPP akhirnya membuahkan hasil, DAP tidak boleh lagi bermegah dan prestasi buruk PRN12 memaksa mereka tunduk merendah diri mengakui kesilapan dan memohon maaf atas kegagalan memenuhi permintaan rakyat sepanjang 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH). 


 

dap

 


Kini, jawatan TKM yang hilang 10 tahun dulu telah kembali semula ke tangan SUPP.

 

Sudah tentu bagi masyarakat Cina , harapan besar mereka adalah untuk melihat calon yang dipilih itu boleh memainkan peranan penting di dalam kabinet, berani membuat keputusan dan berjuang untuk kesejahteraan rakyat.

 

Dan paling utama sekali kaum Cina berharap Dr Sim mampu membantu memulihkan ekonomi selepas pandemik COVID-19 dan membawa penambahbaikan dalam bidang yang lain.

 

Persoalannya, adakah sokongan kaum Cina benar-benar kembali semula kepada SUPP dan kerajaan yang memerintah? Ternyata, kaum Cina memerlukan pemimpin yang boleh bertindak selantang suaranya, dan bukan hanya tahu bercakap tanpa tindakan. 

 

Sarawak telah menyaksikan pertukaran Ketua Menteri sepanjang 10 tahun, sepanjang tempoh tersebut kedudukan kaum Cina dan Bumiputera juga semakin mendapat pengiktirafan.

 

Tiada lagi istilah “pendatang” dilabelkan terhadap kaum Cina dan keharmonian semua etnik di Sarawak patut dipuji dan dicontohi.


 

apa

 


Selain itu, kerajaan Sarawak juga telah memberi pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), mengambil penjawat awam dari kalangan bekas pelajar UEC, memberi peruntukan secara adil dan sistematik kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan mengiktiraf sumbangan sekolah Cina kepada negara.

 

Keterbukaan kerajaan negeri sedikit sebanyak diterima oleh masyarakat Cina dan menjadi salah satu faktor undi Cina “kembali semula” kepada parti yang memerintah.

 

10 tahun sudah berlalu, landskap politik juga telah berubah. Rakyat Sarawak menggunakan undi untuk memilih “ahli politik” yang boleh dipercayai dan berkaliber untuk memimpin.

 

Rakyat Sarawak kini lebih komited untuk memastikan masyarakat berbilang etnik ini dapat hidup harmoni selain terus memperjuangkan hak negeri itu.


 

UPM

 


Rakyat semakin bijak menggunakan undi untuk berkata “tidak” kepada dasar yang tidak adil, menerusi undi juga untuk menyampaikan kuasa suara mereka jangan sesekali diabaikan.

 

Oleh itu, ahli politik yang menang tidak seharusnya tenggelam dalam kegembiraan. Tugas utama mereka adalah memasuki kawasan untuk berkhidmat dengan ikhlas dan menunaikan janji kempen mereka. 

 

Begitu juga dengan barisan Kabinet yang dipilih perlu mula bekerja keras khususnya dalam memerangi ancaman pandemik yang tiada kesudahan, selain kemelut ekonomi dan isu berkaitan dengan rakyat. - DagangNews.com

 

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao minggu 3 Januari 2022 hingga 7 Januari 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags