Jepun mahu tindakan dikenakan terhadap TikTok | DagangNews Skip to main content

Jepun mahu tindakan dikenakan terhadap TikTok

 

TOKYO 30 Julai  - Ahli-ahli Parlimen daripada parti pemerintah Jepun, Parti Liberal Demokratik memutuskan untuk mendesak diambil langkah mengekang penggunaan aplikasi video TikTok milik entiti China, ekoran kebimbangan data pengguna boleh jatuh ke tangan kerajaan China.

Sekumpulan penggubal undang-undang diketuai bekas menteri ekonomi, Akira Amari mencapai keputusan tersebut di dalam mesyuarat kelmarin dan merancang untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan seawal September ini, lapor stesen NHK.

TikTok, milik Beijing ByteDance Technology Co, kini berdepan siasatan Amerika Syarikat berikutan kebimbangan kerajaan China boleh memaksa syarikat itu menyerahkan data penggunanya.

 

tik

 

Ketua Staf White House, Mark Meadows berkata, tindakan sememangnya bakal diambil bagi menangani risiko keselamatan negara yang dicetuskan oleh TikTok.

TikTok telah mengeluarkan kenyataan bahawa syarikat itu tidak pernah memberikan data penggunannya kepada kerajaan China dan tidak akan berbuat demikian, sekali pun diminta.

Aplikasi popular itu turut disiasat di Australia atas kemungkinan risiko melanggar privasi data manakala di India, ia telah diharamkan pada Jun lalu, bersama dengan 58 aplikasi berasal dari China yang dianggap mengancam keselamatan negara. – DagangNews.com