Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia terus dibanjiri ribuan pengunjung sekitar Perak | DagangNews Skip to main content

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia terus dibanjiri ribuan pengunjung sekitar Perak

Para pengunjung berpusu-pusu mengunjungi pameran pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi kelima di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah.
oleh ZAKI SALLEH

PASIR SALAK 2 Julai - Hari kedua Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi kelima di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah di sini terus dibanjiri pengunjung yang ingin mendapatkan pelbagai maklumat dan perkhidmatan kementerian dan agensi kerajaan yang turut serta. 

 

Seawal pukul 9 pagi lagi jalan menuju ke  Litar Dato’ Sagor dari arah Kampung Gajah sesak dengan kenderaan pengunjung termasuk bas-bas sekolah.


 

AKM
Jalan menuju ke AKM di Litar Dato’ Sagor dari arah Kampung Gajah sesak dengan kenderaan pengunjung termasuk bas-bas sekolah.

 

 

AKM kali ini juga unik apabila diadakan di kawasan luar bandar berbanding empat negeri sebelumnya dengan sasaran 30,000 pengunjung hadir sepanjang program tiga hari ini berlangsung.

 

Petugas ruang pameran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) antara yang tidak menang tangan melayan pelbagai pertanyaan pengunjung yang ingin tahu tentang peluang-peluang melanjutkan pelajaran.

 

Bukan sahaja pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan para belia, malah juga dalam kalangan pelajar sekolah yang tidak melepaskan peluang hadir.

 

Amalin Farhana Zubir, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Raja Dr. Nazrin Shah (SARJANA), Kampung Gajah mengambil peluang berkunjung ke program tersebut apabila mengetahui pihak KPT turut serta.

 

Katanya, dia yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang keagamaan ingin mengetahui lebih lanjut tentang program-program yang ditawarkan di universiti tempatan serta pembiayaan. 

 

"Saya sangat berpuas hati dengan layanan yang diberikan kerana segala pertanyaan dijawab dengan jelas oleh petugas-petugas.

 

"Pada rakan-rakan pelajar di luar sana, jangan lepaskan peluang hadir ke AKM kerana banyak maklumat kita boleh perolehi secara langsung menerusi wakil -wakil institusi pengajian tinggi yang hadir," ujarnya kepada DagangNews.com.


 

AKM
Amalin Farhana (kiri) dan Nor Adlina hadir pada AKM untuk mendapatkan maklumat tentang peluang pengajian selepas tamat SPM.

 


Pandangan serupa diberikan rakannya, Nor Adlina Ahmad Rishahuddin, 16, yang sedang memilih bidang pengajian bersesuaian selepas tamat SPM nanti.

 

"Saya belum tahu lagi apa bidang yang ingin diterokai selepas SPM, tapi antara yang nampak menarik ialah wartawan atau media. Saya akan dapatkan maklumat lanjut tentang pengajian tersebut," ujarnya.

 

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Mohamad Fairul Mohamad Hatim memberitahu, ruang pameran KPT menggabungkan pelbagai agensi dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

 

"Kita membawakan pihak Unit Pusat Universiti (UPU) tentang pengambilan pelajar ke IPTA dan MQA iaitu untuk menyemak status akreditasi sesuatu program pengajian.


 

Mohamad Fairul Mohamad Hatim
                          Mohamad Fairul Mohamad Hatim

 


"Begitu juga Accreditation of Prior Experiential Learning atau APEL iaitu pembelajaran berasaskan pembelajaran terdahulu selain Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menawarkan promosi menarik. 

 

"Kita juga ada politeknik dan kolej komuniti yang setiap hari membuat program berasingan seperti demonstrasi pelajar mereka selain pihak Universiti Teknologi Mara dan Universiti Pendidikan Sultan Idris," ujarnya.

 

Turut hadir ialah pihak Bahagian Biasiswa KPT iaitu tentang penajaan pengajian tinggi. - DagangNews.com