Jelajah AKM bukti idea Keluarga Malaysia bukan sekadar retorik | DagangNews Skip to main content

Jelajah AKM bukti idea Keluarga Malaysia bukan sekadar retorik

Jelajah AKM peringkat negeri Perak membuka tirai sejak Jumaat dengan lebih 30,000 pengunjung dijangka hadir.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

PASIR SALAK 3 Julai - Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) terbukti memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia kerana mereka berpeluang menyalur sebarang maklum balas yang boleh membantu menambah baik perkhidmatan kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia juga membuktikan bahawa idea Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan hari ini bukan sekadar retorik atau slogan semata-mata, tetapi kepentingan dan kesejahteraan rakyat terus dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.

 

Jelasnya, Keluarga Malaysia bermatlamat untuk memastikan ahli keluarga besar yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, hidup dalam suasana yang mesra dan harmoni sambil berkongsi tiga nilai utama iaitu  ‘Keterangkuman’, ‘Kebersamaan’ dan ‘Kesyukuran’.

 

"Saya memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia sejak Ogos tahun lepas dengan matlamat agar rakyat yang berbilang kaum dan agama dapat terus mengamalkan hidup bersatu-padu seperti dalam satu keluarga besar.

 

"Konsep  dan pendekatan Keluarga Malaysia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dihadam kerana ia sebenarnya berlandaskan nilai-nilai sedia ada yang kita miliki dalam sebuah keluarga," katanya.

 

 

Perdana Menteri
Ismail Sabri Yaakob

 

 

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis penutupan program Jelajah AKM edisi ke-5 Peringkat Negeri Perak, hari ini. 

 

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

 

Jelajah AKM peringkat negeri Perak membuka tirai sejak Jumaat dengan lebih 30,000 pengunjung dijangka menghadiri program yang dijadual berakhir pukul 6 petang hari ini.

 

Program itu sebelum ini telah diadakan di Johor, Perlis, Sabah dan Terengganu dan sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada Keluarga Malaysia.

 

Menurut Ismail Sabri, sebagai kerajaan, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk sentiasa menyuburkan semangat perpaduan, menyuntik nafas segar dalam kesatuan, mencari titik persamaan dalam kepelbagaian.

 

Malah, katanya, kerajaan hari ini juga bekerja dalam semangat Keluarga Malaysia, akan terus konsisten memberikan tumpuan kepada program serta inisiatif yang melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia. 

 

"Ini dilakukan bagi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan atau no one will be left behind," tambahnya.

 

Beliau juga berkata, konsep Keluarga Malaysia ini juga selari dengan konsep ‘tasamuh’ dalam Islam yang menekankan nilai toleransi dan kebersamaan yang menjadikan masyarakat di negara menghargai dan memahami nilai perbezaan. 

 

"Dengan tasamuh juga, Keluarga Malaysia akan lebih menghargai perbezaan antara sesama manusia dalam batas-batas yang digariskan oleh agama Islam," katanya. - DagangNews.com