Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen harus libatkan semua pihak dalam merangka rang undang-undang tembakau | DagangNews Skip to main content

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen harus libatkan semua pihak dalam merangka rang undang-undang tembakau

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengkaji semula Rang Undang-Undang (RUU) Hasil Tembakau dan Kawalan Merokok, dengan melibatkan pihak berkepentingan termasuk pengguna sebagai sebahagian daripada proses semakan.

 

Malaysian Vapers Alliance (MVA), kumpulan advokasi pengguna vape tempatan yang membuat gesaan itu berkata, adalah penting bagi PSSC untuk mendekati semua pihak termasuk NGO, pengguna dan perniagaan runcit daripada industri dan bukannya hanya mendengar pandangan berat sebelah daripada kumpulan anti-vape.

 

Ini adalah untuk memastikan proses semakan adalah inklusif dan mengambil kira maklum balas daripada semua pihak.

 

Pada sidang Parlimen lalu, RUU itu telah dirujuk kepada PSSC yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk diperhalusi. Rang undang-undang itu juga termasuk dasar generasi penamat (GEG), yang akan melarang penggunaan dan penjualan rokok dan produk vape untuk mereka yang lahir selepas 2007, untuk seumur hidup.

 

Presiden Malaysian Vapers Alliance, Khairil Azizi Khairuddin berkata “Rang Undang-Undang ini akan memberi kesan pada pelbagai lapisan komuniti daripada perniagaan sehinggalah kepada pengguna.

 

"Sudah sebulan sejak Rang Undang-undang itu dirujuk kepada PSSC, namun kami tidak melihat PSSC mengambil inisiatif untuk menjemput pemain industri dan NGO untuk berunding. Kami menggesa PSSC untuk tidak membuat sebarang keputusan tanpa mengadakan sebarang sesi rundingan.”

 

“Tambahan pula, baru-baru ini telah diumumkan bahawa sidang parlimen akan datang telah dipercepatkan dan ini tempoh masa menjadi singkat untuk semakan menyeluruh dilakukan terhadap Rang Undang-undang serta mengambil input daripada pelbagai pihak.


 

Khairil Azizi Khairuddin
                  Khairil Azizi Khairuddin

 


"Sebagai perbandingan, undang-undang anti-lompat yang diluluskan baru-baru ini telah melalui rundingan dan perbincangan yang mengambil masa berbulan-bulan dengan mengambil kira input daripada pelbagai pihak.

 

"Oleh yang demikian, MVA menggesa PSSC mengambil masa untuk mengadakan sesi perundingan dan perbincangan dengan pelbagai pihak dan bukannya tergesa-gesa untuk membentakan RUU itu semula pada sesi Parlimen akan datang.”

 

Menurut MVA, salah satu perkara yang menjadi pertikaian ialah RUU tersebut mengawal tembakau dan vape dengan undang-undang dan larangan yang sama. Rang Undang-undang itu juga mentakrifkan penggunaan produk vape sebagai merokok dan produk vape dikategorikan sebagai bahan merokok dan peranti merokok.

 

"Ini adalah salah. Produk vape dan produk tembakau tidak sama dan penggunaan produk ini sama sekali berbeza. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia tidak menyamakan produk ini sebagai sama.

 

"Rang Undang-undang ini menghantar mesej yang sangat salah kepada orang ramai terutamanya kepada 1.2 juta vaper semasa di Malaysia.

 

“Selain itu, fakta dan sains yang disokong oleh institusi kesihatan awam antarabangsa juga telah mengakui tahap kemudaratan produk vape jauh lebih rendah berbanding rokok. Oleh itu, Rang Undang-undang itu tidak seharusnya berusaha untuk mengawal produk vape dengan cara yang sama seperti rokok.”

 

“Dengan mengawal selia vape dan rokok dengan cara yang sama, termasuk mengenakan larangan GEG terhadap vape, secara ironisnya telah mengabaikan prinsip pengurangan kemudaratan dan ini boleh menghalang lebih ramai perokok daripada beralih kepada produk yang kurang memudaratkan dan memaksa pengguna vape semasa untuk kembali kepada tabiat merokok.”

 

“Di Malaysia, vape telah mengubah kehidupan ramai perokok menjadi lebih baik. Kajian tempatan terkini juga mendapati ramai perokok menggunakan vape untuk berhenti atau mengurangkan rokok dan ini adalah fakta yang tidak boleh diabaikan.”


 

parafrasa

 

Kajian tempatan "Sebab penggunaan e-rokok dan sokongan untuk peraturan e-rokok: Penemuan daripada Tinjauan ITC Malaysia 2020 (Mac 2022)" oleh Projek ITC Malaysia yang diterbitkan pada Mac 2022 dan dibiayai oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Universiti Malaya, mendapati bahawa sebanyak 17% perokok menggunakan produk vape di Malaysia di mana punca utama perokok menggunakan produk vape adalah untuk mengurangkan bilangan rokok yang dihisap (91.3%) dan berhenti merokok (87.9%).

 

Kajian itu juga mengatakan penemuan ini konsisten dengan kajian lepas dari AS, Kanada, England, dan Australia mengenai sebab utama perokok rokok menggunakan produk vape.

 

“Produk vape boleh mengubah kehidupan perokok jika Kerajaan memperkenalkan langkah-langkah yang mengakui produk yang kurang memudaratkan seperti vape dan kategorikanya  secara berbeza daripada rokok,” akhir Khairil.

 

The Malaysian Vapers Alliance (MVA) adalah kumpulan advokasi tidak berkeuntungan yang memperjuangkan penggunaan produk vape untuk membantu perokok berhenti merokok. Usaha MVA didedikasikan untuk memperkasakan pengguna dan mewakili kepentingan mereka dalam pelbagai arena perundangan, penggubalan dasar dan penggubalan peraturan. - DagangNews.com