Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Anekdot Mawarith - 21 March 2022

Wasiyyah

Jangan naik ‘KERETA SAPU’ dalam perancangan harta

 

 

 

Tajuk hari ini mungkin pelik sikit. Tetapi itulah analogi yang ingin saya berikan kepada pembaca.

 

Saya mendapat soalan kenapa penting untuk masyarakat merancang harta melalui syarikat amanah.

 

Perbandingan yang diberikan ialah perkhidmatan syarikat amanah dengan syarikat sendirian berhad biasa yang juga bergiat di dalam industri yang sama.

 

Saya pernah beberapa kali menjelaskan isu ini tapi nampaknya masih berlaku kekeliruan.

 

Saya pun sebenarnya tidaklah  menyalahkan masyarakat kerana kurang faham perkara ini kerana memang di Malaysia syarikat amanah berdaftar yang membantu menguruskan perancangan harta dan pengurusan pusaka tidak banyak.

 

Saya juga akui dalam kalangan syarikat amanah sendiri tidak banyak usaha yang diambil untuk mengarusperdanakan perkhidmatan pengamanahan dan memberi pendidikan berterusan yang menyebabkan masyarakat tidak faham mengenai kepentingan perancangan harta melalui syarikat amanah.

 

Sebenarnya adalah sangat penting untuk masyarakat menggunakan perkhidmatan syarikat amanah berdaftar seperti Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Untuk beberapa artikel yang akan datang saya akan fokus kepada penjelasan isu ini kerana ia sangat penting difahami.  

 

 

Wasiyyah

 

 

Isu pertama dan yang paling penting yang mesti masyarakat fahami ialah isu BIDANG KUASA.

 

Dari segi penubuhan dan operasinya, Wasiyyah Shoppe Berhad juga tertakluk kepada Akta Syarikat 2016 sama seperti syarikat sendirian berhad biasa.

 

Namun sebagai syarikat amanah,  Wasiyyah Shoppe Berhad juga beroperasi di bawah satu akta tambahan iaitu Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100 ) dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

Lesen syarikat amanah dikeluarkan khusus kepada syarikat yang telah memenuhi semua syarat dan proses yang ditetapkan. Saya akan hurai proses mendapatkan lesen syarikat amanah ini di dalam artikel yang akan datang.

 

Semua syarikat yang ditubuhkan di Malaysia mesti mempunyai Perlembagaan (Constitution). Di dalam Perlembagaan itu ditulis secara nyata apakah objektif syarikat itu.

 

Bagi Wasiyyah Shoppe Berhad, objektif kami adalah untuk menjalankan operasi yang selaras dan berkaitan dengan peruntukan di dalam akta ini.

 

Melalui akta ini, Wasiyyah Shoppe Berhad mempunyai bidang kuasa khusus untuk bertindak sebagai wasi, pentadbir harta pusaka. pemegang amanah untuk memegang secara amanah harta alih atau harta tidak alih, wakil bagi pihak tidak cukup umur atau tidak waras akal fikiran, likuidator (penyelesai), ejen atau apa sahaja tanggungjawab yang dilantik oleh masyarakat dan selari dengan peruntukan Akta Syarikat Amanah 1949.  

 

Masyarakat boleh menyerahkan harta mereka sama ada alih atau tidak alih untuk Wasiyyah Shoppe Berhad pegang sebagai pemegang amanah bagi pihak benefisiari (penerima manfaat ) seperti yang mereka tetapkan.

 

Melalui arahan di dalam Surat Ikatan Amanah, Wasiyyah Shoppe Berhad akan menguruskan harta itu mengikut arahan pelanggan.  

 

 

Wasiyyah

 

 

Contohnya, Ali mengarahkan supaya wang pelaburannya di ASNB yang telah diberi kuasa kepada Wasiyyah Shoppe Berhad, diagihkan kepada anak-anaknya secara sama rata selepas kematiannya.

 

Sebelum agihan, Ali mengarahkan Wasiyyah Shoppe Berhad supaya membayarkan hutang-hutangnya terlebih dahulu (jika ada), membayar kepada ibubapanya sejumlah wang (jika ibu bapa masih hidup)  dan sebahagiannya disedekahkan kepada rumah anak yatim.

 

Jika pada waktu kematiannya, Ali masih mempunyai anak di bawah umur 18 tahun, Ali mengarahkan pula supaya Wasiyyah Shoppe Berhad berunding dengan penjaga harta anaknya itu  untuk menyalurkan wang sara diri bulanan pada jumlah yang bersesuaian.

 

Sebagai syarikat amanah yang terikat kepada Akta Syarikat Amanah 1949, inilah  arahan yang akan  dilaksanakan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad kerana ia jatuh di dalam satu daripada bidang kuasa kami iaitu bertindak sebagai pemegang amanah.

 

Tidak mematuhi arahan atau gagal melaksanakan tanggungjawab yang diberikan Ali akan membawa implikasi undang-undang yang besar kepada Lembaga Pengarah dan pengurusan Wasiyyah Shoppe Berhad.   

 

Situasi ini berbeza dengan syarikat sdn bhd kerana mereka tidak mempunyai bidang kuasa ini. Objektif penubuhan syarikat sdn bhd juga boleh jadi apa sahaja.

 

Mereka boleh menyatakan di dalam Perlembagaan syarikat apa sahaja bentuk perniagaan yang ingin dijalankan seperti perkilangan, perlombongan, pembalakan, perniagaan runcit atau apa sahaja perniagaan di luar sana termasuklah membantu masyarakat membuat dokumen perancangan harta.

 

Ada syarikat sdn bhd yang saya temui objektif perniagaannya di dalam Perlembagaan  ialah menjual barang-barang pengguna seperti kosmetik tetapi di dalam masa yang sama ia juga membantu masyarakat membuat wasiat dan hibah!  

 

 

Wasiyyah

 

 

Sekiranya terdapat Surat Ikatan Amanah atau apa sahaja dokumen pemberian kuasa yang lain diberikan kepada syarikat sdn bhd mengikut arahan yang sama seperti contoh Ali di atas, ia tidak boleh dilaksanakan kerana syarikat sdn bhd tidak mempunyai bidang kuasa tersebut.

 

Malah jika syarikat sdn bhd tersebut menerima apa-apa bentuk harta alih atau tidak alih bagi menjalankan peranan sebagai pemegang amanah, ia adalah satu bentuk pelanggaran undang-undang dan boleh didakwa di bawah undang-undang berkenaan.    

 

Isu bidang kuasa ini adalah sebab utama kenapa masyarakat perlu merancang harta melalui syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad. Ramai masyarakat di luar sana tidak faham isu ini kerana ia jarang diceritakan.

 

Daripada segi kawalan operasi pula, syarikat amanah wajib melaporkan aktiviti syarikat kepada SSM setiap 6 bulan. Aktiviti kami dikawal selia dengan ketat bagi memastikan syarikat amanah hanya beroperasi mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.

 

Laporan audit tahunan juga perlu diserahkan mengikut tempoh waktu yang ditetapkan. Kegagalan menyerahkan kedua-dua laporan ini akan menyebabkan tindakan boleh diambil kepada kami.

 

Aspek ini juga membezakan di antara  syarikat amanah dengan syarikat sdn bhd. Syarikat sdn bhd hanya tertakluk di bawah Akta Syarikat 2016 sahaja dari segi penyerahan laporan audit tahunan.

 

Tiada sebarang pemantauan dan kawal selia berkala dilakukan ke atas syarikat sdn bhd.

 

Itupun ada juga syarikat sdn bhd yang beroperasi di dalam industri perancangan harta di Malaysia yang gagal menyerahkan laporan audit tahunan mereka bertahun-tahun lamanya. Carian maklumat berkaitan laporan audit ini boleh dibuat secara atas talian melalui sistem MyData.  

 

Sesetengah pihak menganggap isu bidang kuasa ini sebagai isu yang remeh. Mereka merasakan tidak menjadi sebarang masalah jika entiti yang bergiat di dalam industri perancangan harta ini tidak mempunyai bidang kuasa asalkan dokumen perancangan harta boleh dibuat pada harga yang murah, itu sudah cukup kata mereka.

 

Analogi mudah yang ingin saya berikan ialah perbezaan di antara menaiki ‘kereta sapu’ dan teksi/ penyedia perkhidmatan pengangkutan berdaftar.

 

 

Wasiyyah

 

 

Sekiranya berlaku kemalangan, pengguna ‘kereta sapu’ akan berdepan dengan pelbagai masalah kerana perkhidmatan ‘kereta sapu’ itu tidak tertakluk kepada undang-undang berkenaan berbeza dengan situasi sekiranya kemalangan berlaku kepada teksi/ penyedia perkhidmatan pengangkutan berdaftar.

 

Boleh bezakan? Jika boleh maknanya anda sudah faham apa beza syarikat amanah dengan syarikat sdn bhd biasa di dalam industri ini.

 

Merancang harta melalui dokumen perancangan harta ialah satu aktiviti yang sangat terkait dengan undang-undang.

 

Selain dokumen yang dibuat mesti patuh kepada undang-undang semasa, organisasi yang menyediakan perkhidmatan ini juga mestilah organisasi yang diikat ketat oleh undang-undang yang berkenaan.

 

Mengabaikan aspek kepatuhan undang-undang organisasi penyedia perkhidmatan perancangan harta ini akan mengundang pelbagai risiko kepada masyarakat sama seperti jika kita menaiki ‘kereta sapu’.

 

Jika organisasi ini tidak diikat oleh undang-undang yang berkaitan, apa jaminan perkhidmatan yang diberikan itu patuh undang-undang? Sila renungkan. 
 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

Wasiyyah

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags