Jangan hancurkan masa depan hanya kerana tidak beretika | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 19 July 2022

JANGAN HANCURKAN MASA DEPAN HANYA KERANA TIDAK BERETIKA

 

 

 

 

ANTARA perkara penting dalam sesebuah organisasi ialah etika yang baik.

 

Pada penulis, etika sangat bergantung kepada anggapan tentang 'apa yang betul dan apa yang salah' dan 'apa yang patut dibuat dan apa yang tidak patut dibuat'. 

 

Ia juga mempunyai daya penggerak di sebalik setiap tindakan dan keputusan yang dibuat seseorang.
Apabila dua etika bercanggah, pemikiran kita akan bergelut antara pilihan sebagai manusia untuk menjalani hidup yang baik atau sebaliknya.

 

Menurut sebuah buku bertajuk 'Etika Dalam Kewangan Islam' terbitan IBFIM, terdapat beberapa perkara mengaitkan antara etika manusia dalam kehidupan harian. 

 

1. Mewujudkan masyarakat yang lebih baik

Apabila kita membantu menjadikan masyarakat lebih baik, kita juga menikmati faedahnya apabila kehidupan kita, sanak saudara dan kawan-kawan menjadi lebih baik. Tanpa kelakuan bermoral, masyarakat akan hidup penuh kacau bilau.

 

2. Melayan semua orang secara sama rata

Kesamarataan adalah asas bagi amalan demokrasi di kebanyakan negara Barat, yang mana semua individu diberikan hak sama rata. Ini mustahil dilakukan jika kebanyakan ahli dalam sesebuah masyarakat tidak berkelakuan secara bermoral.

 

3. Mempunyai kerjaya yang lebih bermakna

Majikan akan meneliti kelakuan calon pekerja dan menilai perlakuannya jika diambil bekerja. Seseorang yang pernah berkelakuan tidak bermoral akan menghadapi masalah mendapatkan kerja kerana akan dianggap tidak boleh dipercayai.

 

4. Berjaya dalam perniagaan

Jika kita bekerja dalam sesebuah organisasi yang bergantung kepada orang lain, kelakuan moral kita akan menentukan kerjasama dan layanan yang akan diberikan. Perniagaan yang mempunyai sejarah kelakuan moral tidak disenangi kebiasaannya akan menimbulkan kegusaran ramai. Lebih teruk, ia tidak akan menarik pelanggan lagi kerana sudah ditularkan secara negatif hingga menyebabkan perniagaan itu tidak maju. Dengan adanya media sosial kini, pemikiran manusia lebih mudah dipengaruhi.

 

Akhirnya, dengan mengurangkan tekanan. Apabila kita membuat sesuatu keputusan yang tidak bermoral, kita kebiasaannya akan rasa resah dan bimbang tentang keputusan yang diambil.

 

Membuat keputusan bermoral yang betul, atau mengambil pendirian berprinsip tentang sesuatu isu, boleh membantu mengelakkan keresahan seperti ini.

 

Penulis berpendapat etika merupakan salah satu aspek penting bagi menyemai nama baik dalam sesebuah masyarakat atau organisasi.

 

Semua orang perlu memastikan kepercayaan di mana harta orang lain perlu dijaga dengan baik oleh organisasi tersebut. 

 

Jika para pekerja sesebuah organisasi membina nama baik mereka berdasarkan kewibawaan dan peka terhadap dimensi etika apabila membuat semua keputusan maka, sudah tentu tindakan mereka akan dipandang baik dan menurut piawaian moral yang diperakui masyarakat dan pasaran.
 

 

gambar hiasan

 


Tanpa etika, konflik mungkin akan tercetus antara pihak berkepentingan dengan kepentingan pemegang saham dalam sesebuah organisasi.

 

Jadi untuk sebab-sebab ini, etika dalam muamalah termasuklah perniagaan dalam organisasi mesti diamalkan. Ia boleh dicapai melalui tadbir urus korporat yang baik termasuklah tadbir urus syariah.

 

Rata-rata sudah bersepakat tentang kepentingan etika asas dan nilai moral tertentu.

 

Namun begitu, masalah utamanya adalah cara untuk melaksanakan, mengamalkannya dan untuk memutuskan kaedah apa yang boleh digunakan untuk menggalakkannya. 

 

Sebahagian besar daripada gerakan etika perniagaan, dahulunya adalah berdasarkan tradisi kemanusiaan, bukannya agama. Namun, kini secara perlahan-lahan etika berdasarkan kepada agama mula dipraktikan.

 

Kepentingan etika menjangkaui lebih daripada sekadar kesetiaan dan semangat pekerja atau kekuatan hubungan pasukan pengurusan. 

 

Seperti dalam semua inisiatif perniagaan, sesebuah organisasi yang mana operasinya dikendali dengan beretika kebiasaannya akan mendapat keuntungan yang baik dalam jangka masa panjang. Nama baik sesebuah perniagaan adalah amat penting bagi menarik pelabur. 

 

Jika reputasi sesebuah syarikat dipandang kurang beretika, pelabur akan kurang cenderung untuk membeli atau memegang saham dalam syarikat tersebut. 

 

Secara ringkasnya, organisasi yang beretika akan mengekalkan imej positif di mata umum, dan seterusnya mampu memikat bakal pelabur.

 

Bagi mengekalkan imej positif, perniagaan mesti komited untuk beroperasi secara beretika seperti layanan terhadap pekerja, rasa hormat terhadap alam sekitar dan amalan pasaran yang adil dari segi harga dan layanan terhadap pengguna. - DagangNews.com

 

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm
 

Portfolio Tags