Jangan berlengah, tukarlah kepada akaun KWSP syariah | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 29 March 2022

Jangan berlengah, tukarlah kepada akaun KWSP syariah

 

 

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja yang biasanya dikenali dengan singkatan KWSP adalah badan berkanun persekutuan di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan. Ia menguruskan perancangan simpanan wajib persaraan untuk pekerja sektor swasta di Malaysia.

 

 

Caruman berkanun KWSP telah mula diperkenalkan pada awal 1990-an melalui Akta KWSP 1991. Skim KWSP merupakan suatu simpanan untuk persaraan pekerja. 

 

KWSP juga menguruskan dana simpanan secara profesional melalui pelbagai instrumen pelaburan bertujuan menyediakan jaminan persaraan kepada para pencarum. 

 

Pada Ogos 2016, berdasarkan pindaan akta melalui Seksyen 43A, Akta KWSP 1991, KWSP mengorak langkah ke hadapan dengan memperkenalkan akaun Simpanan Syariah sebagai pilihan kepada sistem caruman sedia ada. 

 

Pindaan Seksyen 43A tersebut membolehkan satu Jawatankuasa Penasihat Syariah ditubuhkan berdasarkan Seksyen 23A, Akta KWSP 1991 bagi memantau aktiviti pelaburan dalam instrumen patuh syariah.

 

Menurut kajian penerimaan para pencarum terhadap akaun simpanan patuh syariah, laporan KWSP mendapati 71% daripada mereka memberikan maklum balas positif untuk bertukar kepada simpanan patuh syariah.

 

Oleh demikian, KWSP telah memperuntukkan dana permulaan bagi akaun simpanan ini sebanyak RM100 billion. 

 

Sejumlah RM59.03 bilion (59% daripada jumlah peruntukan) telah dikumpulkan apabila KWSP menutup pendaftaran akaun simpanan syariahnya pada 23 Disember 2016. 

 

Pada 2021, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM67.06 bilion, di mana RM6.91 bilion diperuntukkan kepada simpanan syariah.

 

Melihat kepada laporan tahunan KWSP, dividen yang diberikan bagi akaun simpanan syariah dari 2017 hingga 2021, agak memberangsangkan jika dibandingkan dengan akaun simpanan konvensional. 

 

KWSP
SUMBER : KWSP

 

 

Dividen daripada KWSP syariah ini membuktikan bahawa ia mampu menjana pulangan halal yang menguntungkan kepada para pencarum seperti diumum oleh KWSP. 

 

Untuk rekod, untuk dividen 2021 jumlah simpanan KWSP yang halal selepas dibersihkan ialah sekitar 1.85% sahaja daripada dividen 6.1% konvensional manakala, dividen 5.65% daripada akaun syariah tidak perlu dibersihkan.

 

KWSP adalah di antara dana persaraan terbaik yang telah berjaya membantu pencarum mereka membuat simpanan berlandaskan syariah kerana simpanan mereka dijamin diuruskan mengikut prinsip Islam. 

 

Bukan itu sahaja, malah kemudahan yang ditawarkan dan dividen yang diberikan oleh simpanan syariah adalah setanding konvensional.

 

Penulis menyeru para pencarum, terutama muslim agar segera menukar akaun simpanan KWSP mereka kepada syariah secara dalam talian. 

 

Dividen yang halal akan membawa keberkatan yang berpanjangan dari dunia hingga ke akhirat. - DagangNews.com

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags