iStore iSend umum Yamato sebagai rakan kongsi rangkaian FPN di Singapura | DagangNews Skip to main content

iStore iSend umum Yamato sebagai rakan kongsi rangkaian FPN di Singapura

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Sept - iStore iSend berjaya menarik penyertaan Yamato sebagai rakan kongsi rangkaian Fulfilment Partner Network (FPN) di Singapura. 

 

FPN akan membantu iStore iSend untuk meningkatkan sokongan operasi fizikal menerusi jalinan kerjasama dengan penyedia ruang dan sumber manusia dalam usaha mengharungi cabaran gelombang e-dagang. 

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Inisiatif Baru iStore iSend, Tommy Yong berkata, Yamato merupakan peneraju dalam pengedaran perniagaan ke perniagaan (B2B) dengan keupayaan perbatuan terakhir (last mile). 

 

"Mereka berminat untuk menyertai pasaran e-pemenuhan di Singapura. Aspek sumber manusia dan kemudahan ruang yang sedia ada pada Yamato menjadikan kerjasama dengan iStore iSend satu langkah strategik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, FPN ialah komponen utama dalam platform WaaS iStore iSend yang membolehkan tawaran pengurusan rantaian bekalan kepada setiap perniagaan tanpa mengira saiz mereka. 

 

"Kami sudah bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi yang berpotensi dalam industri perkhidmatan logistik dan menerusi FPN, kami mahu sama-sama maju dan berkembang dengan pihak-pihak yang berminat untuk menyertai sektor e-pemenuhan," katanya.

 

Dalam kerjasama ini, iStore iSend akan bertanggungjawab untuk memberikan latihan dan nasihat berkaitan sistem WaaS iStore iSend iaitu ODiN. Sementara, Yamato akan membekalkan kemudahan ruang dan sumber manusia. 

 

 

istore
Tommy Yong

 

 

Kerjasama ini akan membantu iStore iSend untuk memanfaatkan pengalaman dan perkhidmatan Yamato dalam industri logistik dan rantaian bekalan merangkumi perbatuan pertama (first mile) dan perbatuan terakhir. 

 

Sementara, Yamato pula akan berkemampuan untuk mengembangkan tawaran perkhidmatannya dengan meneroka segmen e-pemenuhan di rantau Asia Tenggara.

 

Pengarah Urusan Yamato Transport (S) Pte. Ltd., Shuji Yamauchi pula berkata, pihaknya menguasai 50% pasaran di Jepun dengan 70 juta keahlian dan menghantar lebih 5 juta bungkusan pada setiap hari. 

 

 

istore
Shuji Yamauchi

 

 

“Kekuatan Yamato ialah penghantaran bungkusan-bungkusan kecil. Kami berhasrat untuk meluaskan kehadiran kami ke Singapura, Malaysia, Thailand, dan negara-negara lain di Asia Tenggara menerusi jalinan kerjasama dengan iStore iSend yang memiliki teknologi tercanggih dan amalan terbaik dalam perniagaan e-dagang,” katanya. 

 

Sejak menyertai FPN dalam suku pertama 2022, kedua-dua syarikat mencatatkan pertumbuhan yang ketara dan Yamato kini sedang dalam perbincangan untuk menyediakan ruang yang lebih luas kepada FPN. - DagangNews.com